Ekonomi dan Keusahawanan

EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN


SOSIO-EKONOMI

Majoriti penduduk Felda Ayer Hitam menjalankan tanaman sawit yang dikeluarkan oleh pihak FELDA sendiri. Tetapi ada juga yang memilih untuk menanam pokok getah. Setiap peneroka memperolehi 9 atau 10 ekar tanah untuk diusahakan. Pihak Felda juga memberi bantuan yang serupa termasuk khidmat nasihat dan membimbing berkaitan pengurusan ladang kelapa sawit. Terdapat juga penduduk yang masih yang mengusahakan kebun sayur, membuat rumah dan mengusahakan kedai makan sebagai sumber pendapatan keluarga. Namun boleh dikatakan hanya segelintir sahaja penduduk kampung ini yang memilih untuk bekerja di luar kampung, manakala selebihnya lebih memikirkan untuk mendapatkan pekerjaan yang boleh menjamin masa depan. Lantaran itu, ramai di antara golongan muda di kampung ini bekerja di sektor awam mahupun di sektor swasta di bandar-bandar yang berhampiran seperti di Kluang.



PERTANIAN DAN PERLADANGAN

Tanah yang luas dan subur di kawasan perkampungan Felda Ayer Hitam dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung. Kelapa sawit  merupakan tanaman utama di sini namun ada juga sesetengah penduduk yang memilih untuk menanam pokok getah dan buah-buahan seperti kelapa, durian, rambutan dan pisang. Usaha penduduk dalam aktiviti pertanian dibantu oleh Jabatan Pertanian Negeri dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan memberi bantuan dari segi biji benih, baja dan peralatan. Bantuan seperti ini memberi dorongan kepada golongan petani untuk membesarkan lagi perusahaan mereka. Walaupun pertanian yang diusahakan penduduk tidak luas namun hasilnya boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan. Pada musim buah tiba penduduk yang menanam buah-buahan  tempatan akan  menjual di pinggir jalan raya. Pembeli-pembeli hasil tani di sini bukan sahaja penduduk kampung, malah pelancong luar. Ada juga pembeli dari Singapura yang datang untuk mendapatkan buah-buahan segar untuk dijual. Purata pendapatan penduduk yang mengusahakan pertanian adalah dalam lingkungan RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Ternyata hasil usaha penduduk yang bertani ini memberi keuntungan dan berpotensi untuk melangkah lebih jauh.


PENTERNAKAN

Aktiviti penternakan yang dijalankan di Felda Ayer Hitam dijalankan secara kecil-kecilan. Namun ia juga boleh menyumbang kepada sumber ekonomi sesebuah keluarga yang mengusahakannya. Antara ternakan yang diusahakan oleh segelintir penduduk ialah  ternakan kambing dan lembu. Walaupun tidak diusahakan secara komersial, namun dengan adanya ternakan seperti ini, penduduk tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bekalan daging kambing dan lembu untuk kegunaan sendiri dan menjelang hari raya. Lembu-lembu yang diternak kebanyakannya dilepas dan dibiarkan meragut rumput di kawasan-kawasan sekitar kampung.Bagi penduduk yang berminat untuk menjalankan penternakan lembu atau kambing, pihak Jabatan Haiwan boleh membantu misalnya dengan memberi benih induk untuk memulakan ternakan. Selain itu, kursus berkaitan pengurusan ternakan juga diberikan kepada penduduk yang berminat untuk memberi pendedahan berkaitan cara-cara menternak, mengawal penyakit dan menguruskan ternakan dengan baik. Bantuan dan sokongan seperti ini dapat mendorong mereka menggiatkan lagi usaha memajukan lagi penternakan tersebut.


Profil Usahawan- Puan Saimah Binti Abdul Hadi (Perniagaan Kueh Cikgu)

Puan Saimah Binti Abdul Hadi, 44 tahun, merupakan anak peneroka Felda Ayer Hitam. Beliau merupakan  seorang guru di Sekolah Agama Felda Ayer Hitam. Beliau menjadi ahli PI1M Felda Ayer Hitam pada tahun 2014. Disamping menjalankan tugas guru, beliau juga membuka perniagaan menerima tempahan kuih-muih untuk pelbagai majlis. Seperti majlis kenduri doa selamat, majlis pertunangan, majlis minum petang atau majlis-majlis rasmi organisasi kerajaan atau badan-badan swasta.Tempahan dan promosi perniagaan beliau dijalankan secara dalam talian melalui platform media sosial seperti facebook dan whats app. Nama perniagaan beliau ialah "Kueh Cikgu". Beliau boleh dihubungi di no whats app 010 – 708 7404  facebook beliau https://www.facebook.com/saimah.abdulhadi .
  
