Pameran KDB Sempena Pesta Nelayan Menumbok 2016

31 October 2016 |

          Pada 30hb Oktober 2016 yang lalu, pihak PI1M Pekan Kuala Penyu telah berkesempatan untuk bekerjasama bersama pihak PI1M Pekan Menumbok, PI1M Kg Bundu dan PI1M Kg Tenambak untuk mengadakan Pameran & KDB Sempena Sambutan Pesta Nelayan Menumbok 2016 Peringkat Negeri Sabah. Pameran kami ini telah bermula pada seawal jam 7.00 pagi dan berakhir pada jam 3.30 petang.  

          Pesta Nelayan Menumbok 2016 Peringkat Negeri ini telah pun dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hajjah Azizah DSP Hj Mohd Dun merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, merangkap Ahli Parlimen P.177 Beaufort, dan penganjur utama bagi pesta ini ialah Pejabat Daerah Kecil Menumbok yang telah dipengerusikan oleh Encik Husin Narion selaku Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok

          Pameran dan KDB ini telah diadakan di Tapak Pesta Nelayan iaitu di Pantai Mempakul Menumbok. Pesta Nelayan yang diadakan pada setiap tahun ini adalah bagi memperingati jasa-saja para nelayan di Daerah Menumbok ini dalam meningkatkan pengeluaran hasil laut bagi memenuhi keperluan penduduk di daerah ini dan juga di daerah-daerah berdekatan yang lain. Banyak aktiviti dan pertandingan telah diadakan sepanjang pesta tersebut berlangsung, antaranya ialah pertandingan memancing, lumba bot nelayan, jualan gerai-gerai dan pameran, pertandingan karaoke, pertandingan berkayuh, tarik tali, pertandingan memasak masakan hasil laut, mewarna kategori kanak-kanak, pertandingan Bunyi Burung Murai Batu,pertandingan Four Wheel Drive, sukaneka dan sebagainya.

         Pesta yang berlangsung selama 3 hari ini adalah amat meriah sekali, dan pameran kami telah pun diadakan pada hari kemuncak iaitu pada hari ketiga semasa majlis perasmian berlangsung. Antara pengisian yang telah kami adakan sepanjang pameran tersebut iaitu memberikan tips-tips keselamatan internet kepada pengunjung yang datang ke booth kami, mengadakan pendaftaran bagi ahli baru, memperkenalkan kewujudan PI1M, pengunjung booth berpeluang untuk mengambil gambar melalui peralatan kreatif dan prop-prop KDB yang telah kami sediakan, kami juga telah mengadakan pertandingan selfie kreatif dan juga mengadakan cabutan bertuah hamper kepada ahli PI1M yang berdaftar sahaja.

         Ucapan terima kasih juga kepada pihak penganjur utama pesta ini iaitu Pejabat Daerah Kecil Menumbok kerana memberikan kebenaran dan peluang kepada kami untuk mengadakan pameran semasa pesta tersebut berlangsung. Selain itu, tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada para pengunjung yang sudi datang ke booth pameran kami, dan juga penambahan kepada pendaftaran ahli PI1M baru yang cukup memberangsangkan.

         Harapan kami melalui pameran dan kdb yang telah kami buat ini akan dapat memperkenalkan lagi kewujudan dan perkhidmatan yang terdapat di PI1M secara terbuka kepada orang awam. Selain itu, melalui tips-tips kdb yang telah diberitahu dan diberikan akan dapat memberikan kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan keselamatan penggunaan internet di masa kini. Kami juga berharap agar mendapat sokongan daripada komuniti untuk kami mengadakan program-program lain di masa akan datang.