Maklumat Tempatan

SEJARAH RINGKAS DAN LATARBELAKANG MENGENAI DAERAH SOOK

Di daerah Kecil Sook terdapat sebatang sungai yang merentang di tengah-tengah pekan, dan mengalir hingga ke Kuala sungai Padas. Sungai ini dinamakan " Sungai Sook".
Menurut cerita zaman dahulu terdapat banyak buaya yang ganas dan tinggal di sungai Sook. Masyarakat kampung yang tinggal di sekitar kawasan Daerah Kecil Sook ini langsung tidak boleh turun ke dalam sungai untuk mandi atau mengambil air minuman, kerana sesiapa juga yang turun ke sungai pasti akan menjadi mangsa keganasan buaya tersebut.
Salah satu cara yang dilakukan untuk mendapatkan air ialah dengan cara mengaut atau sook air dari sungai tadi, dengan menggunakan gayong yang diperbuat daripada tempurung kelapa atau bambu dan diberi tangkai atau diikat dengan tali. " SOOK " adalah perkataan dalam bahasa murut yang membawa makna mengaut atau menggayong.

Kesimpulan cerita asal daerah ini mendapat panggilan " SOOK ", adalah daripada cara masyarakat kampung mendapatkan air dari sungai tadi

Keluasan kawasan pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Sook adalah 2,037.543 kilometer persegi (203,754 hektar), manakala lokasi Pekan Kecil Sook merupakan sebahagian daripada Daerah Keningau dan ianya terletak 40 km selatan Pekan Keningau. Terdapat enam mukim yang berada dibawah pentadbiran ketua Daerah iaitu Mukim Lanas ( 15 buah kampung), Mukim Tulid (32 kampung), Mukim Sook (20 Kampung), Mukim Dalit (26 Kampung), Mukim Ansip (14 Kampung) dan Mukim Seberang (23 Kampung) dan jumlah keseluruhan kampung adalah sebanyak 130 kampung. Anggaran populasi penduduk Daerah Kecil Sook adalah sekitar 37815 penduduk.


© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.