Maklumat Tempatan

MAKLUMAT KOMUNITI KAMPUNG WONOD, TELUPID

 

Kredit : En. Vekly Giswa

 

Sejarah Penempatan Kg. Wonod

Menurut cerita orang tua-tua, penempatan Kampung Wonod baru diduduki tahun 1950-an. Pada mulanya, penduduk tiada penempatan tetap pada masa itu dan hidup berpindah randah di seberang labuk dan kemudiannya mula mendiami kawasan Mambau, Singkarata, Kobuvaan dan lain-lain tempat sepanjang persisiran sungai labuk semasa era Nahkoda Sibat dan OT Batiung (Era Head Hunter) sebelum berkumpul berpindah ke seberang dan membentuk Kampung Wonod. Aktiviti penduduk kampung pada masa tersebut adalah bercucuk tanam, menangkap ikan dan berdagang (sistem bater). Perhubungan dan pengangkutan pada masa tersebut adalah melalui sungai (sehingga ke Beluran) dan mengambil masa hingga berbulan-bulan kerana pada masa tersebut belum ada jalan raya yang dibuat. Menurut cerita orang-orang tua juga, punca utama penduduk kampung berkumpul dan membentuk Kampung Wonod kerana adanya jalan-jalan perhubungan akibat aktiviti pembalakan yang menghubungkan penempatan lain ke penempatan lain, arus permodenan (penduduk mula bersekolah) dan perubahan corak hidup penduduk yang mula membuat rumah papan (penempatan kekal) hasil daripada arus pembangunan yang semakin moden pada masa itu. Faktor utama yang juga mempengaruhi penduduk kampung membentuk Kampung Wonod kerana adanya jalan utama yang dibuat oleh Malaysia/Australia Road Project (MARP) yang menghubungkan Sandakan-Kota Kinabalu.

 

 

Asal-Usul Kampung Wonod

Kampung Wonod telah pun wujud sejak 60 tahun yang lalu.Walau bagaimanapun ia bukanlah nama rasmi pada masa itu kerana corak kehidupan masyarakat pada masa itu masih lagi primitif dan sering berpindah randah dengan menyusur sepanjang Sungai Labuk. Pengiktirafan Kampung Wonod telah dibuat oleh kerajaan setelah memenuhi syarat pembentukan sesebuah penempatan di mana penduduk tidak lagi berpindah randah dan mengusahakan tanah yang mereka telah pohon daripada kerajaan tempatan.

Mengikut sejarah perkembangan Kampung Wonod, nama kampung ini telah diambil berdasarkan satu kejadian yang amat menakjubkan kepada semua penduduk kampung pada masa itu. Hal ini juga turut tersebar luas di sekitar Daerah Kecil Telupid.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   

Cerita ini bermula daripada kisah seorang wanita dalam kampung tersebut di mana wanita itu sedang sarat mengandung. Apabila tiba untuk melahirkan anak, wanita tersebut menghadapi kesulitan untuk bersalin, tambahan pula tiada perkhidmatan kesihatan kerajaan yang berhampiran pada masa itu. Akhirnya wanita tersebut meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, anak di dalam kandungan itu sempat diselamatkan oleh Bidan tradisional. Seluruh masyarakat kampung merasa sungguh sedih dan terharu di atas kejadian yang menimpa wanita tersebut. Mereka berkumpul dan bergotong-royong untuk menyempurnakan majlis pengebumian wanita tersebut mengikut cara traditional. Mereka membungkus mayat itu dengan kulit kayu yang di ikat dengan rotan sebelum ianya disemadikan. Setelah selesai mereka pun membawa mayat tersebut ke tempat perkuburan yang berhampiran dengan sebuah sungai. Sebelum mayat itu dikubur, mereka terlebih dahulu membersihkan kawasan tersebut.

Ketika hampir siap kerja pembersihan itu dijalankan, semua orang yang berada di kawasan perkuburan itu terkejut apabila secara tiba-tiba mereka mendengar satu suara yang meminta pertolongan. Suara itu agak lemah. Mereka yang berada di situ terus menghentikan kerja pembersihan dan memperhatikan bungkusan mayat tadi . Mereka terkejut apabila mendengar mayat wanita tersebut berkata “Tolong lepaskan saya kerana saya masih hidup”.Setiap orang yang berada di tempat kejadian merasa sangat hairan dan takut. Setelah mereka memastikan bahawa wanita tersebut telah hidup semula, mereka pun membuka ikatan rotan dan kulit kayu yang membungkusi tubuh wanita itu.

Orang-orang yang berada di tempat kejadian itu sangat hairan lalu bertanya kepada wanita tersebut tentang apa sebenarnya yang berlaku pada wanita tersebut. Wanita tersebut menceritakan bahawa beliau terjaga apabila dia merasakan air sedang menitis di bahagian kepalanya. Setiap orang yang ada di situ masih lagi kehairanan dan mereka pun mula mencari punca air yang sedang menitis itu.

Setelah di kenal pasti, mereka mendapati bahawa air tersebut berpunca daripada satu akar hutan. Akar hutan tersebut putus terjuntai dicantas oleh salah seorang penduduk kampung semasa membersihkan kawasan perkuburan wanita tersebut. Akar hutan yang terputus itu mengeluarkan air yang jernih. Air jernih tersebut berada tepat di hujung akar yang di cantas.

Setiap orang yang menyaksikan kejadian itu merasa keajaiban. Lalu mereka menamakan sungai yang berhampiran dengan kawasan kejadian itu sebagai VONOD (Vonod ialah air yang keluar daripada akar hutan dalam bahasa dusun Labuk).

Sejak daripada peristiwa itu, semua penduduk kampung tersebut menamakan kempung mereka sebagai Kampung Vonod. Akan tetapi setelah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah kampung penuh,maka Kampung Vonod telah ditukarkan kepada Kampung Wonod.

Perubahan nama kampung ini mungkin disebabkan oleh kesulitan pihak pendaftaran semasa menulis nama kampung ini. Tambahan pula pada waktu itu pihak yang memerintah Negeri Sabah adalah golongan Orang Putih (Australia). Kita sedia maklum bahawa Orang Putih sukar untuk berbahasa Melayu apatah lagi Dusun.

Demikianlah lagenda asal-usul Kampung Wonod yang masih kekal dan diingati sehingga saat ini.

 

 Latar belakang Kampung Wonod

Kampung Wonod  terletak di Daerah Telupid, negeri Sabah.  Kampung  yang indah dengan suasana yang penuh harmoni memberikan ketenangan kepada penduduk Kampung Wonod  dengan bilangan penduduk yang dianggarkan seramai hampir 2000 orang. Kampung Wonod melahirkan generasi yang maju dan berpengetahuan serta berkemahiran. Selain itu, tanah yang dimiliki oleh penduduk kampung menjadi sumber pendapatan keluarga dengan hasil tanaman pertanian seperti kelapa sawit, padi, getah, buah-buahan dan sebagainya. Hasil pendapatan ini memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Ini dapat menyahut cabaran kerajaan untuk menjadikan pertanian adalah satu perniagaan.
Populasi penduduk yang mendiami Kampung Wonod ini adalah berbangsa dusun suku sogilitan, turavid,mangkaak dan sungai. Masing-masing suku memiliki banyak warisan tradisional seperti jenis tarian, pakaian, makanan, bahasa, nyanyian dan kraftangan. Warisan ini sentiasa dipelihara agar setiap suku dapat dikenali oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia khasnya di Sabah

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.