Komuniti
JKKK
Sebagaimana fungsi asas Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang lain, JKKK Felda Layang-Layang
turut berperanan dalam memastikan kestabilan penduduk dan kemajuan kampung
sentiasa terjamin. Pihak JKKK akan mengadakan mesyuarat bagi
membincangkan mengenai perkembangan kampung
dan merancang aktiviti-aktiviti kampung. Malah, matlamat JKKK adalah untuk
membantu meningkatkan taraf hidup penduduk kampung supaya boleh bersaing dengan
penduduk bandar dan berusaha untuk mening- katkan keyakinan diri serta mencuba
sesuatu yang baru dan boleh menguntungkan. Pihak JKKK juga berperanan mengatur
program-program yang memberikan banyak faedah kepada penduduk dan kepentingan
kampung yang melibatkan semua peringkat umur. Selain itu, aktiviti yang
dianjurkan oleh pihak JKKK dengan penduduk kampung adalah kegiatan
gotong-royong membersihkan kawasan kampung unutk
menceriakan kampung masing-masing. Sekiranya ada
sebarang majlis keramaian, penduduk akan sama-sama menyumbangkan tenaga agar
semuanya berjalan dengan lancar.
BELIA
Golongan belia di FELDA
Layang-Layang menjalankan aktiviti berfaedah. Ini termasuklah bekerja di ladang
dan membantu ibu bapa mereka dalam industri pertanian yang lebih kecil.
Walaupun mereka sibuk membantu ibu bapa, mereka turut aktif dalam sukan dan
kegiatan kemasyarakatan yang lain. Golongan belia Felda Layang-Layang mempunyai
pelbagai aktiviti mereka tersendiri. Walaupun ramai di antara belia telah
berhijrah ke kawasan bandar untuk melanjutkan pelajaran ataupun bekerja namun
bagi belia yang masih tinggal di sini mereka aktif dalam aktiviti sukan. Bola
sepak atau futsal merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh belia kampung
ini sekiranya ada masa terluang. Persatuan Belia Felda Layang-Layang ini juga
ada menganjurkan pertandingan kejohanan bola sepak atau futsal yang melibatkan
penyertaan belia dari kampung sekitar. Namun yang jelas,belia Felda
Layang-Layang lebih gemar bersukan untuk mengisi masa terluang.
Selain itu, mereka juga ada mengadakan program menangani masalah Gejala Sosial
di Felda Layang-Layang dan melaksanakan aktiviti riadah dirancangan. Majlis
Belia FELDA dan persatuan belia 4B turut memainkan peranan besar dalam
membentuk sahsiah mereka dengan penganjuran acara-acara serta latihan kemahiran
dan keusahawanan. Kehadiran PI1M di sini turut dapat mengisi masa mereka dengan
aktiviti sosial digital, latihan kemahiran berkaitan ICT dan hiburan.
Bagi belia yang sudah berhijrah dan menetap di bandar, mereka lebih
tertumpu ke bandar-bandar besar seperti Johor Bahru dan Kuala Lumpur serta bekerja
di sektor awam dan swasta.
WANITA
Gerakan Persatuan Wanita (GPW) FELDA
Layang-layang diasaskan di bawah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Rancangan (JKKR). GPW adalah sebuah masyarakat yang menjalankan
aktiviti-aktiviti bagi kaum wanita FELDA Layang-layang. Pergerakan ini memainkan
peranan yang amat penting untuk memastikan kejayaan aktiviti sosial atau agama
yang dirancang.
Kelas agama seperti Tafsir al-Quran
dan Marhaban dijalankan untuk meningkatkan pengetahuan agama mereka. Majlis
Bacaan Yasin juga diadakan dari rumah ke rumah setiap minggu. GPW turut
terlibat dalam aktiviti sosial seperti acara gotong-royong pembersihan sebulan
sekali di sekitar kampung atau masjid untuk meningkatkan lagi keindahan dan
kebersihan kawasan penempatan ini.Perkumpulan wanita ini juga memainkan peranan
yang besar dalam semua program kemasyarakatan yang memerlukan kerjasama bagi
menjayakan program tersebut. Peranan GPW sememangnya penting di dalam
memastikan kelangsungan kemajuan masyarakat penempatan FELDA ini terjamin dan
tidak ketinggalan dengan arus pemodenan.
Tugas seorang wanita
sememangnya sinonim dalam hal-hal menguruskan keluarga dan rumah tangga.
Namun, golongan wanita di Felda Layang-Layang turut
aktif menceburkan diri dengan aktiviti yang memberi
banyak kemahiran dan faedah kepada mereka. Oleh itu, kewujudan Persatuan
Kumpulan WANITA (Gerakan Persatuan Wanita Felda Layang-Layang) yang berfungsi
sebagai badan pengerak kepada aktiviti di Felda Layang-Layang. Selain itu,
mereka berperanan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup di kalangan warga
penerokawati. Persatuan ini juga turut mengadakan aktiviti keagamaan dan
kerohanian seperti majlis bacaan Yassin yang diadakan di masjid. Malah
kumpulan wanita ini juga terlibat dengan program-program kampung seperti Majlis
Maulidur Rasul dan Marhaban Gabungan yang memerlukan kerjasama bagi menjayakan
program tersebut. Persatuan ini juga mengadakan aktiviti bulanan peringkat blok
dan rancangan seperti mesyuarat blok dan membantu program yang dianjurkan
peringkat Felda Layang-Layang. Mereka juga menjalankan aktiviti gotong-royong
di kawasan awam dan blok-blok (kampung).