Komuniti

KEPIMPINAN JKKR

 

Badan tertinggi rancangan masih lagi didukung oleh JKKR. Di samping itu, pertubuhan GPW dan Persatuan Belia juga merupakan pertubuhan yang wujud dirancangan yang peranannya ada kaitan diantara satu sama lain. Sebagaimana fungsi asas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) yang lain, JKKR turut berperanan dalam memastikan kestabilan penduduk dan kemajuan rancangan sentiasa terjamin. Pihak JKKR akan mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam sebulan bagi membincangkan mengenai perkembangan rancangan dan merancang aktiviti-aktiviti rancangan. Malah, termasuk juga diadakan mesyuarat tanam semula bersama Technoplant, mesyuarat blok dan Roll Call yang kebiasaannya mesti dilakukan setiap bulan.

Antara aktiviti yang dianjurkan oleh pihak JKKR dengan penduduk rancangan adalah kegiatan gotong-royong membersihkan kawasan felda. Sekiranya ada sebarang majlis keramaian, penduduk akan sama-sama menyumbangkan tenaga agar semuanya berjalan dengan lancar.

 

PERSATUAN GPW

 

Persatuan GPW (Gerakan Persatuan Wanita) merupakan persatuan yang bergiat aktif di felda ini. Aktiviti yang paling aktif ialah aktiviti marhaban berzanji yang kebiasaannya akan diperlukan apabila ada majlis keramaian seperti majlis perkahwinan, majlis menyambut menantu, majlis cukur jambul, majlis kesyukuran dan sebagainya. Malah, persatuan ini akan membuat mesyuarat sekali sebulan untuk membincangkan aktiviti yang akan dijalankan setiap bulan dan membangkitkan isu-isu berkaitan. Bukan itu sahaja, aktiviti lain yang dilakukan ialah kelas agama/tahmir yang membudayakan Al-Quran dan penceramah daripada seorang ustaz jemputan juga selalu diadakan sekali setiap bulan khusus untuk penerokawati yang berminat. Seterusnya, bagi kelas masakan mahupun gubahan biasanya juga dilakukan setiap minggu dalam sebulan. Kelas ini biasanya mendapat kerjasama dengan Pembantu Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Manakala, majlis tahlil atau yassin kampung akan dilakukan setiap akhir bulan yang mana setiap blok akan menganjurkan mengikut giliran.

            Persatuan ini juga aktif bersenamrobik setiap hari seawal 7 pagi. Jadi, ahli persatuan yang berminat boleh menyertai senaman ini yang mana untuk meningkatkan kecergasan badan dan mengamalkan hidup yang sihat. Jika tibanya sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, persatuan ini akan membuat Marhaban Hari Raya di rumah peneroka yang mengambil bahagian. Tambahan lagi, GPW juga akan menganjurkan atau membuat seminar dan kursus untuk memantapkan organisasi keluarga

Seperti kita tahu, walaupun mereka sebagai seorang wanita dan ibu yang sentiasa sibuk dengan tugas seharian, namun itu tidak mematahkan semangat mereka untuk turut aktif menceburkan diri dengan aktiviti yang memberi banyak kemahiran dan faedah kepada mereka.

 

PERSATUAN BELIA (MBFM FELDA INAS)

 

Belia sebagai pewaris generasi kedua dengan mengekalkan seni budaya felda. Maka, Persatuan Belia Felda Inas Utara yang juga dikenali MBFM (Majlis Belia Felda Malaysia) mempunyai pelbagai aktiviti mereka tersendiri. Walaupun ramai di antara mereka telah berhijrah ke kawasan bandar untuk melanjutkan pelajaran ataupun bekerja namun bagi belia yang masih tinggal di sini mereka aktif terutamanya dalam aktiviti sukan.

Aktiviti kompang paling aktif yang mana mereka sentiasa membuat latihan kompang setiap malam Selasa, Rabu dan Khamis. Selain aktif berkompang, sukan futsal & bola jaring  merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh belia felda ini sekiranya ada masa terluang. Malah, boleh dikatakan setiap petang mereka ada latihan futsal sesama mereka. Jika ada permintaan pula, persatuan ini akan menganjurkan pertandingan futsal dan bola jaring melibatkan belia di dalam felda mahupun melibatkan persatuan belia sekitar Zon Taib Andak. Juga jika berkesempatan persatuan ini akan menyertai pertandingan bola sepak, sepak takraw dan futsal di daerah Kulai.

Malah, Persatuan Belia Felda Inas ini juga ada membuat gotong royong membersihkan kawasan terlibat sekurang kurangnya sekali dalam sebulan melibatkan penyertaan belia dalam felda.

Bukan itu sahaja, banyak aktiviti dan program lain yang akan mereka sertai kerana mereka merupakan tulang belakang bagi sesebuah program yang akan dibuat. Persatuan ini sememangnya banyak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan program-program rancangan felda yang di anjurkan dengan memberi kerjasama bagi menjayakan program tersebut.

Peranan persatuan ini sememangnya penting di dalam memastikan kelancaran majlis akan berakhir dengan jayanya. Aktiviti sebegini juga dapat menjauhkan anak-anak muda dari terlibat dengan gejala sosial dengan menarik minat belia untuk menjalankan dan menyertai aktiviti berfaedah di kampung.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.