Komuniti

Komuniti

(1)   JKKR

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung atau JKKK adalah sebuah organisasi kepimpinan di peringkat akar umbi. JKKK telah ditubuhkan untuk membantu penduduk di kawasan luar bandar bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan sejajar dengan pembangunan negara.

 Kebajikan sosial dan masyarakat memainkan peranan yang penting untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui perkhidmatan yang disediakan dan pembangunan sosial yang profesional dan perkongsian tanggungjawab yang strategik. Objektifnya adalah untuk mewujudkan masyarakat yang berbudaya penyayang dan yang serba lengkap dari segi keperluan asas. Ini akan dijalankan menerusi pembangunan masyarakat melalui perubahan sikap dan peningkatan keupayaan untuk berdikari.

 

(2)    RELA

Selain JKKR dan polis, terdapat juga Pertubuhan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang membantu pihak berkuasa menangani masalah keselamatan kampung. RELA dianggotai oleh para peneroka FELDA yang berumur 16 tahun ke atas. Anggota RELA FELDA ini disertai seramai 82 orang yang bertugas secara sukarela dan selalunya mengikut giliran. Melalui kemudahan keselamatan ini, tahap keselamatan di FELDA Palong Timur berada dalam keadaan yang terkawal.

 

(3)   GPW     

 

Bagi memastikan aktiviti wanita sentiasa bergerak aktif, beberapa program diwujudkan tidak kira program kemasyarakatan mahupun keagamaan. Aktiviti yang dianjurkan oleh Gerakan Perkumpulan Wanita (GPW) ini memainkan peranan penting dalam menggerakkan segala aktiviti yang disusun. Aktiviti-aktiviti yang kerap diadakan ialah seperti tafsir Al-Quran dan marhaban, kelas Fardu Ain dan bacaan Yasin. Penyertaan itu bukan sahaja disertai oleh wanita sahaja malah turut mendapat sambutan dari kalangan remaja perempuan.

 

Selain itu, terdapat juga sebahagian kaum wanita bergiat aktif dalam bidang perniagaan. Mereka mengusahakan pembuatan kuih tradisional seperti baulu, kuih bangkit dan sebagainya. Kuih-kuih ini sering mendapat tempahan dan permintaan dari penduduk Felda Palong Timur itu sendiri. Selain program keagamaan dan perniagaan, GPW juga mengadakan kelas jahitan dan sulaman bagi wanita yang berminat dalam bidang jahitan. Bengkel jahitan yang disertai 20 orang pelajar telah mengambil upah menjahit baju kurung dan sarung kusyen

 

 

(4)   BELIA

 

Penglibatan golongan belia di Felda Palong Timur dalam kegiatan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) di sini amat menggalakkan tidak kira dalam bidang sukan, kebudayaan dan keagamaan. Persatuan Belia Felda Palong Timur yang didaftarkan di bawah Majlis Belia Daerah bertujuan untuk membantu mereka merancang pelbagai aktiviti.

 

Belia di sini juga bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menganjurkan aktiviti gotong-royong yang melibatkan belia dan JKKR bagi membersihkan kawasan persekitaran yang dilakukan ketika menjelang musim perayaan dan kenduri kendera. Selain itu, belia di sini juga menubuhkan kumpulan kebudayaan seperti Kumpulan Kompang, Kumpulan Kuda Kepang dan Kumpulan Tarian Zapin yang dikelolakan oleh Biro Belia kawasan mereka. Kumpulan ini sering kali mendapat jemputan daripada pelbagai pihak, tidak kira dari penduduk setempat dan kampung sekitar untuk membuat persembahan dalam apa jua majlis rasmi atau tidak rasmi. Melalui aktiviti yang diadakan, belia di sini mendapat pendedahan dan pengalaman dalam memberi khidmat dan sumbangan kepada kampung mereka.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.