Pengenalan Digital Siri 2 – Tabika Kemas (F) Bukit Rokan

10 March 2016 |

 

Kajian menunjukkan penggunaan komputer dan internet membantu meningkatkan kemahiran pembelajaran, meransang kreativiti dan meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah melalui perisian-perisian yang ada. Pembelajaran dapat disampaikan dalam pelbagai bentuk yang lebih menarik dilengkapi dengan kesan audio dan visual. Sekaligus teknik pengajaran yang berunsurkan multimedia seperti ini akan lebih menambahkan minat kanak-kanak untuk belajar.

Sehubungan itu, sekali lagi Pusat Internet 1 Malaysia FELDA Bukit Rokan telah mengadakan siri jelajah pengenalan digital kepada kanak-kanak pra sekolah. Kali ini pada 10 Mac 2016 yang lalu, program ini diadakan di Tabika Kemas FELDA Bukit Rokan. Seramai 22 orang pelajar telah menghadiri program ini yang bermula pada pukul 10 pagi.

Kelas bermula dengan memperkenalkan alatan digital kepada kanak-kanak. Mereka juga membuat latihan menaip ABC di netbook masing-masing dan bagi kanak-kanak yang berumur 6 tahun latihan menulis teks disediakan untuk mereka. Kanak-kanak juga didedahkan tentang penggunaan asas komputer, cara melayari internet dengan bijak dan mengikuti pembelajaran secara online yang lebih interaktif. Antara latihan yang diberikan adalah mewarna dalam talian, puzzle dan mengira dalam bentuk animasi.

Program ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada pihak sekolah  dan pegawai-pegawai KEMAS. Puan Zuredah Binti Muhamad, Penyelia Kanan Kemas Daerah Tampin menyatakan dengan harapan supaya program ini diperluaskan ke seluruh TABIKA KEMAS Daerah Tampin kerana banyak manfaat boleh diraih daripada program ini. Pn. Zuraida juga berharap guru-guru TABIKA KEMAS dapat mengambil inisiatif ke atas kewujudan teknologi baru seperti internet sebagai satu medium yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan mutu pembelajaran di dalam kelas.