Program Marhaban di Pi1M

11 August 2016 | Berita Terkini

Pada 11 Ogos 2016 yang lalu, satu program telah diadakan di Pi1M Felda Palong Timur 3 iaitu Program Marhaban di Pi1M. Program ini telah disertai lebih daripada 50 orang yang terdiri daripada murid-murid Tabika Kemas Felda Palong Timur 3, Ibu bapa dan guru-guru murid-murid Tabika Kemas serta penduduk sekitar Pi1M. Program ini telah berlangsung pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada puku 1.00 tengahari.

Program dimulai dengan bacaan marhaban yang penuh bersemangat dan bertenaga terutamanya dari murid-murid Tabika Kemas. Dilihat Pi1M begitu meriah dengan kehadiran tetamu yang memeriahkan lagi program ini. Program ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada murid-murid tentang kepentingan budaya ziarah di bulan Syawal untuk mengukuhkan lagi silaturahim sesama kita. Selain itu program ini menyediakan murid untuk menghadapi suasana yang sebenar dalam kehidupan bermasyarakat.

Murid-murid juga dapat menimba ilmu, suasana dan pengalaman baru terutamanya mengamalkan adab menziarahi dan menghormati orang tua serta menanamkan nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat. Aktiviti marhaban ini merupakan aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak Tabika Kemas pada setiap tahun termasuklah mengunjungi rumah-rumah ibu bapa dan guru-guru murid Tabika Kemas juga. Marhaban adalah salah satu aktiviti bagi membiasakan pelajar dengan amalan tradisi masyarakat melayu yang tidak kering di panas dan tidak lapuk dihujan.

Matlamat program adalah untuk kecemerlangan sahsiah pelajar yang ingin melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ia juga dapat melahirkan suasana keakraban dan kemesraan di dalam diri pelajar itu sendiri. Program berakhir dengan jamuan ringan yang telah disediakn oleh pihak Pi1M.

Diharap agar program marhaban yang telah dianjurkan oleh pihak Pi1M ini dapat mencapai objektif dan dapat memberi impak positif kepada semua pihak. Semoga dengan adanya program seperti ini semakin merapatkan silaturahim antara pihak Pi1M dan juga masyarakat sekeliling. 


Berikut merupakan gambar-gambar sekitar program marhaban ini berlangsung.