Pelancongan & Rekreasi

TEMPAT-TEMPAT MENARIK :



Masjid Kristal

Masjid Kristal merupakan sebuah masjid yang terletak dalam kawasan pelancongan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man, Terengganu. Masjid ini dibina daripada kaca dan keluli, masjid pintar pertama di Malaysia dan mempunyai keluasan 2,146 meter  persegi. Selain menjadi persinggahan pelancong yang beragama Islam untuk beribadat ianya juga menjadi daya penarik pelbagai pihak kerana struktur binaannya yang unik.

Pada setiap hari minggu atau musim cuti persekolahan, Masjid Kristal telah menjadi satu destinasi wajib untuk di kunjungi. Walaupun terletak didalam kawasan Taman Tamadun Islam, untuk memasuki kawasan masjid ini adalah percuma berbanding jika pelancong ingin masuk ke kawasan taman tema yang dikenakan bayaran.

Suasana petang di sekitar masjid ini lebih cantik jika anda seorang yang berminat dengan fotografi. Pelbagai sudat dan panorama boleh di rakam oleh anda. Jangan lepaskan peluang menikmati suasana matahari terbenam disini dan suasana malamnya apabila lampu-lampu masjid dipasang. 



Kompleks Usahawan Terengganu

Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) berharga RM21.5 juta di Kampung Kubang Jela, Manir di sini dibuka secara rasminya pada 8 Jun 2014 yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri  Haji Ahmad Razif bin Abd. Rahman, Menteri Besar Terengganu.

 Kompleks dua tingkat itu yang siap dibina pada akhir 2013, akan menjadi ikon pembangunan keusahawanan serta destinasi pelancongan negeri. Satu bahagian dalam kompleks itu yang dikenali Kota Batik, akan memulakan operasi jualan Batik Terengganu asli oleh 18 usahawan batik yang membuka perniagaan mereka sehingga ini. Usahawan Industri Teknologi Maklumat (ICT) pula ditempatkan tingkat satu yang dinamakan pasar ICT Terengganu. Selain itu, YPU juga meluluskan permohonan seorang usahawan tempatan untuk membuka sebuah pasar raya di lot perniagaan seluas 12,000 kaki persegi dalam kompleks itu.



Pulau Warisan

Pulau Warisan adalah sebuah pulau buatan manusia yang terletak di bandaraya Kuala Terengganu. Pulau yang di tambak dalam Sungai Terengganu berhampiran Kuala Terengganu Chinatown ini kini menjadi salah satu tempat kunjungan utama pelancong ke Kuala Terengganu. Antara tarikan yang terdapat disini adalah River Cruise menyusuri Sungai Terengganu dari terusan di Pulau Warisan ke Masjid Kristal di Pulau Wan Man melalui juga Kuala Terengganu Waterfront.

Pulau ini turut dihiasi dengan aneka warna sinaran lampu LED yang menghiasi pelbagai jenis replika pokok tiruan, maka tidak hairanlah apabila ada segelintir penduduk tempatan yang memanggil pulau ini dengan nama jolokan i-city seperti apa yang terdapat di Shah Alam, Selangor. Malah dengan reputasinya sebagai tempat kunjungan utama warga bandaraya Kuala Terengganu berkumpul dan beriadah, pelbagai agensi kerajaan dan NGO-NGO akan mengadakan program mereka disini seperti Konsert, Talkshows, Pameran dan pelbagai program lagi. Malah setiap tahun masyarakat Cina Terengganu turut mengadakan perayaan dan festival keagamaan mereka di sini seperti sambutan Tahun Baru Cina dan Pesta Tanglung.



Pulau Duyong

Pulau Duyong merupakan sebuah pulau di muara Sungai Terengganu. Dahulunya, ia terbahagi kepada Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil, tetapi pemendapan dan longgokan pasir telah menyatukannya dan juga merubah garis pantainya.

Pulau Duyong dahulunya menjadi penginapan ulama terkenal Tok Syeikh Duyong (1802-1889), yang disegani istana dan juga rakyat, dan keturunannya, dan merupakan tempat pengajian agama. Oleh kerana bentuk geografi dan  lokasinya dalam keilmuan agama, Pulau Duyong pernah dirujuk sebagai 'lidah Terengganu'.

Kota Lama Duyong antara bahan sejarah yang kekal hingga hari ini. Dibina pada tahun 1920, kota ini pada awalnya digunakan oleh individu tertentu dan kumpulan agama Islam untuk mengajar penduduk kampung membaca al-Quran. Dipercayai bahan yang digunakan untuk membina bangunan Kota Lama Duyong ialah batu bata, namun begitu sebahagian besarnya terdiri daripada madu dan putih telur.

