Mengenai PI1M

PI1M MESILOU merupakan salah satu PI1M yang terdapat di Negeri Sabah dan mula dibuka kepada pengunjung pada 23 oktober 2012.  PI1M Kg Mesilou terletak di Kg Mesilou, iaitu di kaki bukit Gunung Kinabalu yang menjadi mercu tanda negeri Sabah, negeri di bawah bayu. Jarak PI1M Mesilou dari pekan terdekat iaitu Pekan Kundasang ialah 5 km dan 22 km dari Pekan Ranau. Anggaran populasi di kampung ini adalah 400 orang, rata-rata penduduk di kampung ini merupakan penduduk asal Kg. Mesilou, manakala segelintir kecil adalah perkahwinan campur dengan penduduk luar dan menetap di kampung ini. Komuniti PI1M Mesilou kebanyakkannya menjalankan aktiviti bercucuk tanam, berniaga dan menjadi penunjuk arah gunung (mountain guide) serta ‘porter’. Kini, kawasan Kundasang sangat terkenal sebagai lokasi pelancongan di Sabah. Oleh itu, penduduk kampung Mesilou ada yang menjadi pengusaha ‘homestay’ sebagai sumber ekonomi. Antara homestay yang terkenal adalah ‘atamis Homestay’, ‘Little heart’. ‘homestay Gals’ dan banyak lagi.

Pi1M Kg Mesilou mempunyai fungsi yang tersendiri kepada penduduk Mesilou dan Kundasang. Selain merapatkan jurang digital, PI1M ini juga berusaha untuk mendidik penduduk Mesilou mengenai keselamatan dan tanggungjawab ketika melayari internet melalui program yang dikenali sebagai program “Klik Dengan Bijak” yang juga dikenali sebagai program “Jejak Digital”. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Mesilou dan Kundasang. Disamping itu, PI1M Mesilou turut berusaha untuk membantu penduduk untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui latihan keusahawanan yang diadakan setiap bulan. Setakat tahun ini, sambutan kelas keusahawanan agak menggalakkan kerana ramai orang terutamanya suri rumah mengikuti kelas ini. Pada tahun 2015, jumlah terkini yang telah mendaftar sebagai ahli PI1M adalah seramai 418 orang, yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas. Pelbagai manfaat diperolehi jika mendaftar sebagai ahli. Selain mendapat akses wifi seumur hidup, komuniti boleh mengikuti kelas-kelas ICT dan Keusahawanan secara percuma.

Lokasi PI1M Kg.Mesilou sangat istimewa kerana betul-betul berada di kaki Gunung Kinabalu. Selain itu, jalan masuk ke kampung ini juga perlu melalui sebuah ladang lembu yang terkenal di Sabah, iaitu ‘Desa Dairy Farm’, serta sebuah resort terkenal iaitu ‘Dream World’. Tambahan lagi kawasan Kundasang dan Mesilou semakin terkenal sebagai pusat pelancongan di Sabah. Selain terkenal sebagai pusat penanaman sayuran tanah tinggi, ianya juga terkenal dengan pemandangan indah serta penjualan bunga dan nursery. Disebabkan kedatangan pelancong semakin bertambah setiap hari, ramai penduduk telah berjinak-jinak dalam perusahaan ‘homestay’. Antara kawasan yang popular ialah ‘atamis Homestay’ dan ‘Kundasang Guest House’. Selain itu, terdapat satu ladang Strawberry yang terletak di Mesilou, yang dimiliki sepenuhnya oleh anak jati Kg Mesilou. Ladang strawberry ini agak terkenal dalam kalangan pelancong kerana sering mendapat kunjungan dari pengunjung di serata tempat. Nama ladang strawberry ini adalah Strawberry Farm Sosompotan dan terletak lebih kurang 2km dari pusat internet Mesilou. Kg. Mesilou ini juga merupakan salah satu perkampungan yang berada di kaki Gunung Kinabalu dan menyediakan laluan untuk ke Gunung Kinabalu yang dikenali sebagai “mesilou trail”. Walaupun sebahagian laluan telah musnah akibat gempa bumi yang melanda Ranau pada Mei lalu, penduduk kampung dan para penunjuk arah telah membaiki dan membina jalan baru untuk kegunaan pelancongan. Salah satu padang golf yang terkenal di Malaysia juga terletak di kampung ini. Jarak PI1M Mesilou dari padang golf ini lebih kurang 2km. Mesilou Golf Resort terkenal kerana selain padang golf yang cantik, para pengunjung mendapat pemandangan gunung kinabalu dari jarak dekat semasa bermain golf di sini. Kebetulan Pusat Dakwah Islam juga terdapat di Mesilou.

Penduduk di kampung ini sangat ramah kepada sesiapa sahaja yang mengunjungi kampung mereka. Acara tahunan bagi kampung ini adalah Mesilouthon, yang diadakan pada setiap bulan Disember tiap tahun. Mesilouthon adalah satu acara berprestij dan diikuti oleh semua warga kundasang dan orang dari daerah lain turut berminat menyertai. Pada setiap tahun, acara peringkat antarabangsa iaitu ‘Mountain Bike’ juga turut diadakan di kampung ini, namun pada tahun ini acara tersebut terpaksa dipindahkan lokasinya iaitu di Ranau berikutan gempa bumi pada Mei lalu. Acara tahunan lain yang disambut di sini ialah ‘Pesta Kobis’ yang disambut pada setiap bulan Oktober setiap tahun. Di samping tiga sambutan di atas, kampung Mesilou mengadakan pertandingan 3M, iaitu satu acara yang melibatkan sukan tradisional Dusun, dengan tujuan untuk memelihara tradisi Dusun yang sekian lama dilupakan.

Kesimpulannya, Kundasang dan Mesilou adalah tempat pelancongan yang mempunyai keunikkan yang tersendiri, yang tidak terdapat di tempat lain. Para penduduk di sini sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelancong dari serata tempat.