Komuniti


Persatuan dan Organisasi Masyarakat

JKKK

Sebagaimana fungsi asas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang lain, JKKK Kampung Felda Ayer Hitam turut berperanan dalam memastikan kestabilan penduduk dan kemajuan kampung sentiasa terjamin. Pihak JKKK akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai perkembangan kampung dan merancang aktiviti-aktiviti kampung. Malah, matlamat JKKK adalah untuk membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung supaya boleh bersaing dengan penduduk bandar dan berusaha untuk meningkatkan keyakinan diri serta mencuba sesuatu yang baru dan boleh menguntungkan.
Pihak JKKK juga berperanan mengatur program-program kecil yang memberikan banyak faedah kepada penduduk dan kepentingan kampung termasuklah program untuk belia kampung dengan menghantar mereka menyertai kursus keusahawanan anjuran pelbagai pihak. Selain itu, aktiviti yang dianjurkan oleh pihak JKKK dengan penduduk kampung adalah kegiatan gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan, masjid dan sebagainya. Sekiranya ada sebarang majlis keramaian, penduduk akan sama-sama menyumbangkan tenaga agar semuanya berjalan lancar.

GPW

Gerakan Persatuan Wanita (GPW) merupakan platform untuk para wanita warga felda menabur bakti terhadap masyarakat setempat untuk merangsang minat generasi kedua supaya membabitkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Setiap minggu akan diadakan kelas membaca Al-Quran dengan betul untuk para ibu dan murid-murid sekolah

Belia

Golongan belia Felda Ayer Hitam mempunyai pelbagai aktiviti mereka tersendiri. Walaupun ramai di antara belia telah berhijrah ke kawasan bandar untuk melanjutkan pelajaran ataupun bekerja namun bagi belia yang masih tinggal di sini mereka aktif dalam aktiviti sukan. Sepak takraw merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh belia kampung ini sekiranya ada masa terluang. Persatuan Belia Felda Ayer Hitam juga ada menganjurkan pertandingan kejohanan bola sepak dan sepak takraw yang juga melibatkan penyertaan belia dari kampung sekitar.
Segelintir golongan belia yang lain turut membuka bengkel membaiki motosikal, kereta dan besi. Hasil daripada menyertai kursus yang dianjurkan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ada di antara mereka terdorong untuk membuka bengkel. Selain itu pejabat daerah juga ada menganjurkan kursus kepimpinan khas untuk golongan belia bagi menyuntik rasa kepimpinan di dalam diri golongan belia pada masa kini. Namun yang jelas, belia Felda Ayer Hitam lebih gemar bersukan untuk mengisi masa terluang. Bagi belia yang sudah berhijrah dan menetap di bandar, mereka lebih tertumpu ke bandar-bandar besar seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur serta bekerja di sektor awam dan swasta.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.