Pelanggan beliau terdiri daripada pelbagai lapisan komuniti yang bukan sahaja tinggal di sekitar Felda Ayer Hitam, tetapi juga sekitar Kluang dan pekan Ayer Hitam. Kuih yang beliau sediakan terdiri daripada kuih-kuih tradisional seperti kuih seri muka, kuih lepat pisang, lepat ubi, koci pulut hitam, lopes, keria, karipap,pulut panggang, kole kacang dan lain-lain lagi serta pelbagai menu jamuan ringan seperti mee goreng, mee kari, mee bandung dan lain-lain.Beliau berjaya mengiklankan produk perniagaan "Kueh Cikgu" beliau di media sosial dengan menggunakan perkhidmatan Wifi Komuniti (WK) yang disediakan di sekitar Felda Ayer Hitam. Serta mahir menggunakan aplikasi smart phone seperti aplikasi whats app dan facebook phone setelah menjalani latihan ICT di Pusat Internet 1 Malaysia Felda Ayer Hitam. Melalui perniagaan dalam talian, operasi perniagaan beliau tanpa had masa dan ini memberi kelebihan kepada beliau kerana beliau tidak perlu menunggu atau membuka kedai secara rasmi selain dapat fokus kepada tugas mengajar beliau, beliau juga boleh menjalankan perniagaan beliau tanpa kekangan masa dan lokasi perniagaan. Disamping itu, hasil pendapat melalui perniagaan kuih beliau ini juga dapat membantu menambah pendapatan beliau sekeluarga. Kini, anak-anak perempuan beliau mula mempelajari cara-cara untuk membuat kuih dan secara tidak langsung membantu warga belia menambah pendapatan serta meningkatkan nilai diri individu tersebut yang mahir membuat kuih-kuih tradisional di zaman moden ini.

Profil Usahawan - Mohd Lukman Bin Siran (Perniagaan Kedai Runcit)
 
Mohd Lukman Bin Mohd Siran, merupakan anak jati Felda Ayer Hitam. Selepas puas merantau dan bekerja di merata tempat, beliau pulang ke Felda Ayer Hitam untuk mencuba nasib mencari rezeki di sini. Beliau bermula sebagai penoreh getah di kebun bapanya selama setahun. Selepas itu, pada awal tahun 2013 beliau mencuba bidang perniagaan dengan membuka kedai runcit di bekas tapak kedai makan ibunya. Beliau bermula dengan perniagaan barangan runcit dan sedikit barangan hadrware.
  
Antara barangan runcit yang dijual dikedai beliau ialah seperti barang-barang kering untuk keperluan dapur seperti beras, gula, minyak masak, tepung, susu dan lain-lain lagi. Beliau juga menjual barangan hardware seperti barangan asas pertukangan seperti paku, dawai, peralatan membaiki paip dan sebagainya. Kedai runcit beliau juga turut menjual sedikit peralatan memancing, pakaian dan kasut, alat tulis serta lain-lain barangan lagi. Keistimewaan kedai runcit beliau ialah hampir kesemua barangan asas ada dijual dikedai beliau ditambah pula dengan barang-barang tambahan yang lain menjadikan kedai runcit beliau menjadi tumpuan penduduk setempat kerana penduduk tidak perlu ke bandar untuk mencari barangan atau peralatan yang diperlukan.
Selain menjual barangan runcit dan barangan lain, beliau juga menyediakan perkhidmatan yang menggunakan sistem internet di kedai runcit beliau. Antara perkhidmatan internet yang beliau sediakan adalah seperti pendaftaran pengguna nombor prabayar telefon bimbit semua rangkaian (Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile), perkhidmatan tambah nilai prabayar secara On-Line dan perkhidmatan perbankan seperti kiriman wang ke luar negara seperti ke Indonesia. Apa yang membanggakan, pada awalnya beliau menggunakan perkhidmatan Wifi Komuniti (WK) yang disediakan oleh pihak Pusat Internet 1 Malaysia Felda Ayer Hitam untuk urusan-urusan yang melibatkan perkhidmatan sistem internet. Kini beliau masih datang ke Pusat Internet 1 Malaysia Felda Ayer Hitam untuk membuat urusan mencarum KWSP untuk beliau (majikan) dan pekerja-pekerja beliau, selain menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang disediakan.
    

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.