Maklumat Tempatan

Berdasarkan maklumat lisan yang diperolehi melalui Pn. Ransaying Popong (Profil Kg. Tingkalanon, 2015) kampung ini telah wujud sejak 1600 tahun yang lalu. Menurut beliau, kedua ibu bapanya terlibat dalam usaha menumpaskan pihak British ketika zaman Mat Salleh.

Maklumat lain yang diperolehi daripada veteran sekitar Tingkalanon dan Tandek mengatakan bahawa kampung Tingkalanon merupakan kampung tertua di Pekan Tendek. Kampung-kampung di sekitar Tingkalanon diwujudkan oleh penduduk asal Tingkalanon yang berpindah dan membina penempatan sendiri.

Pada mulanya, kampung Tingkalanon ini dikenali sebagai Tindalanon yang bermaksud jalan lama atau laluan utama dalam Bahasa Dusun Kimaragang. Ini kerana kampung Tingkalanon merupakan laluan utama bagi penduduk yang tinggal berdekatan dengan kampung Tingkalanon seperti kampong Tinogu dan kampung Pugi.

Ketika itu tidak ada laluan lain bagi mereka untuk pergi ke Pekan Tandek membawa barangan dagangan atau urusan peribadi. Kedudukan geografi Tingkalanon yang berada di antara Pekan Tandek dan kampUng-kampung yang lain menjadikan kampung Tingkalanon sebagai pusat hentian untuk melakukan urusan jual beli.

Sebutan asal Tindalanon bertukar kepada Tingkalanon ketika British menjajah Sabah dan mentadbir Kota Marudu. Ianya disebabkan oleh faktor fonetik pihak penjajah yang tidak tepat dengan menyebut Tindalanon kepada Tingkalanon.

Hari ini, kampung Tingkalanon mempunyai keluasan tanah 20 ekar tidak termasuk tanah persendirian. Kampung ini dikelilingi bukit serta sebatang sungai yang terletak di tengah-tengah kampung. Air subgai tersebut mengalir hingga ke kampung Tandek dan sekitarnya.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.