Hari Terbuka PI1M Felda Bukit Permai 2016

15 December 2016 | Berita Terkini

Tajuk Program: Hari Terbuka PI1M Felda Bukit Permai 2016

Peserta: Ahli Pusat Internet 1 Malaysia Felda Bukit Permai dan Komuniti Sekitar

Waktu: 8.30 pagi – 6.00 petang

Tarikh: 03 Disember 2016

06 Disember 2016 – Baru-baru ini, Pusat Internet 1 Malaysia Felda Bukit Permai dengan jayanya telah mengadakan satu program tahunan iaitu Hari Terbuka Pusat Internet 1 Malaysia Felda Bukit Permai bagi tahun 2016. Program atau Sambutan Hari Terbuka ini disertai oleh ahli PI1M Bukit Permai sendiri dan komuniti sekitar seperti dari Kg MurniJaya dan juga Pekan Layang-layang. Tujuan program seperti ini diadakan adalah untuk merapatkan jurang antara komuniti setempat dan sekitar dengan petugas PI1M disamping menyahut seruan kerajaan untuk mengembangkan lagi kemahiran dan pengetahuan tentang ICT kepada masyarakat terutamanya luar bandar. Tujuan lain program ini adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan Pusat Internet 1 Malaysia kepada masyarakat.

Sambutan Hari Terbuka PI1M bermula seawal jam 8.30 pagi dengan sesi pendaftaran para peserta. Kesemua peserta yang telah mendaftar menerima Goodies Bag dan berpeluang dalam cabutan nombor bertuah. Banyak aktiviti menarik yang telah disediakan oleh petugas PI1M antaranya pada sesi pagi yang bertempat di Dewan Raya Felda Bukit Permai ialah Pertandingan J-Robik terbahagi kepada kategori individu dan berkumpulan, Pertandingan Mewarna khas untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 7 tahun, Perlawanan Congkak Terbuka dan Perlawanan Pemadam untuk kanak-kanak 8 tahun ke bawah. Kesemua pertandingan dan aktiviti yang diadakan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para peserta.

Sambutan Hari Terbuka PI1M dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Anuarezman bin Sariff. Tepat jam 9.30 pagi, Pertandingan J-Robik Berkumpulan dan Individu serta Pertandingan Mewarna bermula serentak. Para peserta mengambil tempat masing-masing untuk memulakan pertandingan. Dua orang juri professional diundang khas bagi mengadili Pertandingan J-Robik iaitu Puan Diwana binti Abd Wahid dari Pekan Layang-layang dan Puan Suhaila binti Sukaimi dari Simpang Rengam. Kedua-duanya merupakan instructor bertauliah bagi aktiviti J-Robic di Simpang Rengam. Sebanyak tiga kumpulan yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini dan seramai 30 orang yang mengambil bahagian dalam kategori individu. Pertandingan Jrobik tamat lebih kurang jam 11.30 pagi.

Bagi Pertandingan Mewarna pula, dua orang AJK telah ditugaskan untuk menjaga bahagian tersebut supaya tiada ibubapa yang turut sama mewarna bersama anak-anak mereka. Pertandingan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 25 penyertaan daripada pelbagai peringkat umur. Para peserta diberi masa selama sejam setengah untuk menyiapkan tugasan mewarna yang diberikan. Terdapat 2 kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori 4-5 tahun dan Kategori 6-7 tahun. Pertandingan ini tamat lebih kurang jam 11.00 pagi.

Ketibaan tetamu jemputan VIP tepat jam 10.30 pagi. Sambutan Hari Terbuka PI1M diteruskan dengan acara rasmi iaitu dengan pembukaan ucapan alu-aluan oleh Pengurus PI1M Felda Bukit Permai, Puan Siti Nur Atiqah binti Saadon dan seterusnya ucapan perasmi oleh Tuan Haji Wagiman bin Md Awi selaku Pengerusi JKKK Felda Bukit Permai. Beliau telah memberikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan Sambutan Hari Terbuka PI1M Felda Bukit Permai bagi tahun 2016 dengan mengetuk gong sebanyak tiga kali dan menurunkan tandatangan ke atas sijil perasmian.

Majlis diteruskan dengan acara penyampaian hadiah bagi Pertandingan J-Robik dan Pertandingan Mewarna serta Cabutan Nombor Bertuah. Majlis telah menjemput Tuan Haji Wagiman bin Md Awi untuk menyampaikan hadiah dan mencabut beberapa nombor bertuah. Sesi penyampaian hadiah dan cabutan nombor bertuah sebanyak 20 nombor selesai lebih kurang jam 12.00 tengah hari. Seterusnya majlis menjemput tetamu-tetamu VIP untuk menjamu jamuan makan tengahari yang telah disediakan.

