Hari Terbuka Pi1M Kg. Lormalong

05 November 2016 | Berita Terkini

Sambutan Hari Terbuka Pi1M Kg. Lormalong telah diadakan pada 5 November 2016. Tujuan Hari Terbuka Pi1M ini adalah merupakan usaha pihak Pi1M Kg. Lormalong untuk mengeratkan silaturahim yang muhibah Antara staf Pi1M dan penduduk Kampung. Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk mempromosikan lagi kemudahan yang disediakan di Pi1M seterusnya dapat menjana idea bersama untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan Pi1M yang mana semua sedia maklum bahawa Pi1M adalah sebuah pusat pengembangan ilmu dan kemahiran dalam bidang ICT.

Sambutan begitu meriah sekali dengan kehadiran VIP iaitu Ketua Kampung En.Hashim Bin Daud yang sudi menyumbangkan sebuah lagu untuk merasmikan Hari Terbuka ini yang mana salah satu daripada aktiviti yang diadakan adalah pertandingan Karaoke Kategori Veteran dan Remaja. Dengan sumbangan lagu daripada beliau, maka secara rasminya Sambutan Hari Terbuka pada 2016 telah dirasmikan oleh beliau.

Pada sambutan kali ini, aktiviti yang diadakan adalah aktiviti yang tidak menggunakan komputer seperti Pertandingan Karaoke, Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, Teka Bahasa Isyarat dan Musang Berjanggut. Pada hari tersebut juga, penyampaian hadiah telah disampaikan kepada pemenang pertandingan Bola Tampar Piala Pi1M Kg. Lormalong yang telah diadakan pada bulan sebelumnya.

Program seumpama ini dapat mewujudkan suasana muhibbah di Antara Pi1M Kg Lormalong dan komuniti kampung khasnya. Diharapkan program seumpama ini akan terus mendapat sambutan daripada komuniti kampung seterusnya dapat menjalinkan hubungan yang harmoni antara komuniti dan staf.