Pulau Duyong merupakan sebuah pulau yang mempunyai panorama yang sangat indah dan permai. Lokasi ini amatlah sesuai dijadikan tempat bersantai dan berkelah bersama keluarga.Namun, disebalik keindahannya tersingkap seribu rahsia yang mungkin kita tidak ketahui iaitu di sini terdapatnya Perusahaan Membuat Bot dan Kapal Layar Warisan. Kewujudan lokasi penganjuran Piala Monsun, Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa dan pembinaan pangsapuri mampu milik, nyata amat membanggakan penduduk tempatan. Selain itu, lokasi Pulau Duyong menghadap Laut Cina Selatan sememangnya terkenal dengan pelbagai bahan sejarah yang unik dan menarik.



Muzium Terengganu

Muzium Negeri Terengganu mempunyai keunikannya yang tersediri, bukan sahaja dari segi saiz atau keluasan muzium yang di katakan terbesar di Asia Tenggara tetapi didalamnya memuatkan pelbagai tinggalan sejarah bumi Terengganu terutama sekali Batu Bersurat yang sememangnya sudah diketahui umum tentang nilai sejarah yang ada padanya.

Melalui kemudahan Bas Bandar yang boleh anda naiki di depan Medan Maziah berhampiran Pejabat Pos Besar, Kuala Terengganu. Perjalanan ke komplek muzium ini menjadi lebih mudah dan menjimatkan. Jika anda membawa kenderaan sendiri, komplek muzium ini boleh di akses dengan mudah dari bandar Kuala Terengganu, ianya juga terletak berhampiran Perkampungan Kerepok Lekor dan Taman Tamadun Islam.

Untuk anda menerokai keseluruhan komplek muzium ini akan mengambil masa berjam-jam bermula dari galeri-galeri yang terdapat didalam muzium ini seperti :

* Galeri Tekstil

* Galeri DiRaja

* Galeri Kraf

* Galeri Senjata

* Galeri Sejarah

* Galeri Petroleum

* Galeri Islam

* Galeri Ilmu Kejadian

* Galeri Pelayaran & Perdagangan

* Galeri Perikanan & Taman Laut

 Kemudian penerokaan anda boleh di lanjutkan ke kawasan luar muzium yang menempatkan rumah-rumah Tradisional Melayu Terengganu, Kapal dan perahu-perahu tradisional Terengganu dan pelbagai lagi. Jika kepenatan anda boleh singgah di kafe muzium yang menyediakan pelbagai makanan dan minuman untuk anda. Untuk maklumat lanjut mengenai komplek muzium ini boleh layari http://museum.terengganu.gov.my



Lapangan Terbang Sultan Mahmud

Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud (IATA: TGG, ICAO: WMKN) adalah sebuah lapangan terbang yang menguruskan penerbangan dari dan ke Kuala Terengganu, sebuah bandar raya yang terletak di persisir pantai timur semenanjung Malaysia di negeri Terengganu. Lapangan terbang ini terletak 15km dari pusat bandaraya Kuala Terengganu yang menghadap Laut China Selatan.

Nama lapangan terbang ini adalah diambil bersempena dengan nama Sultan Terengganu yang ke-16, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah, baginda memerintah negeri Terengganu dari tahun 1978 sehingga tahun 1998.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud akan dijadikan sebuah lapangan terbang antarabangsa setelah kerja naik taraf diselesaikan. Ia mungkin akan memulakan penerbangan antarabangsa ke Singapura, Kunming, Hong Kong dan lain-lain. Malaysia Airlines telah bersetuju dengan Tabung Haji bahawa ia akan juga membawa penumpang ke Tanah Suci Mekah melalui Jeddah dan Madinah.




Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin adalah stadium pelbagai guna yang terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu, Malaysia. Ia biasanya digunakan untuk perlawanan bola sepak dan menjadi tuan rumah bagi pasukan bola sepak Trengganu dan T.Team. Stadium yang boleh memuatkan 50,000 penonton, adalah yang terbesar di Pantai timur Semenanjung Malaysia. Stadium ini dibina pada tahun 2008 semasa Terengganu menjadi tuan rumah Sukan Malaysia dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei 2008.

Stadium ini menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara sukan utama. Selain itu, pelbagai aktiviti yang ada pada hujung minggu seperti kereta drif, bot remote control, joging, riadah dan sebagainya. Pada masa kini, permainan roda blade porpular dan kawasan tersebut menjadi salah satu tempat untuk aktiviti tersebut pada sebelah petang dan malam. Aktiviti Sprint Test merupakan litar utama di Terengganu. Pelbagai program atau karnival yang turut dibuat samada agensi kerajaan mahupun swasta.



Pasar Payang

Pasar Payang atau Pasar Kedai Payang (kemungkinan asalnya dari nama perahu payang sejenis perahu nelayan yang memasarkan hasil tangkapan mereka di pasar, ataupun loghat Terengganu untuk Kedai Tempayan) merujuk kepada pasar besar di Kuala Terengganu. Ia merupakan tempat perniagaan tradisional yang popular dikalangan pelancong ke Terengganu.

