Pelancongan & Rekreasi

Tempat-tempat Menarik sekitar Kg Paris 3. 

1. Sukau Greenview Bed & Breakfast  (Contact no: 089-212 912/013-869 6922)

Sukau Greenview Bed & Breakfast merupakan salah sebuah kawasan pelancongan yang sering mendapat kunjungan daripada penggemar hutan hijau daripada luar mahupun pengunjung tempatan. Tempat ini terletak dikawasan Sukau Kinabatangan berhampiran dengan Sungai Kinabatangan.

Tempat ini merupakan kawasan hutan hijau yang mengandung pelbagai flora dan fauna yang masih dipelihara secara berterusan oleh pihak kerajaan Sabah.  Ini merupakan inisiatif pihak kerajaan untuk terus melestarikan hutan hijau negeri ini walaupun Sabah telah lama dilanda fenomena pembangunan drastik dalam bidang perladangan terutamanya kelapa sawit.

Perjalanan ke Sukau Greenview Bed & Breakfast mengambil masa lebih kurang 30 minit bermula daripada simpang laluan utama Sandakan – Lahad Datu, laluan ke kawasan ini juga telah dinaik taraf sejak beberapa tahun yang lalu. Hal ini memudahkan lagi pengunjung untuk sampai ke tempat ini dengan masa yang singkat dan selamat.

 

2. Muzium Agop Batu Tulug. (Contact no: 60 89-565 145/60 89-551 062.)

Muzium Agop Batu Tulug merupakan cenuram batu kapur setinggi 39 meter dan sebahagian daripada pembentukan batu kapur Labang yang berusia 20 hingga 25 juta tahun dahulu. Perkataan 'agop' dalam bahasa Orang Sungai bermaksud gua. Terdapat tiga gua yang utama,  iaitu  Agop Suriba (bawah) di bahagian lantai hutan, Agop Lintanga (tengah) dan Agop Sawat (atas) masing-masing  dengan  ketinggian antara 12 hingga 15 meter.

Statistik menunjukkan terdapat sebanyak 125 keranda kayu balak di Agop Batu Tulug yang berusia 700 hingga 900 tahun dahulu. Keranda-keranda tersebut diperbuat daripada jenis kayu keras seperti belian dan merbau.

Keunikan keranda-keranda tersebut adalah berdasarkan motif-motif figura haiwan seperti kerbau, buaya, biawak, ular dan burung dibahagian kepala manakala motif-motif flora dan tumbuh-tumbuhan diukir pada bahagian badan keranda

Dipercayai terdapat lebih 2000 keranda kayu balak yang seusia dengan yang terdapat di Agop Batu Tulug yang mendiami di gua-gua batu kapur di sekitar kawasan Lembah Kinabatangan menjadikan Lembah Kinabatangan sebagai salah satu tapak arkeologi yang terpenting di Malaysia.

Muzium ini terletak dipinggir laluan utama Sandakan – Lahad Datu, papan tanda dan juga gua tersebut sudah dapat dilihat daripada luar kawasan muzium. Oleh itu, untuk sampai ke kawasan ini tidaklah begitu sukar bagi pengunjung-pengunjung.

 

3. Kopel Home Stay & Kopel Centre. (Contact no: 010-5816163/014-6746679)

Tempat ini merupakan Jeti yang dibina oleh sebuah koperasi yang dikenali sebagai Kopel. Tempat ini telah menjadi persinggahan kepada pengguna-pengguna laluan air sungai Kinabatangan terutamanya penduduk sekitar. Memandangkan ianya terletak dikawasan sungai Kinabatangan dan juga berhampiran dengan kawasan hutan simpan rizab kerajaan telah menjadi tarikan kepada pelancong untuk sentiasa berkunjung  ditempat berkenaan. Selain daripada itu, jeti ini juga terkenal dengan menu makanannya iaitu nasi payau dan juga undang galah. Hal ini demikian kerana, kawasannya yang dikelilingi oleh hutan dan juga sungai Kinabtangan yang menyimpan pelbagai hasil makanan terutamanya yang menjadi kegemaran penduduk sekitar dan pelancong iaitu udang galah dan juga daging payau.



© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.