Pertandingan Menaip Microsoft Office Word ( Jawi ke Rumi )

31 October 2016 | Berita Terkini

Memandangkan tulisan jawi kini semakin kurang mendapat perhatian dan pelajar juga kurang didedahkan dengan penggunaan tulisan jawi, Pusat Internet 1 Malaysia Felda Layang-Layang telah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertandingan menaip menggunakan Microsoft Office Word. Mereka telah diberikan rencana yang ditulis dalam tulisan Jawi untuk ditaip semula ke tulisan Rumi melalui perisian pemprosesan kata Microsoft Word.

Sebelum ini para peserta telah mengikuti bengkel Microsoft Office Word dan mereka yang terpilih adalah pelajar yang telah boleh  menaip, mengubah tulisan, warna dan juga membuat pemidang pada dokumen mereka. Pertandingan ini merupakan satu aktiviti yang mempunyai dua tujuan utama, pertamanya menguji kemahiran menggunakan perisian pemprosesan kata Microsoft Office dan ke duanya untuk menguji kemahiran membaca artikel tulisan Jawi yang diberikan pada mereka.

Para peserta diberi satu karangan bertulisan jawi dan mereka dikehendaki untuk menaip semula karangan menggunakan Microsoft Word Office dalam bahasa melayu. Selesai menaip, mereka dikehendaki untuk menukar bentuk tulisan, saiz dan warna. Para peserta juga dikehendaki untuk menghias karangan tersebut dengan menambah pemidang (border).

Melalui pertandingan ini, kami dapati bahawa keseluruhan peserta dapat mempelajari dan mengikuti apa yang dikehendaki dalam aktiviti ini dengan lancar dan berjaya. Kami amat mengharapkan program seumpama ini dapat menyumbang kepada rasa sayang kepada nilai budaya bangsa terutamanya kepada generasi muda yang telah mula melupakan tulisan Jawi. Dengan ini tidaklah mereka hanya menganggap tulisan Jawi hanya digunakan pada dalam bahasa Arab dan teks Al Quran sahaja kerana nenek moyang kita pernah mewariskan Tulisan Jawi sebagai salah satu khazanah kesusasteraan bangsa Melayu yang pernah gemilang sejak berkurun lamanya di Era Kegemilangan Nusantara dahulu.