Sambutan Hari Guru Bersama Komuniti

16 May 2016 |

Guru merupakan satu kerjaya yang sangat dihormati oleh segenap lapisan masyarakat. Setiap tahun Sambutan Hari Guru adalah ditetapkan pada 16 Mei dan guru-guru akan diraikan bagi menghormati profesion yang mulia ini.

Demi mengeratkan hubungan guru dengan masyarakat sambutan Hari Guru SKBR pada kali ini disambut bersama komunti. Pihak Pi1m FELDA Bukit Rokan tidak melepaskan peluang untuk bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Rokan yang dijayakan bersama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB), JKKK Felda Bukit Rokan, ibu bapa dan komuniti FELDA Bukit Rokan.

Pusat internet 1 Malaysia (F) Bukit Rokan diberi kepercayaan dalam menguruskan promosi sambutan dan keceriaan sudut photografi selain menjadi pengacara majlis di dalam Majlis Sambutan Hari Guru SKBR 2016.

Kehadiran Yang Berhormat Tuan Mohd Isam bin Hj. Mohd Isa, ADUN Kawasan Gemencheh memeriahkan lagi majlis ini dan telah merasmikan sambutan ini. Menurutnya, kejayaan program itu juga memberi gambaran masyarakat menghargai jasa dan pengorbanan pendidik yang membantu melahirkan generasi terdidik. Beliau turut menyampaikan cenderamata kepada Tokoh Guru 2016 SKBR. Penghargaan juga diberikan kepada pihak sekolah. Turut hadir ialah wakil daripada Pegawai Pendidikan Daerah Tampin, Wakil daripada Pejabat FELDA Rancangan Bukit Rokan dan Tuan Komandan Pusat Latihan Polis Bantuan, ASP Tuan Ramalan Bin Yusof.

Antara acara menarik dalam majlis ini ialah acara ‘menjemput’ iaitu salah satu tradisi orang melayu dalam mengalu-alukan kehadiran tetamu, perarakan guru-guru daripada Sekolah Kebangsaan Bukit Rokan ke Dewan Orang Ramai, persembahan nyanyian Guru besar bersama guru-guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Bukit Rokan menyanyikan lagu ‘Guru Malaysia’ dan acara potong kek. Tuan Mohd Isam bin Hj. Mohd Isa juga tidak ketinggalan menyumbangkan sebiji kek di dalam majlis ini.

Sambutan Hari Guru ini berakhir dengan majlis jamuan perdana yang melibatkan penyediaan menu yang dibuat secara gotong-royong mengikut kelas anak-anak dan menu utama 3 ekor kambing yang disumbangkan oleh ibu bapa komuniti Bukit Rokan.