Ekonomi dan Keusahawanan

PERUSAHAAN KOMUNITI SETEMPAT:

 

1. UB Food Manufactory (Mee Kuning Dan Tauhu)

Nama : Kasnin Kasar

Umur : 64 Tahun

Alamat : No.4 Jalan Pasar Felda Ulu Belitong, 86007, Kluang, Johor

No. Tel : 013-7061319 / 017-7061318

Seorang peneroka Felda Ulu Belitong di sini, Kasnin Kasar, 64, merupakan  pegusaha mi dan tauhu yang dijamin halal dan suci di kilangnya UB Food Manufactory sejak 17 tahun lalu. Bermodalkan hanya RM10,000 menerusi bantuan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Johor, Kasnin memberanikan diri membuka kilang mi dan tauhu itu di rumahnya di tanah rancangan tersebut pada tahun 1992. Beliau berkata, peringkat awal, kedua- dua makanan itu hanya dijual kepada penduduk Felda tersebut dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. ''Pasarannya kemudian berkembang hingga ke Felda Ulu Penggeli, Bandar Tenggara, Taman Sri Lambak dan seterusnya di bandar Kluang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Kasnin, jika sebelum ini beliau hanya memproses beberapa kilogram tepung gandum untuk dijadikan mi, tetapi kini jumlah itu meningkat sehingga 400 kilogram sehari. Beliau berkata, beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pertanian turut menghulurkan bantuan untuk membesarkan perusahaannya termasuk mendirikan bangunan kilang di Felda berkenaan. Mengenai tauhu, beliau berkata, sebanyak 2,000 keping tauhu dihasilkan pihaknya setiap hari dan turut diedarkan di beberapa kawasan di daerah Kluang. Menurut beliau, selain itu, beliau turut menghasilkan air tauhu terutama setiap bulan Ramadan untuk memenuhi permintaan orang ramai.

 

2. Ternakan Ikan Air Tawar Felda Bukit Tongkat

Nama : Mansur Bin Hassan

Umur : 64 Tahun

Mansur Bin Hassan merupakan peneroka Felda Bukit Tongkat antara yang terawal membuka ternakan ikan air tawar di Felda Bukit Tongkat. Beliau menternak ikan air tawar hampir 5 tahun yang bermodalkan RM3, 000 menerusi modal sendiri. Menurut Mansur, beliau hanya mempunyai dua buah kolam yang bertempatkan Ikan Tilapia dan Ikan Baung yang dianggarkan 5000 – 6000 ekor ikan dengan kos makanan hampir RM500 sebulan. 

Kolam ikan air tawar yang bersebelahan dengan rumahnya memudahkan beliau menjaga dan memantau ikan air tawar tersebut. Ikan Tilapia, Ikan Patin dan Ikan Baung adalah antara ikan yang diternak. Menurut beliau, ikan- ikan tersebut mengambil masa selama 7 – 8 bulan untuk membesar sebelum dipasarkan. Beliau berkata pada peringkat ini, beliau hanya memasarkan ikan-ikan tersebut di kawasan berdekatan, hal ini disebabkan permintaan tinggi oleh penduduk Felda Bukit Tongkat dan Felda Ulu Belitong.

Beliau berkata, beberapa orang peneroka disekitar Felda Bukit Tongkat dan Felda Ulu Belitong juga mengusahakan kolam air tawar dan kesemuanya melebihi 40 buah kolam untuk memenuhi permintaan orang ramai. Walau bagaimanapun, pasaran hanya tertumpu kepada kawasan sekitar termasuk Felda Ulu Pengeli, Ladang Sindora, Ladang Tabung Haji dan kawasan-kawasan yang berdekatan dengannya. 

