Petikan Ucapan Hari Terbuka Pusat Internet 1 Malaysia Felda Layang-Layang

29 November 2016 | Berita Terkini

Assalammualaikum W.B.T dan Selamat Sejahtera

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan izinNya dapat kita berhimpun di Pusat Internet 1 Malaysia Felda Layang-Layang ini bagi menyempurnakan Hari Terbuka Pusat Internet 1 Malaysia bagi tahun 2016.

Bagi pihak Pusat Internet 1 Malaysia iaitu selaku Penyelaras Program ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran

YANG BERBAHAGIA

En Shazali Bin Arshad, Pengurus Felda Layang-Layang

YANG BERBAHAGIA;

Tuan Hj Sharif Bin Aluwi - Imam Masjid Felda Layang-Layang

Ketua Peneroka

JKKK Felda Layang-Layang

GPW Felda Layang-Layang

Ketua-Ketua Blok

Guru-Guru, Tuan Tuan Haji, Puan Puan Hajjah

Tuan-tuan dan Puan-puan serta para peserta sekalian.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Felda Layang-Layang di atas kesudian menerima kehadiran kami di sini.

Ucapan terima kasih juga kepada individu yang memberi kerjasama dan sokongan yang berterusan secara langsung atau tidak langsung bagi menjayakan program ini.

 

Tuan-tuan dan puan-puan serta para hadirin sekalian,

Internet kini merupakan medium perantaraan yang sangat popular dan menjadi pilihan utama masyarakat untuk memudahkan urusan harian. Kewujudan pelbagai aplikasi dan rangkaian laman sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya tidak dinafikan telah banyak memberikan faedah kepada para penggunanya tetapi tidak kurang juga kesan- kesan negatif yang dapat kita lihat hari ini antaranya penggodaman, pencurian identiti, buli siber dan penipuan di internet. Disebalik segala kemudahan teknologi yang kita kecapi kini seharusnya ianya dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti kerja namun ianya hendaklah digunakan secara positif.

Selain penglibatan secara aktif dalam mendalami pengetahuan berkaitan sesuatu bidang tugasan yang dillakukan, etika kerja turut memainkan peranan bagi menjamin aktiviti seharian kita bukan sahaja berjalan lancar, malah mempunyai kualiti yang memenuhi jangkaan golongan sasaran.

Tahun ini Pusat Internet Satu Malaysia hari ini menganjurkan Hari Terbuka yang lebih santai untuk mendekati para penggunanya, khususnya warga Felda Layang-Layang seterusnya meningkatkan penggunaan PI1M secara optimum dalam kegiatan seharian kita.

Setelah bersama anda selama 6 tahun, PI1M kini berperanan sebagai bukan sahaja sebagai pusat latihan seperti sebelum ini namun lebih kepada pusat kegiatan komuniti dan pengembangan bakat bagi meningkatkan kandungan tempatan selain menjadi penghubung kepada agensi kerajaan dan swasta dalam memudahkan urusan atas talian. Permohonan kerja atas talian, pencarian maklumat, menguruskan pendaftaran nikah cerai serta pembelajaran atas talian Zoom A merupakan antara yang paling popular bagi komuniti di sini.

Menjelang Disember nanti, tuan puan yang berkelayakan boleh mengemas kini maklumat bagi BR1M 2017. Sesuai dengan motto Johor berkemajuan baru-baru ini para generasi muda digalakkan memohon skim bantuan perumahan serta mengisi peluang-peluang kerja yang ditawarkan kepada warga Johor dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing. Banyak juga skim latihan untuk meningkatkan kemahiran pekerja kerana negeri Johor yang mahukan rakyat dan pentadbirannya terkehadapan, berdaya saing ke peringkat global dan berbudaya terpuji sepertimana semangat yang ditunjukkan pada pasukan JDT.

Menjelang cuti persekolahan panjang ini, benarkan anak–anak tuan puan ke Pusat Internet 1 Malaysia inu bagi mereka mencambah idea kerana mereka bukan semata menonton video Upin Ipin dan Larva, mereka belajar dari apa yang mereka lihat. Terimalah hakikat negara China, Jepun, Korea dan Taiwan bermula dari meniru. Namun kini setiap negara ini disegani produknya hingga mampu menyaingi dan ada yang mengatasi produk negara barat. Hanya dengan menambah nilai, dan menyesuaikan dengan kehendak tempatan serta memenuhi jangkaan pengguna, perubahan yang kecil saja boleh mengubah segalanya.

Perubahan kemajuan masa kini yang bersifat global telah menyebabkan perubahan dalam penilaian pelajar dalam sistem pendidkan kita. Kini ianya lebih mencabar dengan soalan-soalan yang  memerlukan tahap fikiran yang lebih kritis atau lebih popular dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Mana mungkin soalan siapa perdana menteri Malaysia yang pertama atau siapakah yang mencipta cermin mata kerana semua ini boleh di Google dari telefon bimbit mereka dengan mudahnya.