Pasar Payang terdiri daripada bangunan kompleks 2 tingkat. Di bahagian bawahnya terdapat gerai basah dan gerai menjual pelbagai kuih-muih traditional negeri Terengganu. Di bahagian atas terdapat pelbagai kedai menjual pelbagai barangan. Ia terletak berhampiran dengan jeti Shabandar dan merupakan tempat persinggahan pelancong yang hendak menaiki bot ke pulau-pulau berhampiran.

Pasar Kedai Payang terletak di bandar Kuala Terengganu, Terengganu betul-betul mengadap Laut China Selatan. Bangunan pasar ini dua tingkat terbahagi kepada dua jenis barang utama. Bahagian bawah menjual barangan dapur. Sementara tingkat atas menjual pakaian terutama batik Terengganu dan songket tenunan Melayu.

Bazar Warisan pula terletak di sebelah pasar payang ini. Kompleks Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan premis perniagaan yang berdekatan menyebabkan persekitarannya sesak terutama pada hari Sabtu dan Ahad.



Pantai Teluk Ketapang

Berkunjung ke Pantai Teluk Ketapang (PTK) atau lebih popular di kalangan penduduk tempatan sebagai “Pantai Airport” anda akan terpikat dengan keindahan suasana di kawasan itu terutamanya pada hari Jumaat kerana pelbagai kegiatan dilakukan oleh pengunjung. 

Selain datang untuk menikmati keindahan pantai, pengunjung juga berpeluang menjengah ke sebuah Pasar Malam yang diadakan di berhampiran pantai itu dengan memilih pelbagai jenis barangan dan makanan untuk dibawa pulang.  Di Pantai Teluk Ketapang juga, orang ramai boleh memilih beberapa kedai makanan laut untuk menjamu selera terutamannya untuk menikmati makanan seperti ikan goreng, sotong goreng, pisang goreng dan air kelapa muda.

Bagi yang mahu bersantai, pantainya yang landai dan putih bersih sesuai untuk beristirehat sambil melihat pemandangan indah Laut China Selatan yang terdapat beberapa pulau yang jelas kelihatan, antaranya ialah Pulau Kapas dan Pulau Bidong.

Dari jauh juga, pengunjung dapat melihat bandar Kuala Terengganu iaitu beberapa bangunan tinggi yang terletak di tepi muara sungai Terengganu. Pantai yang terletak berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud itu juga menyediakan khidmat menaiki kuda padi dan jualan layang-layang khususnya untuk kanak-kanak. Di Pantai ini juga sering diadakan pelbagai aktiviti dan sambutan hari Keluarga dari agensi kerajaan dan swasta. Pada petang Jumaat, pantai ini bukan sahaja dikunjungi penduduk berhampiran malah penduduk dari daerah-daerah lain yang berhampiran Kuala Terengganu juga turut hadir untuk menikmati keindahannya selain pelancong asing.




Pantai Batu Buruk

Pantai Batu Buruk merupakan di antara pantai yang terkenal di Terengganu. Letaknya yang strategik iaitu hanya 2 km dari pusat bandar Kuala Terengganu menjadikan pantai ini amat popular di kalangan penduduk tempatan dan juga pelancung luar. Ia lebih dikenali sebagai Taman Rekreasi Batu Buruk atau Taman Awam Batu Buruk.

Terdapat pelbagai kemudahan disediakan di sini. Di antaranya ialah tapak pameran, pentas budaya, taman permainan, gerai makanan, tandas awam, laluan untuk jogging, tempat letak kenderaan dan bangku-bangku taman yang pelbagai bentuk. Terdapat juga hotel, resort, chalet dan homestay untuk kemudahan pengunjung yang memerlukan penginapan terutama pelancung luar dari Terengganu. Penginapan di Batu Buruk Beach Resort antara yang paling dekat dengan pantai ini atau memang terletak betul-betul di pusat pantai ini.

Jika berkunjung pada hari jumaat, boleh meninjau pasar malam yang hebat di bandar Kuala Terengganu ini. Terdapat pelbagai barangan dijual dan harganya pun berpatutan. Selain daripada itu, pada hari-hari tertentu di tapak pameran sering diadakan pameran atau expo. Hospital Nur Zahirah (dulunya dikenali sebagai Hospital Besar Kuala Terengganu) terletak di pantai ini, jika sakit atau perlu ke hospital hanya berjalan kaki sahaja lebih kurang 5 minit. Bersetentangan hospital pula berdiri gagah Stadium Negeri (Stadium Tertutup). Pendek kata semua keperluan ada, Masjid Sultan Mahmud al- Muktafi Billah Syah, stesyen minyak Esso, Shell dan Petronas dan Sekolah Arab iaitu Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin.

Pantai ini mempunyai nilai sejarah yang tersendiri kerana di sinilah ditemui Gendang Dong-Son iaitu gendang gangsa yang membuktikan negara kita tidak melalui zaman Mesolitik. Mengikut catatan sejarah, dikatakan Batu Buruk ini suatu ketika dulu adalah sebuah pelabuhan tempat persinggahan pedagang antarabangsa kerana tempatnya yang strategik iaitu di laluan Laut China Selatan. 

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.