Komuniti

KOMUNITI

JKKK

 

Sebagaimana fungsi asas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang lain, JKKK Kampung Menerong turut berperanan dalam memastikan keselamatan penduduk dan kemajuan kampung sentiasa terjamin. Pihak JKKK akan mengadakan mesyuarat pada setiap bulan bagi membincangkan   mengenai   perkembangan   kampung dan merancang aktiviti-aktiviti kampung. Malahan, matlamat JKKK adalah untuk membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung supaya boleh bersaing dengan penduduk bandar dan berusaha untuk meningkatkan keyakinan diri serta mencuba sesuatu yang baru dan boleh menguntungkan. Pihak JKKK juga berperanan mengatur program-program kecil yang memberikan banyak faedah kepada penduduk dan kepentingan kampung yang melibatkan semua peringkat umur. Selain itu, aktiviti yang dianjurkan oleh pihak JKKK dengan penduduk kampung adalah kegiatan gotong-royong membersihkan kawasan kampung untuk  menceriakan   kampung dan aktiviti sukaneka turut diadakan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk kampung. Sekiranya ada sebarang majlis keramaian, penduduk akan sama-sama menyumbangkan tenaga agar semuanya berjalan dengan lancar dan baik.

 



WANITA

 

Tugas seorang wanita sememangnya sinonim dalam hal-hal menguruskan hal rumah tangga. Namun,  golongan  wanita di Kampung Menerong  turut bergiat aktif  menceburkan  diri  dengan  aktiviti yang memberi banyak faedah kepada mereka. Oleh itu, wujudnya Persatuan Kumpulan WANITA (Gerakan Persatuan Wanita Kampung Menerong ) yang berfungsi sebagai badan pengerak kepada aktiviti di Kampung Menerong. Persatuan ini juga turut mengadakan aktiviti keagamaan dan kerohanian seperti majlis bacaan Yasin yang diadakan setiap minggu mengikut giliran rumah yang ditetapkan oleh persatuan.  Malah kumpulan wanita ini juga terlibat dengan program-program kampung seperti Majlis Maulidur Rasul yang memerlukan kerjasama bagi menjayakan program tersebut. 



BELIA

 

Golongan belia Kampung Menerong mempunyai pelbagai aktiviti mereka tersendiri. Walaupun ramai di antara belia telah berhijrah ke kawasan bandar untuk melanjutkan pelajaran ataupun bekerja namun bagi belia yang masih tinggal di sini mereka aktif dalam aktiviti sukan. Bola sepak, futsal, bola jaring dan bola baling merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh belia kampung ini sekiranya ada kelapangan. Persatuan Belia Kampung Menerong ini juga ada mengambil bahagian dalam pertandingan kejohanan bola sepak dan bola jaring yang melibatkan penyertaan belia dari kampung sekitar. Namun  yang  jelas,  belia  Kampung Menerong terutamanya golongan lelaki lebih  gemar  bersukan  untuk  mengisi  masa  terluang. Bagi   belia yang sudah berhijrah dan menetap di bandar, mereka lebih tertumpu ke bandar-bandar besar seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur serta bekerja di sektor awam dan swasta.

 

PENCAPAIAN KAMPUNG


2014 – Majlis Forum Perdana Hal Ehwal Islam Sempena Festival Kenyir 2014 Mendapat Sambutan Kira-Kira 5,000 Orang Penonton Dari Sekitar Daerah Hulu Terengganu Dan Merupakan Program               Terbesar Kampung Menerong Pada Tahun 2014.





2015 – Naib Johan Pertandingan Bola Jaring Peringkat Hulu Terengganu 


2015 – Naib Johan Pertandingan Dikir Barat Peringkat Hulu Terengganu 



AKTIVITI KAMPUNG MENERONG :


1. Ceramah Agama Di Masjid 

2. Sambutan Maulidur rasul

3. Kelas Bahasa Inggeris

4. Rumah Merdeka ( Sempena Aktiviti Bulan Kemerdekaan )

5. Gotong-Royong Kampung / Kubur

6. Bacaan Yassin Mingguan

 



© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.