NAMA DAN
SEJARAH KAMPUNG:
KAMPUNG PARIT HAJI IDRIS telah diteroka pada tahun 1919 oleh
Haji Wahab dan Haji Idris. Keadaan pada masa itu masih hutan, berair dan selalu
berlaku banjir. Setelah diusahakan, kawasan tersebut telah ditanam dengan padi,
jagung, ubi, keladi dan lain-lain tanaman kontan
Haji Idris telah dilantik
oleh penduduk di situ sebagai ketua kumpulan dan seterusnya dilantik sebagai
Ketua Kampung. Setelah Haji Idris
meninggal dunia, tempat beliau diganti oleh Rahmat Bin Haji Wahab.
Pada tahun 1935, telah
berlaku satu tragedi dan ramai penduduk yang meninggal dunia akibat diserang
satu penyakit misteri. Pada masa itu hanya terdapat 30 buah rumah sahaja.
Pada tahun 1940, berlaku
satu lagi malapetaka di mana seluruh kampung terbakar dan menjadi padang jarak
padang terkukur. Pada tahun 1941, kedatangan
Jepun ke Tanah Melayu dan pada ketika itu keadaan amat menyulitkan di mana para
penduduk sukar untuk mendapatkan makanan dan mereka hanya menjadikan ubi kayu,
jagung, keledek dan sebagainya sebagai makanan harian.
Pada tahun 1948, komunis
pula mengambil alih dan orang-orang Melayu menjadi mangsa keganasan mereka.
Pada masa itu tiada jalan kampung untuk ke pekan.
Tahun 1957, Tanah Melayu
mendapat kemerdekaan dan kehidupan penduduk kampung ini turut berubah.
Tahun 1965, Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditubuhkan dengan menjadikan Kampung
Parit Haji Idris sebagai kampung induk manakala Kampung Parit Jarum, Parit
Ghani dan Parit Kassim sebagai kampung rangkaian.
Pada tahun 1966, parit
untuk menyalirkan air telah dibina oleh pihak Jabatan Parit dan Taliair (JPT)
manakala jalan tanah merah dibina pada tahun 1967.
Sebuah balai raya telah
didirikan pada tahun 1968 untuk kegunaan masyarakat kampung berhimpun dan
dijadikan kelas Tabika Kemas.
Sembahyang Jumaat yang
pertama mula beroperasi di bangunan Surau Tengah pada tahun 1975 diimamkan oleh
Encik Mesral Bin Wasingo manakala bilalnya Encik Hosnan Bin Haji Arshad.
Sebelum ini penduduk kampung menunaikan Sembahyang Jumaat di Masjid Jamek Bukit
Gambir.
Pada tahun 1972, bekalan
air paip mula disalurkan ke kampung ini manakala bekalan elektrik pada tahun
1976. Penduduk kampung ini amat
bertuah kerana seorang dermawan, Tuan haji Idris telah membina sebuah masjid
baru bernilai RM100,000.00 bagi menggantikan bangunan surau yang telah uzur
pada tahun 1981.
Bagi kemudahan para
penduduk kampung mengeluarkan hasil mahsul ke pekan, jalan tanah merah telah
diturap tar pada tahun 1987.
Pada tahun 1988, Tuan
Haji Rahmat Bin Haji Wahab telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua
kampung atas faktor usia dan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Pihak kerajaan telah
memberikan mandat kepada Tuan Haji Ismail Bin Haji Sitam sebagai Ketua kampung
yang baru mulai tahun 1989.
Pada tahun 1990, Jabatan
Kebajikan Masyarakat telah membina bangunan Rumah Kebajikan Orang Islam Tidak
Berwaris dengan peruntukan sebanyak RM15,000.00 yang dibina secara
gotong-royong dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan ketika itu,
Datuk Haji Abdul Ghani Othman pada tahun 1994.
Perpaduan dan kesepakatan
para penduduk kampung dalam membangunkan kampung telah membawa satu kejayaan di
mana pada tahun 1995 telah mendapat Johan dalam Pertandingan JKKK Aktif
peringkat Daerah Muar manakala tempat ketiga untuk peringkat negeri Johor.
Pada tahun 1997, jalan
kampung ini telah diturap semula di bawah seliaan KPRJ dan telah dirasmikan
oleh Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abdul Ghani Othman.
Pada tahun 2002, balai
raya yang telah uzur telah dibina semula dengan bangunan baru di bawah
peruntukan Kerajaan negeri bernilai RM100,000.00
Pada tahun yang sama,
sebuah bangunan Tabika Kemas telah dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh
Tuan Haji Mesral Bin Wasingo dengan peruntukan bernilai RM70,000.00. Pada tahun
2006, berlaku rombakan kawasan pentadbiran Ketua kampung di mana Kampung Parit
Haji Idris menjadi kampung induk manakala kampung rangkaian di bawahnya ialah
kampung Parit Jarum Darat dan Parit Jarum Tengah.