Program Khatam Al-Quran

03 July 2016 | Berita Terkini

Tadarus al-Quran pada asasnya bermaksud membaca al-Quran di hadapan seseorang yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan. Sehubungan dengan itu, Puteri UMNO Cawangan Felda Palong Timur dengan kerjasama PI1M Felda Palong Timur 1 dan PI1M Felda Palong Timur 3 telah mengadakan Program Tadarus al-Quran pada 3 Julai 2016 yang lalu di Balai Raya Felda Palong Timur 2. Program ini bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

 

Program ini dilaksanakan sebagai satu usaha menghidupkan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Selain itu, program ini mempunyai objektif untuk membudayakan amalan bertadarus al-Quran di sepanjang bulan Ramadhan serta merapatkan ukhuwwah. Tadarus ini diadakan secara kelompok kecil yang disertai seramai 35 orang yang diketuai oleh Pengerusi GPW Felda Palong Timur 2 dan ahlinya. Sebelum memulakan bacaan, para peserta diagihkan setiap juzuk mengikut kumpulan dan membaca tahlil ringkas. Setelah selesai bacaan setiap juzuk para peserta beramai-ramai berkhatam al-Quran dan berakhir dgn membaca doa khatam al-Quran.

 

Melihat kepada betapa pentingnya kita membaca, memahami dan mendalami ilmu al-Quran ini, diharapkan program ini menjadi pencetus kepada semua anak-anak remaja ke arah membudayakan Al-Quran walau dimana sahaja berada dan dalam keadaan apa jua sekalipun. Semoga Allah SWT merahmati orang-orang yang menjadikan Al-Quran sebagai sebahagian dari kehidupannya.


Berikut adalah gambar-gambar yang diambil sekitar program ini dijalankan