Mereka perlu banyak didedahkan dengan maklumat dan pada masa yang sama mendidik mereka untuk memilih maklumat yang sahih dan tepat dengan menganalisa melalui pengalaman dan logik akal. Inilah yang kami terapkan dan ajarkan di PI1M kami. 

Tuan-tuan dan puan-puan serta para hadirin sekalian,

Acara hari ini juga diisi dengan kursus dan bengkel yang akan dilangsungkan pada sebelah pagi selepas ini. Kami sangat mengalu- alukan penyertaan komuniti dalam slot latihan yang telah kita aturkan tersebut. Bagi yang ingin mengikuti kursus seumpamanya atau kursus lain pada masa yang berbeza, sila berjumpa dengan petugas Pusat Internet Satu Malaysia untuk sesi temujanji anda.

Sesungguhnya kami sentiasa bersedia menerima kunjungan anda dalam mendapatkan khidmat nasihat berkaitan teknologi maklumat, urusan atas talian serta perkhidmatan sampingan yang kami sediakan.

Pada kesempatan ini ingin kami umumkan juga pihak Pusat Internet 1 Malaysia dengan ada menawarkan beberapa modul kursus yang menarik kepada para penggunanya;

Pertamanya, Persijilan Microsoft Office Tahap 1 hingga tahap 3.

Program Pendidikan Berterusan yang di kenali sebagai Smart Learning ini dilaksanakan dengan kolaborasi Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi USM.

Peserta akan diajar penggunaan Sistem Operasi Windows Microsoft Windows 8, Pemproses Perkataan Microsoft Word, Helaian Pembentangan Kerja Elektronik Microsoft Excel dan Perisian Pembentangan Multimedia Microsoft Powerpoint menurut kemampuan penerimaan masing-masing, maksud saya tiada jangkaan masa. Ia boleh sahaja dihabiskan dalam masa 1 bulan atau 3 bulan mahupun setahun.

Menariknya program ini, Modul dan Persijilannya disediakan oleh USM. Selain itu ianya sangat murah jika dibandingkan program yang sama jika dipelajari dari pusat latihan ICT swasta lain. Nilainya hanya RM150 berbanding hampir RM500 jika dipelajari di luar.

Program ke 2 adalah Kursus asas keusahawanan. Melalui program ini peserta akan didedahkan dengan persediaan dan asas untuk menjadi usahawan, dari pemilihan produk perniagaan, kajian pasaran, penyediaan kertas kerja hinggalah laporan-laporan berkaitan.

Tuan Puan sebagai pelanggan juga boleh mengusulkan apa jua program yang ingin dipelajari. Andainya saya tak berupaya saya akan cuba mendapatkan alternatif yang terbaik untuk tuan puan.

Kami sebagai pengurus menggalakkan anak-anak tuan puan datang dalam kumpulan kecil untuk belajar dan menyiapkan kerja sekolah bersama. Kami ada menyediakan bangunan serambi/wakaf di belakang PI1M ini bagi tujuan tersebut. Disana juga kami sediakan plak punca kuasa elektrik untuk para pengguna menggunakan perkakasan ICT mereka.

Sekiranya anak anak atau tuan puan memerlukan bimbingan bahasa inggeris dan matematik insyaAllah saya boleh aturkannya menurut kelapangan saya.

Kami juga membuka peluang kepada pihak yang berminat untuk berkongsi kepakaran dan ilmu mereka kepada peningkatan gaya hidup masyarakat. Ianya tidak terhad kepada sabjek berkaitan ICT sahaja. Contohnya dalam bidang penyediaan makanan, tata rias atau solekan, penjagaan kesihatan dan sebagainya. Untuk ini penganjur dibenarkan mengenakan bayaran yang minima bagi menampung kos bahan dan pengendalian. Anda boleh berjumpa kami untuk membincangkannya dengan lebih lanjut, mungkin kita boleh menjalinkan usaha sama jika tidak mampu melakukannya secara bersendirian.

Pendek kata marilah kita sama-sama memenafatkan Pusat Komuniti ini dengan kegiatan yang dapat meningkatkan kualiti masyarakat kita. Mungkin nampak mudah dan segera jika kami lakukan sendiri namun  sekiranya kita dapat lakukannya bersama hasilnya mungkin lebih bermakna. Memetik dari pepatah Afrika dengan izin, If You Want To Go Fast, Go Alone. If You Want To Go Far, Go Together.

Dengan ini berakhirlah ucapan saya sempena Program Hari Produktiviti hari ini

Saya sudahi dengan w.b.t warahamatullahi wabarakatuh.

Sekian, terima kasih