Kisah Kejayaan : Puan Rosilawati binti Rahman ( Jahitan Sumber Rezeki )

21 July 2016 | Profil Usahawan Tempatan

Bidang jahitan adalah salah satu bidang kemahiran yang sesuai dijalankan bermula di rumah. Iaitu masih memberi fokus kepada tiga perkara asas untuk permulaan bisnes skala kecil. Iaitu menggunakan kemahiran yang ada dan modal minimum. Bisnes jahitan ini boleh menawarkan servis jahitan dan kelas jahitan. Dan ia boleh berkembang sebagai membekalkan jahitan secara pukal dan juga butik. Kali ini kita akan berkongsi kisah kejayaan beliau yang juga menjadikan jahitan sebagai bidang utama dalam menjana pendapatan di rumah.

 

Puan Rosilawati Binti Rahman seorang suri rumah yang berjaya mengubah taraf kehidupan selepas nekad menceburi bidang jahitan pakaian lelaki dan wanita.  Proses jahitan baju itu dijalankan di rumah beliau sendiri yang beralamat di PT4988, PPSK Kampung Gunung Menerong 21800 Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu Darul Iman yang dilengkapi kemudahan asas seperti mesin jahit dan mesin kelim. Mula menceburi bidang jahitan ini pada tahun 1993 dan mendapat pendidikan awal  kursus jahitan ini di agensi KEMAS Kuala Berang. Beliau sentiasa mendapat tempahan jahitan yang tinggi terutamanya menjelang musim perayaan. Tempahan yang banyak memerlukan beliau mengambil seorang pembantu. Malahan, beliau juga ada menerima tempahan jahitan manik bagi tudung dan jubah. Baju-baju yang dijahit beliau sentiasa menepati citarasa pelanggan dan mengikut fesyen semasa.

 

 

Pengalaman beliau dalam bidang bisnes jahitan bermula semasa beliau masih remaja. Pada mulanya beliau hanya terfikir untuk menjahit baju sendiri dan tidak terlintas untuk berniaga seperti sekarang. Beliau menjahit sepenuh masa di rumah dan mempunyai impian untuk memiliki butik sendiri pada suatu masa nanti. Kini, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM2000 sebulan hasil daripada jahitan sepenuh masa. Bagi beliau perkara yang membanggakan adalah apabila pelanggan berpuas hati dengan tempahan dan dapat menyiapkan tempahan dalam masa yang ditetapkan.