Bengkel Membuat Kuih Tradisional

20 October 2016 |

           Pada 18 Oktober 2016, Pi1M Pekan Kuala Penyu bersama dengan Pi1M Kg Bundu, Pi1M Pekan Menumbok dan Pi1M Kg Tenambak telah mengadakan program bengkel membuat kuih tradisional Malaysia. Bengkel ini telah disertai seramai 12 orang peserta dengan 2 orang tenaga pengajar. Program ini telah bermula pada pukul 9 pagi bertempat di Pi1M Pekan Kuala Penyu selepas semuanya selesai bersarapan pagi.

           Antara resepi kuih tradisional yang kami cadangkan ialah resepi pertama iaitu kuih Seri Ayu. Kiuh ini adalah kuih tradisional masyarakat melayu sejak zaman dahulu. Melalui bengkel ini kami diajar cara-cara mengadun tepung serta ramuan-ramuan yang diperlukan untuk resepi ini. Selesai memasukkan kelapa dan tepung yang telah diadun ke dalam acuan, kuih ini dikukus didalam bekas berisi air selama 10 minit sahaja.  Resepi kedua pula adalah resepi kuih onde-onde dimana ramuan utama yang diguna adalah gula Melaka sebagai pemanis dan perasa untuk kuih ini. Kaedah penyediaan kuih ini juga sedikit berbeza dengan resepi pertama iadi. Cara memasak kuih ini adalah dengan merebus tepung yang telah diinti dan dibulatkan dan sesudah itu diulih pula dengan kelapa parut untuk rasa yang lebih sedap.

          Setelah selesai untuk resepi pertama dan kedua, kami meneruskan pula untuk membuat adunan kuih ketiga selepas makan tengahari iaitu resepi kuih gatas. Kuih ini tidaklah begitu rumit cuma memerlukan kerjasama supaya kerja membentuk menjadi mudah dan cepat. Setelah dibentuk menyerupai lidah, kuih ini digoreng ke dalam minyak yang panas sehingga berwarna kuning kekuningan. Setelah itu, gula pasir yang dicampur dengan air dibakar sehingga gula td menjadi sedikit kental kemudian barulah kuih yang digoreng tadi dicampur ke dalam gula dan digaul sehingga gula tadi menjadi keras dan melekat pada kuih tersebut. Kuih terakhir yang telah kami pelajari ialah kuih lamban. Kuih lamban merupakan kuih tradisional masyarakat Menumbok. Kuih ini hanya menggunakan beras puput serta dicampur dengan sambal yang dibalut didalam daun kelapa kemudian dikukus sehingga nasi menjadi kembang dan sedia untuk dimakan.

         Setelah semua resepi selesai dilaksanakan, kami bersama-sama mencuba kuih tradisional yang telah kami pelajari daripada tenaga pengajar. Walaupun masa agak suntuk untuk mempelajari lebih banyak resepi kuih tradisional yang sedap dan menarik namun melalui bengkel ini sedikit sebanyak telah memberi kami pengetahuan dan pengalaman baru didalam penyediaan kuih masyarakat kita sejak dahulu kala.

          Kami berharap dengan adanya bengkel sebegini di masa akan datang, dapat memartabatkan lagi kuih-kuih tempatan agar tidak dilupakan dengan kepelbagaian aneka kuih muih moden dewasa ini. Kami juga berharap para peserta yang telah menyertai bengkel ini akan menjadi usahawanan kuih tradisional kerana di daerah Kuala Penyu ini masi kurang usahawan – usahawan yang menyajikan kuih tradisional berbanding makanan moden. Kami mengucapkan terima kasih kepada tenaga pengajar kami serta semua peserta yang telah terlibat menjayakan program kali ini.