Kemudahan Awam

KEMUDAHAN ASAS

 

Kemudahan yang paling penting seperti jalan raya berturap, bekalan air dan elektrik disalurkan dengan cukup kepada seluruh penduduk. Antara kemudahan lain adalah masjid, sekolah, klinik dan balai raya yang dibina di dalam kawasan pusat komuniti Felda Kahang Barat untuk kegunaan penduduk setempat. Malah, di sini turut terdapat sebuah Pusat Internet 1 Malaysia dan bilik bacaan untuk menggalakkan budaya membaca dan cintakan ilmu dikalangan penduduk.

Kemudahan seperti di PI1M (F) Kahang Barat dan Bilik Bacaan  yang terdapat di sini banyak memberi kebaikan kepada penduduk. Dengan kadar bayaran yang rendah dan latihan ICT percuma, ia turut menarik orang luar untuk menggunakan kemudahan komputer di sini.

Penduduk juga saling bekerjasama menjaga dan memelihara kemudahan yang disediakan kepada mereka. Pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) berperanan memastikan kemudahan yang terdapat di kampung ini berada di dalam keadaan baik dan akan sentiasa berusaha menambahkan lagi kemudahan infrastruktur demi kepentingan penduduk. Gotong-royong juga diadakan pada setiap minggu untuk memastikan kemudahan yang disediakan dalam keadaan bersih dan baik.

 

KESIHATAN


Penduduk Felda Kahang Barat mendapatkan rawatan kesihatan di Klinik Desa Felda Kahang Barat yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat, bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Kedudukan klinik ini di tengah-tengah penempatan penduduk, oleh itu  mudah bagi mereka untuk datang mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di klinik ini adalah klinik kesihatan kanak-kanak, ibu mengandung, postnatal, perancang keluarga dan turut menyediakan perkhidmatan rawatan ke rumah untuk wanita mengandung. Kadar bayaran sama seperti klinik desa lain iaitu RM1.00 untuk pesakit luar dan RM15.00 bagi warga asing. Sekiranya berlaku kes-kes kritikal, pihak klinik akan merujuk kepada Klinik Kesihatan Kahang Timur  yang terletak lebih kurang 10 km dari Felda Kahang Barat.


KESELAMATAN

 

RELA

Keselamatan  Felda Kahang Barat secara amnya adalah di bawah jagaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA). JKKR sentiasa memantau keadaan kampung bagi memastikan tiada aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan kampung. Pihak JKKR amat peka dengan segala perkara berkaitan dengan keselamatan kampung dan rondaan secara berkala merupakan antara cara untuk menjamin keamanan terus tercapai.

 

POLIS

Segala aduan dan kegiatan jenayah akan dilaporkan terus ke Balai Polis Kg. Gajah yang merupakan balai polis terdekat dengan Felda Kahang Barat. Di samping itu, penduduk juga bekerjasama dengan pihak polis, JKKR dan RELA dalam menjaga keselamatan kampung untuk mengelakkan kegiatan jenayah daripada berlaku.

 

NAMA BALAI

BALAI POLIS KG. GAJAH

No. TEL

07-7879222

 

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.