Pendidikan

Kampung Felda Bukit Jalor turut dilengkapi dengan kemudahan sekolah bagi setiap peringkat untuk anak-anak FELDA. Oleh itu, penduduk kampung tidak perlu menghantar anak-anak keluar jauh dari kampung untuk ke sekolah.

1) Tabika KEMAS Felda Bukit Jalor

Tabika Kemas Felda Bukit Jalor di seliakan oleh dua orang guru iaitu Puan Salmiah binti Osman dan Puan Nur Khuzaimah binti Kamarudin. Pelajar di Tabika ini terbahagi kepada dua kelas iaitu Kelas Kenanga dan Kelas Melor. Ia terletak berhadapan dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Jalor. Terdapat dua bangunan yang digunakan untuk sesi pembelajaran di sini. Di sinilah permulaan untuk anak-anak Felda Bukit Jalor bersekolah sebelum memasuki tahun satu di sekolah rendah. Namun kini, rata-rata pelajar tabika di sini adalah cucu-cucu peneroka Felda.

 


2) Sekolah Kebangsaan Bukit Jalor (SKBJ)

Sekolah Kebangsaan Bukit Jalor (SKBJ) di bina pada tahun 1967. Ia menerima kemasukan pelajar yang pertama pada tahun 1968. Hanya dua blok yang dibina pada awal pembukaan sekolah ini.  Namun kerana jumlah pelajar yang semakin ramai, pada tahun 80-an 2 blok bangunan satu tingkat telah dibina.  Manakala pada tahun 2000 pula, sebuah makmal komputer dan surau telah dibina untuk kemudahan pelajar. Pada tahun 2016 sekolah ini telah terpilih mengikuti program sekolah transformasi yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Kini, sekolah ini telah mempunyai seramai 206 orang pelajar, 30 orang guru dan 6 orang staf yang berkhidmat di SKBJ.



3) Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jalor (SMKBJ)

Sek. Men. Keb. Bukit Jalor (SMKBJ) yang terletak dalam daerah Tampin telah diasaskan pada tahun 1971. Keseluruhan pelajarnya adalah dari Felda Bukit Jalor, kampung-kampung sekitar, estet-estet, dan kawasan Pekan Air Kuning Selatan yang berhampiran.

Pada awal penubuhannya para pelajar menumpang di Sekolah Kebangsaan Air Kuning Selatan dan Balai Raya Air Kuning Selatan. Pelajar-pelajar berpindah masuk pada pertengahan penggal kedua 1974 apabila blok bangunan mengandungi bilik-bilik darjah dan makmal sains, sebuah bengkel Seni Perusahaaan dan sebuah kantin siap dibina. Sebuah padang permainan juga turut dibina. Di peringkat permulaanya SMKBJ mempunyai 6 tenaga pengajar dan 74 orang pelajar dari kedua-dua aliran Melayu dan Inggeris.

Pada tahun 1978 sebuah lagi blok tambahan mengandungi 6 bilik darjah dibina bagi menampung bilangan pelajar yang bertambah. Pada tahun 1987 sebuah surau dibina atas usahasama PIBG dan masyarakat setempat. Dua unit rumah guru juga dibina pada tahun 1987. Kemudiannya pada tahun 1993 satu blok 8 bilik darjah, satu blok bengkel KHB, satu blok makmal sains dan sebuah rumah hijau siap dibina.

Pada 01.09. 1996 SMKBJ telah mengadakan sambutan Jubli Perak yang dirasmikan oleh Dato’ Seri Najib Bin Tun Abdul Razak selaku Menteri Pelajaran ketika itu. Kemudian pada tahun 2001 sebuah Makmal Komputer pula telah dibina. Menjelang akhir tahun 2003 kompleks baru SMKBJ hampir siap dibina sepenuhnya mengandungi dua buah blok bangunan 4 tingkat, satu blok 2 tingkat makmal sains, satu blok 2 tingkat KHB, sebuah dewan besar, sebuah dewan serbaguna, sebuah kantin dan sebuah padang permainan.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.