Kisah Kejayaan - Mohd Lukman Bin Siran (Perniagaan Kedai Runcit)

21 December 2016 | Kisah Kejayaan

Mohd Lukman Bin Mohd Siran, merupakan anak jati Felda Ayer Hitam. Selepas puas merantau dan bekerja di merata tempat, beliau pulang ke Felda Ayer Hitam untuk mencuba nasib mencari rezeki di sini. Beliau bermula sebagai penoreh getah di kebun bapanya selama setahun. Selepas itu, pada awal tahun 2013 beliau mencuba bidang perniagaan dengan membuka kedai runcit di bekas tapak kedai makan ibunya. Beliau bermula dengan perniagaan barangan runcit dan sedikit barangan hadrware.

  

Antara barangan runcit yang dijual dikedai beliau ialah seperti barang-barang kering untuk keperluan dapur seperti beras, gula, minyak masak, tepung, susu dan lain-lain lagi. Beliau juga menjual barangan hardware seperti barangan asas pertukangan seperti paku, dawai, peralatan membaiki paip dan sebagainya. Kedai runcit beliau juga turut menjual sedikit peralatan memancing, pakaian dan kasut, alat tulis serta lain-lain barangan lagi. Keistimewaan kedai runcit beliau ialah hampir kesemua barangan asas ada dijual dikedai beliau ditambah pula dengan barang-barang tambahan yang lain menjadikan kedai runcit beliau menjadi tumpuan penduduk setempat kerana penduduk tidak perlu ke bandar untuk mencari barangan atau peralatan yang diperlukan.
Selain menjual barangan runcit dan barangan lain, beliau juga menyediakan perkhidmatan yang menggunakan sistem internet di kedai runcit beliau. Antara perkhidmatan internet yang beliau sediakan adalah seperti pendaftaran pengguna nombor prabayar telefon bimbit semua rangkaian (Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile), perkhidmatan tambah nilai prabayar secara On-Line dan perkhidmatan perbankan seperti kiriman wang ke luar negara seperti ke Indonesia. Apa yang membanggakan, pada awalnya beliau menggunakan perkhidmatan Wifi Komuniti (WK) yang disediakan oleh pihak Pusat Internet 1 Malaysia Felda Ayer Hitam untuk urusan-urusan yang melibatkan perkhidmatan sistem internet. Kini beliau masih datang ke Pusat Internet 1 Malaysia Felda Ayer Hitam untuk membuat urusan mencarum KWSP untuk beliau (majikan) dan pekerja-pekerja beliau, selain menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang disediakan.