Pendidikan

PUSAT PENDIDIKAN


SEKOLAH RENDAH


SEKOLAH KEBANGSAAN MALANGANG BARU & PRA SEKOLAH SK MALANGANG BARU

Sekolah Kebangsaan Malangang Baru yang terletak kira-kira 8 km dari Pekan Tamparuli dibina sekitar tahun 1983. Nama asal sekolah ini ialah Native Volentary School/Sekolah Sukarela Rakyat (N.V.S). Bangunan sekolah ketika itu dibina dengan menggunakan kayu-kayu bulat, batang bambu yang dibelah-belah dijadikan dinding, beratapkan rumbia dan berlantaikan tanah.  Bangkunya menggunakan kayu bulat, manakala mejanya menggunakan papan panjang sahaja. Pada awal pembukaan sekolah ini, hanya mempunyai 60 orang murid sahaja yang terdiri daripada penduduk tempatan dengan tenaga pengajar hanya seorang guru sahaja iaitu En. Rolland Gamar yang juga merupakan Guru Besar yang pertama di sekolah ini.

Sekitar  tahun 1970an, sekolah ini telah dipindahkan ke kawasan baru iaitu tapak sekolah yang ada sekarang ini. Terletak bersempadan dengan kampung Malangang Lama, kira-kira 1 km dari bangunan sekolah lama. Bangunan sekolah baru ini mempunyai 2 blok bangunan yang diperbuat daripada papan, dan juga mempunyai 2 unit rumah guru. Sekolah ini juga mempunyai kemudahan seperti bekalan elektrik, telefon dan juga air. Pelajar-pelajar sekolah ini terdiri daripada penduduk kampung berhampiran iaitu Kg. Malangang Baru, Kg. Malangang Lama, Kg.Tombung, Kg. Ponohuon, Kg. Tompinahaton dan Kg. Namadan.

Memadangkan lokasi sekolah terletak di Kampung Malangang Baru Kiulu maka secara rasminnya nama sekolah telah ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Malangang Baru Tuaran berkuatkuasa pada 8 Jun 1978 dengan perasmian bangunan sekolah oleh Yang Berhormat Toh Puan Hajjah Rahimah Stephen, Menteri Kebajikan Masyarakat dan perpaduan Negara. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK 2006-2010) sebuah blok Prasekolah dan Makmal Komputer telah dibina sebagai tambahan kepada dua blok bangunan sekolah sedia ada.

 

SEKOLAH KEBANGSAAN PEKAN KIULU 

Sekolah Kebangsaan Pekan Kiulu atau nama ringkasnya SK Pekan Kiulu, merupakan sebuah Sekolah terawal di kawasan Kiulu. SK Pekan Kiulu yang terletak di Pekan Kiulu dan bersebelahan dengan sekolah menengah SMK Tun Fuad Stephen dahulunya dikenali dengan nama Government Primary School (GPS), Kiulu.

Sekolah rendah ini sudah wujud sejak tahun 1952 lagi berkat usaha dan jasa Ketua Anak Negeri Kiulu waktu itu, mendiang OKK Rampas dan masyarakat setempat. Manakala tapak atau tanah yang digunakan untuk mendirikan sekolah itu milik Ketua Kampung Saguman Bin Anggut yang merelakan tanahnya dijadikan tapak sekolah dengan ganti rugi yang kecil.

SK Pekan Kiulu yang mempunyai tiga blok papan menempatkan pelajar-pelajar dari tahun satu hingga tahun enam yang tinggal di kampung-kampung yang berhampiran Pekan Kiulu. Pada 3 Mac 2014 yang lalu SK Pekan Kiulu telah mengalami kerosakan yang teruk akibat kebakaran. Pelajar-pelajar terpaksa belajar di bawah khemah sementara yang didirikan. Kini bangunan konkrit yang baru sedang dalam pembinaan bagi memberikan keselesaan kepada pelajar untuk belajar.

 


SEKOLAH MENENGAH

SMK TUN FUAD STEPHEN

Sekolah Menengah Tun Fuad Stephens (SMKTFS) adalah satu-satunya sekolah menengah yang terdapat di Kiulu, Tuaran. Letaknya di Pekan Kiulu, kira-kira 14 kilometer dari Pekan Tamparuli, kira-kira 24 kilometer dari Pekan Tuaran dan kira-kira 60 kilometer dari bandar Kota Kinabalu. Sekolah Menengah Tun Fuad Stephens yang dibina atas biaya Bank Dunia dalam Rancangan Malaysia ke Tiga dan Empat mempunyai keluasan kawasan 282,000 kaki persegi. SMKTFS telah ditubuhkan oleh seorang Pegawai Pendidikan ketika itu iaitu Encik Aslie Lullah yang memegang  jawatan sebagai Penyelia Kanan Sekolah-sekolah di Pejabat Pendidikan, Kota Kinabalu sejak tahun 1965. SMKTFS telah ditubuhkan pada tahun 1968 dan pada masa itu sekolah ini dikenali dengan nama Government Junior Secondary School (GJSS), Kiulu.

