“Sekolah Di Mana-Mana Pun Boleh, Ayah”

13 April 2016 |

Bukan calang-calang orang boleh dapat 5A di dalam keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tanpa kerja keras.

Tetapi adik Nurizzati Binti Mazli boleh mendapatkannya. Beliau telah buktikan walau beliau anak seorang penoreh getah dan anak kampung, beliau mampu mendapat 5A di dalam peperiksaan UPSR 2015.

Adik Izzati merupakan salah seorang murid Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan FELDA Bukit Rokan yang telah dinobatkan berjaya memperolehi 5A UPSR tahun 2015.

Ayah adik Izzati hanya seorang pekebun getah yang berpendapatan di bawah RM1000 sebulan dan ibunya seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Encik Mazli Bin Mohd Salleh dan isteri Salmi binti Wadud merupakan orang yang paling gembira sekali di atas kejayaan adik Izzati.

Bercita-cita menjadi doktor. Anak kedua daripada 2 orang adik beradik ini memang rajin membaca sejak dari kecil lagi. Lantaran keluarganya yang kurang berkemampuan, adik Izzati tidak pernah mengambil tuisyen persendirian. Dia hanya mengikuti kelas yang diaturkan oleh pihak sekolah termasuk kelas zoom-a di Pusat Internet 1 Malaysia FELDA Bukit Rokan. Tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan adik Izzati seringkali datang ke Pusat Internet 1 Malaysia FELDA Bukit Rokan untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat latih tubi dalam talian seperti zoom-a yang diadakan secara percuma.

Kini adik Izzati bersekolah di Sekolah Menengah Jelai, Kepis walaupun mendapat tawaran dari Sekolah Asrama Penuh Integrasi Selandar, Melaka lantaran tidak mahu membebankan ibu bapanya. Padanya di mana-mana dia bersekolahpun dia akan membuat yang terbaik untuk keluarganya, kata izzati kepada ayahnya ketika mendapat tawaran tersebut.

Kami  kakitangan Pusat Internet 1 Malaysia  FELDA Bukit Rokan mendoakan adik Izzati mampu menggapai cita-citanya. Kami juga ingin merakamkan ucapan TAHNIAH dan SYABAS kepada kedua-dua ibubapa yang membesarkan Izzati sehingga mampu melahirkan insan terpelajar walaupun dalam serba kekurangan.

 

Kami bangga diatas kejayaan anda dan semoga kejayaan anda menjadi pemangkin kejayaan semua.