Maklumat Tempatan

KG. BUGAYA, SEMPORNA

Kg. Bugaya Semporna mulai dibuka secara rasmi pada tahun 1961. Penduduk asal di kampung ini adalah golongan yang berhijrah daripada pulau Bohey Dulang, nama Bugaya itu sendiri berasal daripada nama sebuah bukit yang terdapat di Bohey Dulang iaitu 'Bud Gaya' atau 'Bukit Gaya'. 'Bud' dalam bahasa melayu bermaksud 'bukit'. Oleh itu nama Bugaya adalah berasal dari perkataan Bud Gaya. Selain penduduk asal dan keturunan mereka, ramai orang luar juga yang telah berpindah dan menetap di Kg. Bugaya. Ini kerana lokasi kampung yang strategik dan terletak dan terdapat banyak kemudahan awam di dalamnya.

Lokasi kampung  Bugaya terletak di tengah-tengah Daerah Semporna dan menjadi tempat laluan utama masyarakat darat untuk ke pekan Semporna. Jarak dari Kg. Bugaya ke Pekan Semporna ialah sekitar 10km dan mengambil masa 7 minit sahaja.  Kg. Bugaya terbahagi kepada banyak bahagian seperti Bugaya Laut, Bugaya Darat, Bugaya Hujung, Tanjung Kapor, Labuan Senang dan banyak lagi. Bangunan PI1M Bugaya terletak di kawasan Bugaya Laut dan penduduk sekitar PI1M dianggarkan dalam 380 orang sahaja. 

Majoriti penduduk kampung adalah berbangsa Bajau dan Suluk serta beragama islam. Ketua Kampung Bugaya yang terkini adalah En. Mohd Shah Bin Ali Basha, beliau juga merupakan ketua kampung yang kedua memegang jawatan terbabit selepas Allahyarham Hj. Ali Basha Bin Basara. Konsep penempatan penduduk kampung adalah secara berjajar dimana rumah-rumah terletak berhampiran jalan raya sepanjang 2 kilometer.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.