Komuniti
MPKK
Sebagaimana fungsi asas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang lain, MPKK Felda Bukit Jalor turut berperanan
dalam memastikan kestabilan penduduk dan kemajuan kampung sentiasa terjamin.
Pihak MPKK akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai
perkembangan kampung dan merancang aktiviti-aktiviti kampung. Malah,
matlamat MPKK adalah untuk membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung
supaya boleh bersaing dengan penduduk bandar dan berusaha untuk meningkatkan
keyakinan diri serta mencuba sesuatu yang baru dan boleh menguntungkan. Pihak MPKK juga berperanan mengatur program-program kecil yang memberikan banyak
faedah kepada penduduk dan kepentingan kampung yang melibatkan semua peringkat
umur. Selain itu, aktiviti yang dianjurkan oleh pihak MPKK dengan penduduk
kampung adalah kegiatan gotong-royong membersihkan kawasan kampung unutk
menceriakan kampung masing-masing. Sekiranya ada sebarang
majlis keramaian, penduduk akan sama-sama menyumbangkan tenaga agar semuanya
berjalan dengan lancar.
BELIA
Golongan belia Felda Bukit Jalor mempunyai pelbagai aktiviti
mereka tersendiri. Walaupun ramai di antara belia telah berhijrah ke kawasan
bandar untuk melanjutkan pelajaran ataupun bekerja namun bagi belia yang masih
tinggal di sini mereka aktif dalam aktiviti sukan. Sepak takraw merupakan
aktiviti yang sering dilakukan oleh belia kampung ini sekiranya ada masa
terluang. Persatuan Belia Felda Bukit Jalor juga ada menganjurkan pertandingan
kejohanan bola sepak dan sepak takraw yang juga melibatkan penyertaan belia
dari kampung sekitar.
Segelintir golongan belia yang lain turut membuka bengkel
membaiki motosikal dan kedai runcit. Selain itu pejabat daerah juga ada
menganjurkan kursus kepimpinan khas untuk golongan belia bagi menyuntik rasa
kepimpinan di dalam diri golongan belia pada masa kini. Namun yang jelas, belia
Felda Bukit Jalor lebih gemar bersukan untuk mengisi masa terluang. Bagi belia
yang sudah berhijrah dan menetap di bandar, mereka lebih tertumpu ke bandar-bandar
besar seperti di Kuala Lumpur serta bekerja di sektor awam dan swasta.