Sementara itu, acara seterusnya ialah Perlawanan Congkak Terbuka dan Perlawanan Pemadam bawah 8 tahun dimulakan. Kedua-dua perlawanan ini merupakan permainan tradisional yang sangat terkenal suatu masa dahulu. Penglibatan surirumah dan beliawanis amat menggalakkan bagi Perlawanan Congkak dan kanak-kanak bawah 8 tahun yang sebelum ini tidak didedahkan dengan permainan perlawanan pemadam berasa sungguh teruja sepanjang perlawanan tersebut. Kedua-dua perlawanan ini tamat lebih kurang jam 12.30 tengahari.

Acara penyampaian hadiah bagi kedua-dua permainan tradisional ini disampaikan oleh Encik Anuarezman bin Sariff, bekas Pengurus PI1M Felda Bukit Permai. Aktiviti pada sesi pagi tamat lebih kurang jam 1.00 petang dan akan bersambung ke sesi petang bermula jam 2.00 dan bertempat di PI1M Felda Bukit Permai. Oleh kerana kekangan masa, para peserta tiba lebih kurang jam 2.30 petang untuk melanjutkan sambutan Hari Terbuka ini. Aktiviti pada sesi petang pula antaranya Taklimat Amanita khas untuk surirumah, Taklimat KDB dan Pertandingan RunningPI1M berumur 9 hingga 14 tahun.

Taklimat Amanita ini disampaikan oleh Ketua Amanita IPD Kluang iaitu ASP Kamisah binti Hashim yang dijemput khas dari Ibupejabat Polis Daerah Kluang. Seramai enam orang anggota polis tiba di PI1M pada jam 2.30 ptg setelah selesai menjamu hidangan tengahari yang telah disediakan. Alhamdulillah sambutan para peserta untuk Taklimat Amanita ini amat menggalakkan dan dihargai. Seramai 25 surirumah, beliawanis dan pelajar perempuan di Felda ini menyertai taklimat tersebut. Antara intipati taklimat ini adalah para surirumah diberikan penerangan tentang keselamat diri dan cara untuk berhadapan dengan situasi kecemasan. Mereka juga dilatih tentang peranan mereka sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ pihak polis untuk mencegah jenayah di kawasan kediaman mereka. Maklumat-maklumat yang diterima oleh pihak polis seterusnya akan disalurkan kepada pihak / jabatan / unit yang berkenaan dan kemudiannya akan diambil tindakan ke atas aduan yang diterima. Respon yang diberikan oleh para peserta amat baik kerana mereka tidak segan silu untuk mengutarakan pelbagai keraguan dan soalan.

Seterusnya, taklimat Klik Dengan Bijak dimulakan dan disampaikan oleh Encik Khirominshah bin Mafford. Beliau merupakan Pengurus PI1M Felda Layang-layang yang dijemput khas. Antara initpati taklimat ini adalah penggunaan Internet dengan bijak, petua-petua, tips dan langkah keselamatan yang perlu diambil serta pencegahan kepada penyalahgunaan Internet. Taklimat ini diakhiri dengan kuiz dan sesi soal jawab.

Pada masa yang sama, Pertandingan RunningPI1M turut dimulakan tepat jam 3.00 petang. Sebanyak lapan kumpulan telah mengambil bahagian dimana setiap kumpulan mempunyai dua orang ahli. Konsep pertandingan ini adalah setiap kumpulan akan ditugaskan ke satu-satu checkpoint dan wajib menyelesaikan misi yang terdapat di checkpoint tersebut. Setelah itu, mereka akan diberikan barang amanah untuk dijaga dan dikembalikan ke checkpoint utama dalam keadaan sempurna. Antara misi mereka ialah mencabut tanda nama pihak lawan, baling botol berisi air sehingga berdiri, menjawab kuiz melibatkan benang bewarna, membina rumah menggunakan kad UNO dan sebagainya. Sebanyak lima buah checkpoint yang harus mereka tempuh dan setiap checkpoint akan diberikan satu barang amanah iaitu telur, jarum peniti, belon air, syiling 5 sen dan biskut. Antara syarat utama pemenang ialah harus mengembalikan kelima-lima barang amanah tersebut dalam keadaan yang sama seperti diterima. Kumpulan pertama yang tiba adalah pada jam 4:05 petang dan yang terakhir tiba adalah jam 4:20 petang. Pelbagai reaksi yang diterima daripada mereka dan kesemuanya melucukan.

Tepat jam 5.30 petang, tamatlah sudah kesemua aktiviti dan pertandingan yang disediakan sepanjang hari. Majlis menutup tirai pada jam 5.45 petang dengan aktiviti gotong-royong bersama ahli. Alhamdulillah majlis berjalan lancar dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti setempat dan sekitar. In Shaa Allah program seumpama ini akan dianjurkan lagi pada tahun hadapan. Ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak dalam menjayakan Sambutan Hari Terbuka PI1M Felda Bukit Permai bagi tahun 2016.