Pelancongan & Rekreasi

1.         Pusat Latihan Polis Bantuan Felda Bukit Rokan

Terletak dikawasan perkampungan Felda Bukit Rokan dengan suasana yang nyaman, indah serta penuh ketenangan yang amat sesuai untuk peserta dan tetamu yang ingin melihat kehidupan harian warga peneroka Felda.

Perjalanan yang hanya mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit dari bandaraya Kuala Lumpur dan hanya 30 minit dari Lebuhraya Plus Utara Selatan melalui persimpangan Simpang Ampat, Melaka, pekan Gemencheh dan terus ke Bukit Rokan dengan suasana pemandangan yang penuh kehijauan dikiri dan kanan perjalanan melalui perkampungan tradisional begitu mempersona dan menakjubkan.

Pusat Latihan Polis Bantuan Felda kini menawarkan tempat penginapan penuh berhawa dingin dengan pelbagai kemudahan bersesuaian bagi kursus-kursus, bengkel, program team-building, majlis-majlis keramaian serta perkhemahan yang boleh menampung lebih 300 peserta pada satu-satu masa. Dengan hidangan makanan tradisional tempatan, pastinya akan menyelerakan dan memberi kenangan manis buat peserta dan tetamu yang mengunjungi di sini.

 

2.         Lapang Sasar Polis Bantuan Felda

Pembinaan lapang sasar polis bantuan Felda telah di bina pada penghujung tahun 2007 di Felda Bukit Rokan Gemencheh Negeri Sembilan. 

Tujuan pembinaan lapang sasar adalah untuk memberi latihan kepada anggota polis bantuan Felda menjalankan latihan penggunaan senjata api bagi menambah kemahiran dan kecekapan dalam pengendalian senjata api.

Lapangan sasar yang mempunyai  keluasan 26.99 ekar ini mempunyai kemudahan asas yang mencukupi seperti tempat penginapan  dewan, surau dan lain-lain termasuklah jurulatih yang berkemahiran bagi memberi keselesaan kepada mana-mana kumpulan  yang menggunakan lapang sasar.

 

3.         Dataran Tampin

Dataran ini terletak berhampiran dengan Kompleks Sukan Tampin dan menjadi salah sebuah lokasi tumpuan penduduk untuk melakukan aktiviti riadah pada hari biasa dan hujung minggu. Antara kemudahan yang ada ialah taman permainan kanak-kanak yang serba lengkap, trek berjogging, alatan senaman, objek-objek mercu tanda yang menarik dan pentas terbuka.

 

4.         Taman Tasik Tampin

Taman ini terletak kira-kira 400 meter dari Lay By. Dilengkapi dengan alatan permainan kanak-kanak, menara pandang jauh, wakaf, kerusi rehat dan trek berjogging. Antara lokasi yang boleh menjadi pilihan anda untuk beriadah bersama keluarga. Selain itu, gerai-gerai makanan juga terletak berdekatan dengan taman ini.

 
5.         Gunung Tampin

Gunung Tampin merupakan pengakhiran kepada Banjaran Titiwangsa (dari segi geografi). Beberapa kolam telah didirikan di atas gunung ini bagi membolehkan para pengunjung menikmati kejernihan air yang masih terpelihara ini. Walaubagaimana pun, kolam-kolam ini akan dinaiktaraf lagi bagi memberikan keselesaan dan kepuasan serta imej yang lebih baik dengan konsep yang lebih moden. Laluan sedia ada ke puncak gunung dengan jarak kira-kira 5 km ini juga sering dijadikan trek berjogging dan beriadah oleh orang ramai pada sebelah petang dan cuti hujung minggu.

 

6.         Lay By Tampin

Lay By Tampin merupakan kawasan hentian berkonsepkan Rawat Dan Rehat (R&R). Terletak di pintu masuk utama ke daerah ini daripada utara semestinya lokasi yang strategik bagi membolehkan anda berhenti seketika sebelum meneruskan perjalanan. Antara kemudahan yang terdapat disini ialah gerai makanan, surau dan taman permainan kanak-kanak.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.