PROGRAM MENDAKI GUNUNG TEBU BERSAMA BELIA KAMPUNG MENERONG

26 October 2016 | Berita Terkini

PROGRAM MENDAKI GUNUNG TEBU BERSAMA BELIA KAMPUNG MENERONG

TARIKH: 14-15 OKTOBER 2016

TEMPAT: GUNUNG TEBU, BESUT, TERENGGANU

 

Program kali ini ialah pendakian menawan puncak Gunung Tebu yang terletak di Besut, Terengganu. Seramai 30 orang peserta termasuk guide telah mengambil bahagian pada program kali ini dan ianya melibatkan belia Kampung Menerong.  Program pendakian ini mendapat sambutan yang baik dari warga belia untuk bersama-sama menghargai keindahan dan kedamaian alam semulajadi. Program ini dijalankan selama dua hari satu malam iaitu pada 14 dan 15 Oktober. Semua peserta bersetuju untuk bermalam di puncak Gunung Tebu untuk merasai pengalaman baru.

Gunung Tebu yang terletak di daerah Besut ini mempunyai ketinggian 3,408 kaki atau 1,039 meter dari aras laut. Di kaki gunung ini terdapat air terjun yang cantik dan dikenali sebagai Hutan Lipur Lata Belatan. Ramai orang awam yang datang berkunjung disana untuk mengisi masa lapang bersama keluarga dan rakan-rakan pada hari minggu.  

Semua peserta bertolak dari Kampung Menerong pada pagi Jumaat (14 Oktober 2016) dan tiba di Hutan Lipur Lata Belatan pada jam 9.00 pagi. Sebelum pendakian bermula, ketua pendaki (guide) memberi taklimat ringkas, membuat senaman ringan dan bacaan doa untuk memudahkan pendakian.

Pendakian Gunung Tebu bermula pada jam 10.00 pagi dari titik permulaan Air Terjun Lata Belatan dan trek pendakian pula ialah sejauh 7.088km dari titik permulaan ke puncak Gunung Tebu. Dari permulaan trek semua pendaki akan melalui laluan air terjun yang sejuk dan cantik. Pendakian yang mencabar mental dan fizikal itu turut dibantu oleh peserta lain bagi memudahkan pergerakan dan juga melancarkan pendakian ke puncak gunung. Semua peserta berjaya sampai ke puncak Gunung Tebu pada jam 3.15 petang iaitu kira-kira 5 jam pendakian. Sampai di puncak, semua peserta menyediakan tempat untuk bermalam, berehat dan menyediakan bekalan makanan yang dibawa. Pendakian turun dari puncak Gunung Tebu bermula jam 2.00 petang. Ada peserta yang tiba awal di kaki Gunung Tebu dan ada peserta yang singgah mandi air terjun kerana airnya yang jernih dan segar.

Secara kesimpulannya, ketabahan dan semangat yang dipamerkan oleh belia Kampung Menerong untuk menakluk puncak Gunung Tebu sangat membanggakan. Perjalanan yang agak jauh pergi dan balik dalam program kali ini amat menguji ketahanan mental dan fizikal peserta. Kerjasama belia juga amat tinggi dimana jika ada peserta yang mengalami sedikit kecederaan dan keletihan, peserta yang lain akan tunggu peserta tersebut dengan memberi kata-kata semanagat dan juga sedikit motivasi untuk meneruskan perjalanan sehingga ke puncak.