Kawalan ibu bapa dalam penggunaan internet

16 January 2016 |

Dunia online boleh membawa pelbagai manfaat untuk anak-anak. Tetapi, ia juga boleh menjadi sebuah medan di mana mereka ditipu, dipermainkan atau dibuli. Jika anak-anak terdedah kepada keburukan di internet, mereka boleh mempelajari perkara yang salah, dipengaruhi oleh orang-orang yang jahat dan lebih teruk lagi, menjadi sasaran penipuan dan buli.

Sehubungan itu, Pi1m FELDA Bukit Rokan telah mengadakan taklimat  Kawalan Ibu Bapa (Parental Control) dengan kerjasama pra-sekolah dalam Program Sehari Bersama Komuniti di Sekolah Kebangsaan FELDA Bukit Rokan pada 13 Januari 2016.

Seramai 19 orang ibu bapa yang telah hadir dan memberi maklum balas yang positif terhadap taklimat yang diadakan ini. Dalam taklimat ini. Pi1m FELDA Bukit Rokan berkongsi cara bagaimana ibu bapa boleh terlibat dengan aktiviti anak-anak di dalam talian. Ibu bapa perlu lebih aktif dalam hubungan siber anak-anak dengan menjadi rakan mereka di laman social. Selain meneliti siapa rakan-rakan anak mereka yang lain.

Ibu bapa juga digalakkan menetapkan fungsi kawalan ibu bapa di komputer dan di internet. Fungsi ini boleh menghalang anak-anak daripada melihat laman web yang tidak dibenarkan, memberi notifikasi jika anak anda cuba membuka laman web yang disekat, mengawal masa penggunaan komputer dan pelbagai fungsi lain.

Bagaimanapun, ibu bapa jangan jadi terlalu risau atau paranoid. Di dalam era teknologi di mana maklumat boleh diakses dengan mudah, kita tidak mungkin dapat mengawal segala yang sedang berlaku. Mengamalkan sikap berwaspada akan membantu anda dan anak-anak anda untuk mendapat manfaat yang baik daripada internet.