TAYANGAN FILEM KEMERDEKAAN & KUIZ KEMERDEKAAN

05 September 2016 | Berita Terkini

Hari Kemerdekaan merupakan peristiwa yang amat bermakna untuk negara. Sebagai warganegara yang cinta akan tanah air, 31 Ogos 1957 ialah tarikh keramat dan dirai setiap tahun. Tema Sehati Sejiwa dipilih untuk tahun ini bagi menggambarkan kesepaduan, muhibbah dan kekitaan dalam kalangan warga Malaysia. Kehangatan bulan kemerdekaan diteruskan lagi dengan Program Tayangan Filem Kemerdekaan yang diadakan di Pusat Internet 1 Malaysia Kg Padang Lalang kerjasama bersama Perpustakaan Desa Kg Padang Lalang. Bagi memastikan perasaan sayang dan cinta akan negara membekas dalam jiwa pelajar program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Jalur Gemilang. Program ini telah berjaya mencuri minat pelajar-pelajar sekolah untuk sama-sama menghayati dan merasai susah senang pejuang-pejuang terdahulu mempertahankan tanah air dari kekejaman komunis dalam filem Bukit Kepong. Selepas filem tamat di tayangkan pelajar-pelajar diuji pengetahuan mereka dengan soalan kuiz berpandukan filem yang telah mereka tonton.

Rasional program ini diadakan adalah kerana pelajar perlu diberi peluang menyambut Hari Kemerdekaan bagi mereka menzahirkan semangat patriotisme kepada negara. Seterusnya mereka sedar tentang tanggungjawab membina jati diri yang mantap supaya dapat menangkis cabaran dan pentingnya kedaulatan negara kekal dan dipertahankan.