Murid-murid dari beberapa buah sekolah rendah yang telah wujud pada masa itu seperti di Kampung Malangang, Mantob dan Kampung Pukak tidak dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah selepas menamatkan persekolahan di sekolah rendah kerana tiada sekolah menengah. Pada waktu itu sekolah menengah yang paling dekat adalah di Pekan Tamparuli dan Pekan Tuaran. Jarak yang jauh dan ditambah lagi sebahagian daripada pelajar tersebut datang dari keluarga petani miskin, mereka tidak mampu untuk membiayai kos perbelanjaan. Sekiranya mereka ingin melanjutkan pelajaran menengah di sana, mereka terpaksa tinggal di Pekan Tamparuli atau Pekan Tuaran. Ini sudah tentu memerlukan belanja yang besar. Jalan perhubungan antara Pekan Kiulu dengan kedua-dua pekan pula amat sukar kerana jalan yang ada pada waktu itu cuma jalan tanah merah bercampur kerikil. Pengangkutan awam yang ada cuma beberapa buah ' Land Cruiser '. Menyedari masalah ini, ramai murid yang terkandas di pertengahan jalan. Cadangan menubuhkan sebuah sekolah menengah di kawasan Kiulu telah disuarakan kepada Pengarah Pendidikan Sabah ketika itu, Mr. George Douglas Muir.

Disebabkan kesulitan mencari tapak yang sesuai dan ditambah pula tidak ada peruntukan untuk mendirikan sekolah menengah, maka buat permulaan pelajar-pelajar yang ada ketika itu terpaksa menumpang di bangunan sekolah rendah yang ada di Pekan Kiulu. Pengetua pertama GJSS, Kiulu ialah Cikgu Awang Mohdzar dibantu oleh seorang anggota American Peace Corp. iaitu Mr. Veron Skinner. Pada tahun pertama persekolahan, cuma ada dua buah kelas iaitu dua kelas Bridge One. Sebagai permulaan, Jabatan Pendidikan hanya menyediakan kapur tulis, kertas dan alat pencetak jenis lama kepada sekolah ini, namun kemudahan buku belum ada. Murid-murid terpaksa berusaha sendiri untuk mendapatkan sumber rujukan. Jumlah murid pada ketika itu ialah 65 orang termasuk 26 orang murid perempuan.

Pada tahun 1972, SMKTFS telah mengalami perkembangan yang pesat dengan bertambahnya jumlah murid dan guru-guru juga semakin ramai yang dihantar ke SMK Kiulu. Dalam Rancangan Malaysia III dan IV, kerajaan pusat telah menumpukan perhatian terhadap pembangunan pendidikan di kawasan luar bandar di seluruh negara. Daerah Kiulu tidak terkecuali kerana pada masa itulah bangunan baru SMKTFS dimulakan pembinaannya.

Walaupun SMK Tun Fuad Stephens hanya sebuah sekolah yang kecil dan terletak di pedalaman, tetapi pencapaiannya dalam bidang kurikulum dan ko-kurikulum boleh dibanggakan. Peratus kelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak awal penubuhannya hingga ke hari ini, menunjukkan peningkatan yang membanggakan dari setahun ke setahun. Bahkan sejak beberapa tahun  ini, peratus kelulusan Peperiksaan Menengah Rendah PMR dan SPM , SMKTFS adalah antara yang terbaik di di Negeri Sabah. Antara bekas pelajar  SMK TFS yang telah berjaya dalam karier masing-masing ialah YB Datuk Jahid Jahim yang pernah dilantik menjadi Senator, YB DSP Wilfred Madius Tanggau kini menjawat jawatan sebagai ahli Parlimen kawasan P.170 Tuaran (Menteri Sains, Teknologi dan inovasi) dan Puan Siti Badariah yang memegang jawatan Magistret Kota-Kinabalu. Sekolah ini juga telah berhasil melahirkan ramai jaguh sukan yang telah mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri bahkan hingga ke peringkat kebangsaan. Antaranya En. Guanus Salagan (juara beberapa kali Perlumbaan Mendaki Gunung Kinabalu Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa), En. Doroni Balantis (mewakili negeri Sabah dalam Kejohanan Bola Sepak MSSM 1993),  Domica Kinsiong (mewakili negeri Sabah dalam Kejohanan Hoki MSSM 1992), Everly Ebun (mewakili negeri Sabah dalam Silat Olahraga Sukan SUKMA 1992), Jamri Salleh (mewakili negeri Sabah dalam Kejohanan Bola Tampar MSSM 1997), Doris Sandra Ng (mewakili negeri Sabah ke Kejohanan Taekwando 1996-1998), Nelmon Jeoffery (mewakili negeri Sabah  dalam Kejohanan Bola Sepak MSSM 1999, dan telah menjadi pemain Bola Sepak Remaja Sabah). Pada tahun 1998, Sekolah ini telah mendapat Anugerah Sekolah Harapan Negara Peringkat Negeri dan Anugerah Sekolah Keceriaan Peringkat Negeri.
© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.