 

 

3. Sidi Enterprise - Santan Kelapa, Kerisik & Lain-Lain

 Nama : Hamad Bin Ismail

Umur : 58 Tahun

Alamat : No.4 Kawasan Industri,Jalan Pasar, Felda Ulu Belitong, 86000, Kluang, Johor

No. Tel : 017-3380270/017-7155856 

Sidi Enterprise adalah sebuah syarikat bumiputera milikan tunggal yang menjalankan perniagaan berunsurkan kelapa seperti santan kelapa, kelapa parut, kerisik dan minyak kelapa. Syarikat ini telah ditubuhkan sejak awal tahun 2013 yang beralamat di No 4 Kawasan Industri, Jalan Pasar, Felda Ulu Belitong,86000 Kluang Johor.

En Hamad bin Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Ahmad,58 bersama-sama abangnya En Sidi bin Ismail,62 telah memulakan langkah untuk menceburi bidang perniagaan kelapa ini. Terdapat banyak permintaan daripada penduduk sekitar dan juga penduduk dari kawasan berhampiran yang menjadi pelanggan tetap Pak Ahmad.

Permintaan kelapa parut, santan kelapa dan kerisik akan lebih banyak apabila tiba musim kenduri. Jadi, Pak Ahmad perlu memastikan bekalan kelapa mencukupi. Buat masa ini, Pak Ahmad mendapatkan bekalan kelapa daripada kenalannya di Batu Pahat. Untuk pembelian dalam kuantiti yang banyak pelanggan perlulah membuat tempahan awal supaya Pak Ahmad dapat menyediakan kelapa secukupnya.

Menurut Pak Ahmad, kerisik yang dihasilkannya adalah menggunkan kaedah manual dengan cara menumbuk kelapa parut yang telah disangai garing sehingga lumat dan mengeluarkan minyak kerisik secara semulajadi dan akhirnya menjadi kerisik, dengan cara ini kerisik akan lebih tahan lama dan mengeluarkan aroma yang lebih harum berbanding dengan mengisar menggunakan pengisar. 

Di premis Pak Ahmad, terdapat mesin-mesin kelengkapan untuk memproses kelapa dan juga chiller untuk penyimpanan santan kelapa supaya pelanggan akan hanya mendapatkan produk yang berkualiti tinggi. Buat masa ini, produk syarikatnya hanya diedarkan untuk penduduk sekitar sahaja. Pada masa akan datang, Pak Ahmad bercadang memperluas perniagaannya terutama produk kerisiknya ke luar dari kawasan Felda kerana daya tahan kerisik yang agak lama berbanding santan segar. Bagi yang berminat untuk menempah santan kelapa dan juga produk-produk lain bolehlah menghubungi Pak Ahmad, 017-3380270/017-7155856 

 

4. Ternakan Rusa

 Nama : Jaafar Bin Subakir

Umur : 53 Tahun

Alamat : Sebelah Pejabat Felda Bukit Tongkat.

No. Tel : 013-7994309 

En Jaafar Bin Subaki adalah merupakan seorang peneroka di Felda Bukit Tongkat. Selain merupakan seorang peneroka beliau juga adalah seorang penternak rusa. Beliau baru sahaja berkecimpung dalam bidang penternakan rusa ini iaitu kurang daripada setahun.

Penternakan rusa ini adalah merupakan salah satu daya tarikan di Felda Bukit Tongkat kerana beliau seorang sahaja yang menternak rusa di Felda Bukit Tongkat ini.  Bermula dengan hanya 5 ekor rusa, kini bilangan rusanya telah bertambah kepada 19 ekor. Oleh kerana beliau baru sahaja menternak rusa, beliau masih tidak menjual rusa-rusanya. Tetapi, pada masa akan datang setelah rusa-rusanya membiak, beliau juga akan membuka pasaran daging rusa.

Beliau juga mendapat sokongan daripada pihak pengurusan Felda dalam usaha beliau untuk menternak rusa. Kawasan lading tenakan rusa ini berkeluasan lebih kurang 1 ekar persegi. Ini merupakan satu nilai tambah yang ada di Felda Bukit Tongkat berbanding felda-felda lain. Pada masa kini, menantu beliau adalah orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga ladang rusa tersebut dan beliau dalam usaha mencari pekerja untuk bekerja di ladang rusanya.  

 

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.