Komuniti

JKKR


Jika di kawasan perkampungan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan organisasi yang  menjadi tulang belakang atau penghubung antara penduduk kampung dengan kerajaan. Namun, bagi kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), organisasi yang ditubuhkan ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR).
               JKKR mempunyai fungsi tugas kerja yang sama dengan JKKK. Melalui JKKR, segala masalah yang dihadapi oleh para peneroka dapat disalurkan kepada pihak FELDA mengikut prosedur yang telah ditetapkan. JKKR Felda Kahang Barat  turut berperanan dalam memupuk  perpaduan antara masyarakat di sini, dengan menganjurkan pelbagai aktiviti bersama serta berusaha untuk meningkatkan ekonomi para peneroka.  

 

GABUNGAN PERGERAKAN WANITA (GPW)


(GPW) adalah persatuan wanita yang paling aktif dan dianggotai oleh kesemua penerokawati di Felda. GPW ini diwujudkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR). Tujuan penubuhan GPW ini adalah untuk membolehkan penerokawati juga terlibat dalam pembangunan Felda dan ianya juga menunjukkan bahawa wanita juga tidak ketinggalan dalam memajukan Felda.

GPW juga banyak menganjurkan aktiviti yang berkaitan dengan wanita di Felda. Dalam meningkatkan pengetahuan agama di kalangan wanita, kelas agama turut diadakan seperti bina insan, tartim  dan tadarus. Tartim dan berzanji selalunya dianggotai seramai 30 orang dan selalunya diadakan di dalam majlis keramaian dan majlis perkahwinan. Selain itu, majlis bacaan Yaasin turut diadakan pada setiap malam Jumaat yang diadakan di masjid dan juga dibuat dari blok ke blok oleh golongan wanita Felda di Kahang Barat. GPW juga terlibat dengan beberapa aktiviti kemasyarakatan seperti membersih dan menceriakan kawasan kampung, senamrobik dan sebagainya.

Untuk menambah ekonomi dan tabungan, GPW di Felda Kahang Barat telah mengusahakan pelbagai aktiviti contohnya tanaman ubi di mana hasilnya dijual kepada orang kampung. Selain itu GPW turut menjadi kendarat di majlis-majlis perkahwinan untuk mengumpul dana GPW. Lain-lain aktiviti yang turut dijalankan oleh GPW adalah, mengikuti kelas memasak, mengadakan lawatan sosial ke setiap blok, dan mengadakan sambutan Maulidur Rasul.

 

BELIA


Golongan belia Felda Kahang Barat mempunyai pelbagai aktiviti mereka tersendiri. Walaupun ramai di antara belia telah berhijrah ke kawasan bandar untuk melanjutkan pelajaran ataupun bekerja namun bagi belia yang masih tinggal di sini mereka aktif dalam aktiviti sukan mahupun kemasyarakatan. Sepak takraw dan futsal merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh belia kampung ini sekiranya ada masa terluang. Persatuan Belia Felda Kahang Barat  ini juga sering terlibat dengan  pertandingan kejohanan bola sepak dan sepak takraw yang juga melibatkan penyertaan belia dari kawasan sekitar. Selain itu, Felda juga ada menganjurkan kursus kepimpinan khas untuk golongan belia bagi menyuntik rasa kepimpinan di dalam diri golongan belia pada masa kini. 

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.