Pendidikan

Photo

Tabika Kemas Felda Chuping


   Kemudahan pendidikan awal yang disediakan di Felda Chuping adalah di Tabika Kemas Felda Chuping. Kanak-kanak seawal usia 4 tahun didedahkan dengan perkembangan ilmu selari dengan arus semasa selain dapat membiasakan diri dengan alam persekolahan.


Terdapat dua buah sekolah rendah yang terletak di kawasan Felda Chuping iaitu:


Photo

i. Sekolah Kebangsaan LKTP Chuping

 

   Sekolah ini ditubuhkan pada 6 Disember 1978 dengan menumpang di tiga buah rumah pemandu. Pada 30 Oktober 1979 sekolah ini mula beroperasi di bangunan sendiri dan menambah bilangan bangunan sedia ada dari masa ke semasa berikutan pertambahan bilangan pelajar. Sekolah ini terletak di Felda Chuping berhampiran kampus UniMaps. Kebanyakan pelajar di sekolah ini terdiri daripada anak dan cucu peneroka. 


Photo

ii. Sekolah Rendah Islam 111


   Sekolah Rendah Islam III mula beroperasi pada 5 Januari 1998 dan hanya mempunyai pelajar seramai 45 orang murid sahaja pada awal penubuhannya. Sekolah ini telah diasaskan oleh Ahli Jawatankuasa Rancangan Felda Chuping yang diketuai oleh Abu Talib bin Husin. Pada awalnya sekolah ini menumpang di bangunan Sekolah Agama Rakyat Felda Chuping. Sekolah ini berada di bawah naungan Yayasan Islam Perlis (YIPs) selama 8 tahun dan kemudiannya YIPs telah menanda tangani MOU untuk menyerahkan Sekolah Rendah Islam III untuk diuruskan oleh Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral (JAPIM) Kementerian Pelajaran Malaysia. Sekolah ini telah diambil alih separuhnya pada 1 Januari 2006. Sekarang sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.


Photo

Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin


   Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) telah beroperasi di kampus sementaranya di Kolej Komuniti Darulaman pada 16 Mei 2003. PTSS berpindah ke kampus tetapnya yang terletak di KM 25 Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis pada 16 Jun 2004. Pengambilan pelajar yang pertama bermula pada sesi Julai 2004. Sebelum ini Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin lebih dikenali sebagai Politeknik Perlis.

   Politeknik ini merupakan politeknik yang ke 18 di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi. Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin menawarkan program di peringkat Sijil (2 Tahun) dan Diploma (3 Tahun) kepada lepasan SPM. Tawarannya terbuka kepada semua warganegara Malaysia.


Photo

Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP)


   Pusat Pengajian Tinggi yang terletak berhampiran kawasan Chuping adalah Universiti Malaysia Perlis. Kampus tetapnya beralamat di Kampus Tetap UniMAP, Pauh Putra, Kampung  Ulu Pauh, Perlis. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) diluluskan sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada 25 Julai 2001 dan mula beroperasi pada Jun 2002. Tujuan utama penubuhan UniMAP ialah untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir dan berkebolehan untuk merekabentuk, membina, menguji dan menyelenggara pelbagai peralatan dan sistem. Tenaga kerja mahir ini juga seharusnya berketerampilan dalam pelbagai bidang strategik dan berupaya mencari penyelesaian kepada pelbagai bentuk masalah menerusi pemikiran yang inovatif. 


   Mulai Sidang Akademik 2009/2010 yang lalu, buat pertama kalinya UniMAP menawarkan program pengajian dalam bidang perniagaan. Salah satu matlamat penawaran program pengajian berkenaan adalah melahirkan usahawan tekno yang berpengetahuan dalam bidang keusahawanan dan perniagaan serta mempunyai kemahiran asas dalam kejuruteraan. Pada Sidang Akademik 2011-2012, UniMAP telah menawarkan program pengajian dalam bidang Teknologi Kejuruteraan. Ianya bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membina generasi berilmu , berkemahiran tinggi dan menyumbang kepada agenda pendapatan tinggi negara.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.