Kisah Kejayaan Celik ICT - En Razali Ibrahim

28 September 2016 | Berita Terkini

Kisah kejayaan Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) Felda Layang-Layang

 

Nama: Razali Bin Ibrahim

Pekerjaan: Pengurus Besar KPF Farming Felda Layang-Layang

 

Pernah menyandang jawatan penting di beberapa syarikat ternama di Negeri Sembilan dan ibunegara, antaranya termasuklah di sektor perladangan, pembalakan, saham dan pembangunan insan. Berkelulusan dalam bidang Sains Pertanian dan Ekonomi, namun masih bersemangat untuk menabur bakti  dalam usia 53 tahun.

Perkenalan beliau kepada Pusat Internet 1 Malaysia bermula secara kebetulan pada sekitar tahun 2014 apabila menghadapi masalah untuk menghantar laporan ke ibupejabat syarikatnya di Kuala Lumpur sedangkan beliau kesuntukan masa untuk melakukannya secara pos. Dari insiden itulah beliau mula menggunakan e-mel dan belajar menggunakan telefon pintarnya bagi membantu menyelesaikan urusan sehariannya. 

Kedudukan pejabatnya di tengah ladang sawit yang sukar mendapat liputan internet juga antara sebab beliau sering berulang alik ke PI1M Felda Layang-Layang untuk mengakses internet dan menggunakan perkhidmatan mesin penyalin, pengimbas dan menyiapkan tugasan pentingnya seterusnya mempelajari cara penyampaian berkesan menggunakan perkakasan ICT.

Melalui penggunaan akaun Google, beliau kini boleh menyegerakkan (synchronizing) imej, e-mel serta dokumen kerjanya walau di manapun beliau berada. Penggunaan telefon pintar dengan langganan pelan data Celcom memastikan beliau sentiasa mendapat maklumat terkini. Inilah bahagian yang paling menarik perhatian beliau yang menyebabkan beliau tidak ragu-ragu untuk mendapatkan Galaxy Note 5 sebagai pelaburan menyelesaikan urusan kerja sehariannya.

Sebelum ini beliau hanya menggunakan cara lama yang kurang produktif. Melalui carian internet juga beliau mula mengetahui bahawa khidmat kurier dan poslaju juga dapat dimenafaatkan dalam menyegerakan urusan perniagaan.

En Razali ketika ini sedang mengikuti kursus Smart Learning yang ditawarkan oleh PI1M melalui kolaborasi bersama Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi Universiti Sains Malaysia bagi meningkatkan kebolehannya menggunakan komputer. Kemahiran yang beliau miliki sebelum ini hanyalah melalui pekerja bawahannya dan rakan-rakan yang memadai untuk menyiapkan kerja-kerja pemprosesan kata dan lebaran kerja yang asas.

Selain menggunakan perkakasan digital untuk pekerjaan, En Razali Ibrahim juga sedang berjinak-jinak memulakan perniagaan secara online dengan menjual teh rerama hijau bagi menambahkan pendapatan sampingan. Beliau sedang belajar mengemaskinikan blogspot yang dibuatnya bersama petugas Pusat Internet 1 Malaysia Felda Layang-Layang.

Sesungguhnya usia bukan penghalang bagi En Razali untuk mempelajari perkara baru.  Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, tiada yang diistilahkan sebagai terlambat dalam memperbaiki mutu kehidupan. Seperti yang beliau ungkapkan, tidak hilang bisa ular menyusur akar, beliau tidak gusar untuk belajar lagi meskipun umum maklum yang beliau berjawatan untuk memastikan semua tugasan boleh disiapkan oleh pekerjanya.

En Razali Ibrahim dan sebilangan gambar perusahaan penternakan ayam penelur KPF Farming di Felda Layang-Layang yang diuruskannya 


Blogspot En Razali yang menjadi wadah perniagaan online bagi menambah punca pendapatan sampingan

 http://reramahijauherba.blogspot.my/2016/08/daun-rerama-hijau-asli-penawar-kanser.html