Pendidikan alaf 21 - Pengenalan Digital di Pra sekolah SKBR

21 January 2016 |

Seiring dengan motto Pendidikan alaf 21, Pi1m FELDA Bukit Rokan dengan kerjasama prasekolah SKBR telah mengadakan program Pengenalan Digital untuk kanak-kanak umur 5 dan 6 tahun.

 

Seramai 33 orang kanak-kanak telah mengikuti program tersebut. Mereka dibimbing untuk mengikuti pembelajaran menggunakan netbook. Kelas bermula dengan memperkenalkan alatan digital kepada kanak-kanak. Mereka juga membuat latihan menaip ABC di netbook masing-masing. Bagi kanak-kanak yang berumur 6 tahun latihan menulis teks disediakan untuk mereka. Pembelajaran melalui penggunaan ICT mampu memberi kesan ke atas hasil kerja dan tingkah laku kepada kanak-kanak dan akan mempercepatkan proses pengajaran dan pembelajaran, seterusnya memudahkan guru untuk mengajar mereka. 

 

Program ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pihak sekolah dan ibu bapa. Rata-rata ibu bapa memberi respon yang amat positif dan mahu program ini diteruskan lagi di masa akan datang.  Mereka berharap pembelajaran menggunakan ICT yang digunakan mampu menambah pengetahuan kanak-kanak, mendapat pengalaman bermakna, meningkatkan kemahiran kanak-kanak dalam mempelajari ilmu sains dan teknologi.

 

Lanjutan daripada program pengenalan digital ini, Pi1m FELDA Bukit Rokan akan mengadakan kelas ICT bagi kanak-kanak pra sekolah di pusat internet pada setiap hari Isnin dan Rabu. 

 

 

Kanak-kanak akan didedahkan tentang penggunaan asas komputer, cara melayari internet dengan bijak dan mengikuti pembelajaran secara online yang lebih interaktif. Aktiviti pembelajaran dan pengajaran berasaskan ICT sebenarnya mampu memperkembangkan kecerdasan kanak-kanak seperti kecerdasan intelektual, linguistik, intrapersonal dan sebagainya.