Putih Salju

17 June 2022 | Berita Terkini

Pada hari Jumaat yang lalu, 17 Jun 2022, Pusat Ekonomi Digital Keluarga Felda Bukit Jalor (PEDi) bersama-sama dengan Perpustakaan Desa Felda Bukit Jalor (PD), telah menganjurkan program yang di beri nama Putih Salju. Ini merupakan program Pertandingan Gubahan Telekung. Program ini telah disertai oleh suri rumah sekitar Kampung Felda Bukit Jalor. Program ini juga diadakan untuk mengisi masa lapang para ibu.

Sehari sebelum pertandingan diadakan, iklan bagi hebahan berkaitan dengan pertandingan ini telah pun disalurkan secara atas talian. Iklan ini telah dihebahkan didalam group whataps E-Niaga Kampung Felda Bukit Jalor. Hasil daripada itu seramai 10 orang peserta telah menghantar nama bagi menyertai pertandingan ini. Namun, pada saat akhir seorang peserta telah menarik diri atas sebab yang tidak boleh dielakkan, jadi seramai 9 orang peserta telah menyertai Pertandingan  Gubahan Telekung ini.

Para peserta perlu menghantar hasil gubahan mereka di Pusat Ekonomi Digital Felda Bukit Jalor (PEDi) pada jam 3 petang. Pertandingan ini telah diadakan di rumah masing-masing untuk memberi keselesaan kepada para peserta menyertai pertandingan ini, berikutan kekangan masa untuk para ibu untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Setelah jam 3.30 petang, semua peserta telah menghantar hasil gubahan mereka, pelbagai bentuk gubahan yang telah dihasilkan mengikut kreativiti masing-masing.  Pihak pengajur telah menjemput Pn. Norhafiza binti Salim merupakan kakitangan Felda Technoplant dan Pn. Siti Zulridah binti Lep guru literasi sebagai juri.

Ciri-ciri utama yang diambil kira ialah kreativiti, kekemasan dan persembahan. Setelah meneliti kesemua aspek, pihak juri telah memilih tiga orang pemenang. Pemenang pertama ialah Pn. Norliana binti Nosli yang membuat gubahan berbentuk masjid, pemenang kedua ialah Pn Maisarah binti Che Mansur yang menghasilkan gubahan telekung berbentuk patung manakala pemenang ketiga ialah Pn. Kamariah Tamin menghasilkan gubahan berbentuk bunga didalam bakul yang telah memikat hati para juri. Kesemua peserta telah mendapat sedikit saguhati daripada pihak penganjur sebagai ganjaran bagi menyertai pertandingan ini. Para peserta amat gembira menyertai program ini kerana mereka dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Mereka berharap dapat menyertai program yang dianjurkan pada masa akan datang.