Hari Terbuka PI1M Felda Ayer Hitam

30 November 2016 | Berita Terkini

Felda Ayer Hitam, Kluang, Johor. – Pada 29 haribulan November 2016 yang lalu, Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) Felda Ayer Hitam telah mengadakan “HARI TERBUKA PI1M FELDA AYER HITAM”. Program “CBC Open Day” dengan bertemakan “HARI TERBUKA PI1M FELDA AYER HITAM” ini merupakan sebuah program yang dijalankan oleh Pusat Internet 1 Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersempena meraikan ulang tahun penubuhan PI1M yang ke-6 disamping mempromosikan fungsi dan tujuan PI1M kepada komuniti setempat. Dalam program ini juga akan diselitkan dengan program “Klik Dengan Bijak”. Ianya merupakan salah satu inisiatif Kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam usaha untuk mendidik masyarakat untuk menggunakan rangkaian internet dengan lebih berhemah dan bijak. Pada zaman serba moden kini internet telah menjadi medium utama kepada masyarakat untuk mencari maklumat, membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dan berkomunikasi. Selain itu, program seperti ini juga dapat mengeratkan silaturrahim antara PI1M Felda Ayer Hitam dengan masyarakat setempat dan sekitar di samping mempromosikan kemudahan PI1M kepada umum tidak kira peringkat umur dan latar belakang seperti penggunaan komputer, kelas ICT  & kelas komputer secara percuma, serta kemudahan dan servis lain yang disediakan di dalam PI1M Felda Ayer Hitam.  Antara objektif hari terbuka ini diadakan adalah mempromosikan PI1M Felda Ayer Hitam kepada penduduk setempat, memberi pendidikan terhadap penggunaan internet dan keselamatan di internet melalui segmen “Klik Dengan Bijak”. Serta mengeratkan silaturahim antara masyarakat setempat dengan PI1M.

     

    

Program hari terbuka ini bermula pada jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang. Program ini bermula dengan pendaftaran peserta program, seterusnya peserta program diberi taklimat Klik Dengan Bijak (KDB) selama 30 minit sebelum aktivti-aktiviti lain dijalankan. Selepas itu, aktiviti utama seperti Kuiz ICT untuk pelajar sekolah rendah dan Pertandingan Melukis Poster KDB untuk sekolah menengah dijalankan bermula pada jam 10.00 hingga 11.00 pagi. Selain itu, aktiviti lain seperti permainan “Dam Ular” dan Kuiz Kampung Cyber turut dijalankan. Pada jam 12.00 tengah hari telah berlangsung upacara penyampian hadiah kepada pemenang dan cabutan bertuah. Program hari terbuka ditangguhkan dan berehat pada jam 1.00 hingga 2.00 petang dan kesemua peserta program diberikan makanan dan minuman.

    

Pada sebelah petang pula, aktiviti penggunaan komputer secara percuma telah dijalankan. Manakala pada jam 3.30 petang pertandingan menaip untuk peserta dewasa telah dijalankan dan berakhir pada jam 4.30 petang. Pada jam 5.00 petang, upacara penyampaian hadiah dan cabutan bertuah untuk peserta dewasa telah dijalankan dan selepas itu peserta dihidangkan dengan minum petang dan majlis berakhir pada jam 5.30 petang. Pendaftaran ahli PI1M secara percuma juga turut dijalankan pada hari tersebut dan pihak PI1M berjaya merekodkan pendaftaran ahli baharu seramai 29 orang.

    

 

    

    

Secara umumnya, program Hari Terbuka PI1M Felda Ayer Hitam ini berjalan dengan lancar, dan berjaya mencapai objektif. Seramai 69 orang peserta telah mengambil bahagian dalam program ini.Para peserta program berasa sangat gembira dan melibatkan diri dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Peserta juga memberi maklum balas yang positif dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa.