Pelancongan & Rekreasi

Tempat-tempat Menarik

Industri pelancongan memainkan peranan penting di dalam menarik ramai pelancong tempatan mahupun dari luar negara berkunjung ke daerah ini.  Selain daripada Taman Negara Pulau Tiga, Taman Peranginan Sawangan dan Pulau Ular yang telahpun diketahui umum, terdapat juga tempat yang mempunyai daya tarikan tersendiri dan berpotensi dijadikan Taman Peranginan seperti Pantai Berbatu (Rocky Beach) di perisiran pantai Kampung Menumpang, Kiambor, Pantai Batu Luang dan Pantai Tempurung.

Ø  Pulau Tiga

Pulau Tiga bukan sahaja terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal, bahkan juga menyimpan banyak misteri masa lampau.

Menurut cerita orang tua-tua, pada zaman dahulu terdapat sepohon lada padi yang ajaib di pulau tersebut.  Batang sahaja sebesar pokok kelapa yang sudah berbuah.  Jika ingin memetik buahnya anda terpaksalah memanjat.  Walaubagaimanapun tidak pula diketahui lokasi sebenar di mana tumbuhnya pokok tersebut.  Terdapat juga cerita tentang kewujudan sebuah Perigi Ajaib di tepi pantai pulau tersebut.  Walaubagaimanapun tidak semua orang dapat melihat lada dan perigi ajaib tersebut.

Pulau tiga ini terletak di Laut China Selatan dekat dengan pesisir pantai Barat Sabah.  Pulau ini terbentuk pada 21 September 1987 ketika gempa bumi yang melanda Mindanao menyebabkan letusan gunung berapi dekat Borneo.  Para pengunjung yang ingin mengujungi pulau ini perlu menaiki bot laju dari pekan kuala penyu.  Biasanya perjalanan dengan bot ini mengambil masa lebih kurang 25 minit.

Selain daripada keunikan alam semulajadi yang masih belum tercemar seperti hutan dara, tumbuhan bakau (mangrove), pantai yang masih bersih dan berkilauan, di Taman Pulau Tiga ini memberi peluang kepada para pelawat untuk melihat lebih kurang 60 spesis burung.  Sepsis burung yang ada ialah burung Tambun (Megapodius Freycinet) yang merupakan endemik sepsis di kepulauan Borneo.  Selain daripada burung-burung, Taman Pulau Tiga juga turut dihuni oleh beberapa jenis binatang liar seperti Monyet (Maccaca Fasicularis), Biawak (Iguana) dan berpuluh ribu ekor Keluang (Flying Fox).  Pulau tiga ini juga agak popular dengan kewujudan pelbagai jenis ular dan tidak heran dikenali sebagai Pulau Ular (Pulau Kalampunian Damit).  Para pelawat yang berminat dengan hidupan laut (Marine life) pasti akan merasai satu kepuasan apabila menyaksikan beraneka jenis hidupan laut, termasuklah bunga karang, yang terdapat di Taman Pulau Tiga, dan adalah dipercayai terumbu karang ini di antara yang tercantik di dunia. Turut menjadi daya tarikan pada para pelawat, ialah beberapa kawasan Gunung Berapi Lumpur (Mud Volcano) dan juga sarang-sarang Burung Tambun yang terdapat dipesisiran pantai. 

 

Ø  Pantai Sawangan

Pantai Sawangan merupakan satu lagi pulau yang terletak di daerah Kuala Penyu yang sering menjadi tumpuan baik masyarakat dalam dan luar Bandar untuk dikunjungi. Pantai ini kaya dengan keindahan alam semulajadi yang masih terpelihara serta air pantai yang bersih dan selamat untuk aktiviti mandi manda. Antara tarikan lain ialah jeti sepanjang lebih kurang 100 meter yang telah dibina khususnya untuk aktiviti memancing dan riadah. Masyarakat bukan sahaja bebas untuk mencari rezeki malahan boleh menikmati keindahan alam terutama apabila waktu senja tiba mahupun terbitnya matahari di pagi hari dengan udara yang nyaman serta jauh daripada kesibukan kota.

Selain daripada aktiviti menangkap ikan, masyarakat juga boleh mencari siput dan kerang di kawasan pesisiran pantai yang sangat luas dan cantik ini. Terdapat berbagai-bagai spesis siput dan kerang boleh didapati ada yang menjadikannya sebagai bahan perhiasan untuk dijual dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sukan air juga sering diadakan di pantai ini kerana keadaan pantainya yang tidak berbatu serta selamat untuk bersukan. Selain itu, pantai Sawangan ini juga sering menjadi pilihan terutama daripada sekolah-sekolah, jabatan kerajaan dan juga swasta sebagai pusat untuk berkhemah dan sebagainya kerana kelengkapan dan kemudahan yang disediakan di pantai ini amat memudahkan apa juga aktiviti yang mereka jalankan.

 

Ø  Gua di Pantai Batu Luang

Pantai Batu Luang ini juga merupakan satu lagi tempat yang menarik untuk dikunjungi kerana suasana pantainya masih lagi bersih.  Tempat ini juga menjadi tarikan kepada jurugambar-jurugambar dari luar untuk datang menangkap gambar pemandangan di sini.

Tempat ini juga dikenali sebagai tempat bersejarah kerana terdapat peristiwa sedih berlaku di zaman dahulu.  Kisah cerita ini menjadi lagenda kerana ketika itu ada sepasang pengantin yang baru saja melangsungkan perkahwinan mereka di rumah pengantin perempuan.  Setelah beberapa hari mereka menaiki pelamin, maka tibalah pula masanya mereka pulang ke rumah pengantin lelaki.  Dengan diiringi oleh keluarga masing-masing maka berangkatlah kedua pengantin menyusuri jalan di tepi pantai.  Ketika mereka hampir tiba di Batu Luang, tiba-tiba angina bertiup kencang, awan menjadi gelap dan diikuti oleh hujan dengan lebatnya. 

Mereka pun bergegas untuk berlindung di dalam sebuah gua yang kini dikenali sebagai Gua Batu Luang.  Setelah hujan berhenti maka mereka mulalah keluar dari gua tersebut.  Pengantin lelaki merupakan orang yang kedua terakhir keluar manakala pengantin perempuan merupakan orang yang terakhir..  Sebaik sahaja pengantin perempuan tersebut menghulurkan kedua tangannya untuk ditarik oleh si suami, tiba-tiba tanah didalam gua itu mendak/turun.  Si suami cuba untuk menyelamatkan isterinya sedaya upaya namun isterinya gagal diselamatkan.  Si isteri hanya sempat menghulurkan cincin perkahwinan mereka lalu lesap ditelan bumi.  Sejauh mana kebenaran cerita ini sukar untuk dibuktikan.  Yang nyata gua tersebut masih wujud sehingga ke hari ini dan seringkali dikujungi untuk tujuan penggambaran.

 

Ø  Batu Nousung

Mengikut cerita nenek moyang dahulu kononnya dahulukala ada seorang perempuan tua dan seorang anak lelakinya yang tinggal bersama.  Mereka dua beranak ini bolehlah dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.  Apabila anak lelaki itu sudah dewasa maka mengembaralah ia seorang diri untuk mencari rezeki serta kemewahan.  Selang beberapa tahun menjadilah ia kaya hasil kekayaan yang dimiliki daripada isterinya yang merupakan orang berada.  Si pemuda ini pun belayarlah dengan sebuah kapal bersama-sama isterinya dan pengikut-pengikutnya.

Apabila si ibu menyedari akan kepulangan anaknya dengan gembira dan terharu ia pun pergi menyambut kepulangan anak lelakinya yang dinanti-nantikan dan sangat dirindui.  Alangkah terkejutnya si ibu apabila si anak tidak mengakui bahawa ia adalah ibu kandungnya.  Dengan hati yang hancur lebur maka si ibu pun menyumpah anaknya lalu dengan serta merta kapal yang dinaiki oleh anaknya tadi bersama pengikut dan isterinya berubah menjadi batu.  Bentuk kapal ataupun batu Nousung ini masih lagi kelihatan berdiri megah di persisiran pantai Sawangan Kuala Penyu.


Ø  Pantai Tempurong

Satu lagi tempat menarik untuk dikunjungi dan menjadi pusat peranginan popular di daerah Kuala Penyu ini ialah Pantai Tempurung yang terletak di kampung Tempurong dan sememangnya menjadi tarikan bagi pencinta alam.

Kampung Tempurong pada asalnya dikenali sebagai Kampung Tanah Merah.  Asal usul kampung ini bermula dari tahun 1800 dimana salah seorang penduduk kampung pada masa itu telah menjumpai sebiji tempurong kelapa yang unik di tepi pantai.  Tempurong kelapa tersebut tersemat tulisan ayat-ayat Suci Al-Quran iaitu kalimah Allah.

Setelah pemimpin-pemimpin kampung menyaksikan keajaiban ini mereka  telah berbincang dan bersetuju dengan sebulat suara untuk menukar nama Kampung Tanah Merah kepada  Kampung Tempurong.  Mereka beranggapan bahawa penukaran nama kampung ini akan membawa tuah kepada penduduk kampung.

Kini terdapat tiga buah pusat peranginan yang didirikan di kawasan kampung tersebut dan menjadi destinasi pelancongan sama ada dari dalam dan luar negara.  Baru-baru itu juga pada tahun 2015 ini sebanyak 44 ekor anak penyu telah dilepaskan ke tepi pantai yang telah dijaga oleh salah satu pusat peranginan di kampung ini.

Para pelancong boleh memilih di mana saja penginapan yang mereka inginkan mengikut pakej-pakej yang ditawarkan oleh resort ini.  Antara pusat peranginan yang popular dikunjungi ialah Tempurung Seaside Lodge, Tempurong Golden Beach Resort dan NagaPuri Resort.

1. Borneo Tempurung Seaside Lodge

     Nama Pemilik : Yanti dan Frankie

     No Telefon : 088-773066

     Alamat : Kampung Tempurung Kuala Penyu, Sabah

     Media sosial / Website : www.borneotempurung.com

     Facebook : Borneo Tempurung Seaside Lodge

2. Tempurung Golden Beach Resort

     Nama : Tempurong Golden Beach Resort

     No. Telefon : 019-8106829 / 016-8335332 (JACK)

     Alamat : Kampung Tempurong Kuala Penyu, Sabah

     Facebook : The Golden Beach Resort

 

Ø  Pusat Informasi Rumbia

Pusat Informasi Rumbia ini terletak di Kampung Kasugira, Kayul Kuala Penyu.  Ia terletak kira-kira 120 km dari bandar Kota Kinabalu yang mengambil masa perjalanan lebih kurang 3 jam, kira-kira 40 km dari Beaufort yang memakan masa perjalanan selama 30 minit memandu dan kira-kira 10 minit dari Kuala Penyu yang mengambil masa 10 minit perjalanan. 

Untuk tiba di tempat ini, pelawat boleh menggunakan kereta sewa atau menaiki bas ke Kuala Penyu sama ada dari arah Kota Kinabalu, Beaufort atau Menumbok.

Pusat Informasi Rumbia ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Perhutanan Daerah Beaufort.  Pusat ini telah dibuka sebagai tempat untuk mendapatkan maklumat asas mengenai pokok Rumbia, tempat demonstrasi, dan juga dibuka untuk lawatan orang ramai seterusnya menjadi tempat pelancongan.

Mengikut sejarah asal rumbia ini berdasarkan pokok lagenda yang berasal daripada manusia biasa dan bertukar menjadi pokok rumbia atau nama saintifiknya Matroxylon Sagus atau Matroxylon Rumphi.  Pokok rumbia adalah sebahagian daripada keluarga pokok Palmee.  Pokok ini banyak terdapat di daerah Kuala Penyu dan juga daerah sekitarnya seperti daerah Papar dan daerah Beaufort.  

Pada tahun 1940an ketika tentera Jepun menduduki Negeri Sabah, pokok rumbia telah menjadi pokok penyelamat atau “Survival Food”.  Ini adalah kerana apabila tentera Jepun merampas makanan orang kampung seperti padi, orang kampung akan mendapatkan sagu daripada pokok rumbia untuk dijadikan sumber makanan utama dalam keadaan darurat itu.

Memandangkan kegunaan dan sumbangan pokok rumbia yang luar biasa ini, daerah Kuala Penyu telah mengambil inisatif untuk mengadakan sambutan Pesta Rumbia yang diadakan setiap tahun pada awal bulan Julai kebiasaannya.  Idea mengadakan Pesta Rumbia dicetuskan oleh Datuk Seri Panglima Wences Angang (ADUN N26 Kuala Penyu pada tahun 1985 – 2004) dan dimulakan pada tahun 1989 sehingga kini.  Pesta yang disambut ini telah menjadi sebagai produk tarikan pelancongan.

Pengorbanan kaum wanita di dalam lagenda ini secara tidak langsung ada signifikannya dengan acara pertandingan Ratu Pesta Rumbia yang akan menjadi tontonan ramai apabila pesta ini diadakan.  Pertandingan atau pencarian seorang Ratu Pesta Rumbia sama sekali bukan bertujuan untuk memperalatkan kejelitaan individu wanita tetapi makna tersiratnya adalah untuk menampilkan dan menghormati kaum wanita yang memang mempunyai sifat mulia, rela berkorban, cekal, patuh, rajin,bertanggungjawab, bijaksana dan mempunyai kelebihan yang tersendiri seperti yang dimiliki oleh watak sang wanita yang telah berkorban menjadi pokok rumbia.  Tanpa pengorbanan sang wanita tersebut mungkin pokok rumbia tidak akan pernah wujud di dunia ini.  Para peserta ratu Pesta Rumbia yang menjadi lambang lagenda pokok rumbia terutama sekali penyandang juaranya diharapkan dapat menjadi duta kecil rumbia untuk memberi kesedaran tentang betapa pentingnya melestarikan dan memulihara tanaman rumbia serta memanfaatkan produknya tanpa pembaziran.  Semua keistimewaan pokok rumbia masih digunapakai oleh masyarakat kampung di dalam kehidupan mereka sehingga ke hari ini.

 Rujukan sumber dari : ww2.sabah.gov.my / kppenyu.blogspot.my / rumbiainformationcenter.blogspot.my

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.