Maklumat Tempatan

Kampung Kuala Mengalong merupakan salah sebuah perkampungan terpencil yang terletak di daerah Sipitang Sabah. Kampung Kuala Mengalong mempunyai banyak  perubahan sehingga hari ini yang meliputi dari segi arus pembangunan,pertanian mahupun pendidikan. Namun, di sebalik perubahan yang berlaku ini, terdapat sejarah awal yang merupakan pendorong kepada kewujudan Kampung Kuala Mengalong dan hal ini  seharusnya patut diketahui oleh masyarakat pada masa sekarang.

Sejarah awal mengenai asal usul perkampungan Kuala Mengalong bermula apabila diceritakan oleh orang tempatan bahawa pada tahun sekitar 1930- an terdapat beberapa orang nelayan yang berasal dari Negara Brunei telah datang untuk melakukan aktiviti  menangkap ikan dan udang. Menurut mereka, aktiviti menangkap ikan dan udang ini dipanggil sebagai “mengilung” oleh nelayan yang berasal dari Negara Brunei tersebut. Melalui aktiviti “mengilung” tersebut, semakin ramai nelayan dari Brunei datang ke Kuala Mengalong(nama kampung sekarang) untuk mencari rezeki. Hal ini secara tidak langsung telah memberi peluang kepada nelayan dari Brunei pada masa dahulu untuk mencari rezeki di perairan Kampung Kuala Mengalong. Malah, oleh kerana  faktor keselesaan dan keselamatan yang terjaga telah menyebabkan nelayan-nelayan daripada negara Brunei tersebut telah bermastautin secara tetap dan seterusnya telah menamakan kampung ini sebagai Kampung Kuala Mengalong bersempena dengan nama daripada aktiviti nelayan ketika itu iaitu ”mengilung”.

Perkembangan sejarah awal penubuhan Kampung Kuala Mengalong telah menyumbang kepada banyak  perubahan pada masa sekarang. Kini, Kampung Kuala Mengalong merupakan sebuah perkampungan kecil dengan mempunyai bilangan penduduk seramai 412 orang. Aktiviti “mengilung” suatu ketika dahulu masih dilakukan oleh penduduk tempatan dan ini merupakan tradisi daripada nenek moyang mereka. Kebanyakkan penduduk dewasa di kampung Kuala Mengalong merupakan nelayan dan melakukan aktiviti menangkap ikan atau hasil laut sebagai sumber pendapatan mereka yang utama. Selain daripada itu, sumber berasaskan pertanian seperti perladangan kelapa sawit, nenas dan tanaman lain juga turut menyumbang kepada sumber pendapatan ekonomi penduduk di kampung  Kuala Mengalong. Dengan adanya aktiviti menangkap hasil laut di kalangan penduduk kampung Kuala Mengalong, secara tidak langsung telah berupaya melahirkan usahawan di kalangan mereka. Golongan usahawan ini menjalankan aktiviti perniagaan makanan secara kecil-kecilan dan turut menjalankan perusahaan bot dan perahu. Selaras dengan perubahan yang berlaku, sekolah turut dibina di kawasan kampung Kuala Mengalong. Sektor pendidikan yang dibina ini telah mampu melahirkan generasi generasi muda yang mampu untuk berdaya saing dengan masyarakat luar. Masjid dan balai raya turut dibina untuk kemudahan penduduk kampung Kuala Mengalong yang majoritinya terdiri daripada penduduk beragama islam.

Kampung Kuala Mengalong seperti yang diketahui merupakan sebuah kampung terpencil dan ini menyebabkan segala keperluan dan keindahan yang ada di dalam kampung ini tidak banyak diketahui oleh masyarakat luar. Namun, dengan adanya pembangunan Projek SAMUR dan SOGIP berhampiran dengan kampung Kuala Mengalong telah berupaya untuk menjadikan kampung ini sebagai laluan dan penginapan penduduk dari luar dengan menyewa rumah yang terdapat di kampung Kuala Mengalong. Malah, melalui  projek pembangunan ini jugasecara tidak langsung  telah berupaya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk disekitarnya

Lokasi untuk menuju ke kampung Kuala Mengalong sangat mudah untuk dijejaki. Terdapat dua jalan untuk sampai menuju ke kampung Kuala Mengalong iaitu laluan pertama adalah laluan singkat projek SAMUR dan SOGIP dan laluan kedua adalah melalui jalan Pekan Sindumin yang mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk sampai ke Kuala Mengalong dari Pekan Sipitang. Bagi laluan singkat projek SAMUR adalah meliputi kampung Pantai Luagan, Kampung Long Kinangan seterusnya adalah Kuala Mengalong. Manakala laluan kedua adalah daripada Pekan Sindumin iaitu melalui Kampung Sindumin, Kampung Siputol dan Kampung Banting seterusnya adalah Kampung Kuala Mengalong. Secara ringkasnya, kampung Kuala Mengalong terletak di pertengahan kedua-dua buah laluan tersebut. Selain itu,Kampung Kuala Mengalong juga merupakan laluan air untuk menuju ke Labuan,Lawas Sarawak dan Brunei. Akhir sekali, Kampung Kuala Mengalong merupakan sebuah perkampungan yang seharusnya diberi perhatian oleh pihak kerajaan kerana terdapat pelbagai kecantikan alam sekitar dan kawasan perairan yang berupaya untuk dijadikan sebagai sebuah kampung untuk projek pelancongan pada masa akan datang.
© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.