HARI TERBUKA PI1M 2016

14 December 2016 |

PI1M Bugaya telah mengadakan Program Hari Terbuka PI1M 2016 pada 14 Desember lalu bertempat di PI1M Kg. Bugaya, Semporna. Program ini telah dihadiri oleh lebih kurang 150 orang penduduk kampung yang terdiri daripada golongan ibu bapa dan kanak-kanak. Pendaftaran dan edaran nombor cabutan bertuah bermula seawal jam 9.00 pagi dan sesi taklimat pengenalan PI1M serta advokasi Klik Dengan Bijak diadakan sejurus selepas itu.  Selain itu, tayangan video berkaitan PI1M dan ICT juga diadakan sepanjang tempoh program dijalankan bagi memastikan semua yang hadir dapat memanfaatkan masa Hari Terbuka ini untuk mengenali PI1M dan fungsinya.

Permainan sukaneka luar adalah acara utama yang telah disusun sempena Hari Terbuka 2016. Ini kerana, pihak PI1M ingin membuat kelainan daripada program-program anjuran PI1M sebelum ini yang banyak tertumpu kepada ICT dan internet yang mempunyai pergerakan minimum di dalam PI1M. Kali ini, sempena hari terbuka, pihak PI1M ingin memastikan semua peserta yang terlibat dapat melakukan pergerakan maksimum dan memberikan kepuasan bermain acara sukaneka yang menyeronokkan dan menjadi satu pengalaman kepada ahli PI1M diluar kebiasaan aktiviti anjuran PI1M. Ini bersesuaian dengan nama Hari Terbuka PI1M yang hanya dijalankan setahun sekali sahaja.

Selain itu, pertandingan rekacipta dari bahan terpakai juga mendapat sambutan yang menggalakkan. Rekaan replika PI1M Bugaya dan replika bot tradisional ‘lepa’ adalah yang paling mencuri tumpuan. Pertandingan rekacipta adalah hasil kerja peserta berkumpulan yang mana ahli kumpulan terdiri daripada ibu-bapa dan anak. Ini bagi menggalakkan ibu-bapa untuk mengambil tahu tentang aktivti dan fungsi PI1M melalui dorongan anak-anak yang kerap berkunjung ke PI1M. Acara ini disambut baik oleh golongan ibu-bapa dan terdapat juga segelintir daripada mereka yang menghantar sendiri hasil rekaan untuk sama-sama bertanding dalam acara ini. Disamping itu, produk keushawanan dan kursus keusahawanan juga turut dipromosikan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ibu-ibu dan golongan belia yang hadir.

Secara keseluruhannya, program Hari Terbuka PI1M telah mencapai matlamatnya sebagai sebuah program terbuka dan sambutan hari keluarga PI1M. Rata-rata peserta yang hadir berpuas hati dengan acara yang telah dijalankan. Ibu-bapa yang juga merupakan penduduk kampung sekitar mendapat pendedahan tentang PI1M dan kini lebih yakin untuk menggalakan penglibatan anak-anak mereka di PI1M. Program komuniti seperti ini perlu terus diadakan bagi memastikan komuniti mendapat pendedahan umum tentang PI1M dan aktiviti yang dijalankan didalam PI1M untuk memastikan misi dan visi penubuhan PI1M sebagai pusat maklumat dan agen pengubah masyarakat luar bandar tercapai dengan jayanya.