Usahawan 10 - Pn Norizah Binti Jamil (Pengusaha dan Pemilik Minuman Giant Cup)

30 September 2016 | Kisah Kejayaan

Norizah Binti Jamil yang dilahirkan di Kampung Paya Terap, Buloh Kasap, Segamat, Johor pada tahun 1985 merupakan ahli di Pi1M Felda Palong Timur 3 yang begitu aktif kerana sering sahaja berkunjung ke Pi1M untuk menghadiri program mahupun kelas ICT yang dianjurkan oleh pihak Pi1M. Beliau merupakan anak ke dua dari dua orang adik beradik dan berpendidikan di Sekolah Menengah Felda Palong Timur. Lebih mesra dikenali sebagai Gee, berumur 32 tahun dan beliau merupakan ibu kepada 2 orang anak lelaki yang bersekolah Rendah dan juga Tabika Kemas adalah merupakan anak Peneroka di Felda Palong Timur 3 ini.

Memulakan perniagaan pertama secara kecil-kecilan di Batu Pahat Johor bersama suaminya pada tahun 2013 dengan menjual makanan western seperti Lamb Chop, Chicken Chop dan macam-macam lagi beliau kembali berpindah ke Felda Palong Timur pada tahun 2015 supaya lebih dekat dengan keluarga beliau, selepas itu beliau memulakan semula perniagaan dengan menjual makanan ringan seperti pisang goreng, tempe goreng dan juga keledek goreng serta minuman di Taman Yayasan, Segamat Johor pada hujung tahun 2015.

Pada Februari 2016 beliau mencuba nasib dengan menjual minuman Giant Cup Coffee and Green Tea iaitu yang dikenali sebagai Big Cup di mana hasil logo serta kaedah untuk menghasilkan Big Cup ini adalah sepenuhnya dari diri beliau yang turut dibantu oleh suami beliau sendiri. Minuman Big Cup beliau ini telah beroperasi dengan jayanya yang terletak di Dataran Putra Felda Palong Timur dimana hampir semua penduduk Felda palong Timur telah pun merasai kesegaran minuman Big Cup yang telah beliau hasilkan.

 

Big Cup yang beroperasi di Dataran Putra Felda Palong Timur.

 

Dengan menggunakan kemudahan internet melalui laman sosial Facebook telah banyak merubah hidup beliau melalui hasil pendapatan menjual minuman Giant Cup Coffee and Green Tea ini. Jika dahulu pendapatan beliau sekitar RM3,000.00 tetapi dengan menggunakan internet pendapatan beliau kini hampir mencecah RM5,000.00 sebulan. Dengan memasukan gambar dan memuat naik status di Facebook mengenai produk terkini, beliau dapati lebih ramai pelanggan akan datang ke kedai beliau berbanding sekadar mempromosikanya melalui hebahan sahaja. Antara pelanggan beliau meliputi penduduk setempat di kawasan Felda Palong Timur, Felda Palong 4,5,6, Kampung Mesudut Lama, Kampung Awat dan sebagainya sehinggalah ke negeri Melaka. Beliau juga bakal menubuhkan ‘francais’ beliau di Cyberjaya yang akan beroperasi selewatnya dua tahun akan datang.

 

 

Promosi melalui laman sosial Facebook.

 

Antara produk penghasilan oleh beliau.

 

 

Beliau akan menukar produk sebanyak 2 kali sebulan diantara 5-10kg dan mempunyai lebih daripada 24 jenis ‘powder’ kerana purata pelanggan yang akan datang ke kedai beliau adalah sekitar 50 orang sehari. Waktu operasi beliau adalah sekitar jam 10.00 pagi sehingga 7.00 malam dan hanya tutup pada setiap hari Jumaat sahaja. Walaubagaimanapun, pada waktu hujan beliau terpaksa menutup kedai beliau kerana akan kekurangan pelanggan pada waktu tersebut dan ini bukanlah sebab untuk beliau berputus asa dan mengaggapnya sebagai cabaran didalam perniagaan.

 

Kelas pertama telah beliau hadiri di Pi1M adalah kelas asas komputer dengan membuat akaun email dan juga laman sosial Facebook yang telah diberi tunjuk ajar oleh staff Pi1M pada masa itu. Laman sosial Facebook itulah yang telah beliau kekalkan sehingga sekarang dan menggunakannya untuk promosi perniagaan beliau di internet. Selain daripada itu beliau juga telah menghadiri kelas keusahawanan dan juga kelas ICT selain daripada program-program yang lain yang telah dianjurkan di Pi1M.

 

Pandangan pertama beliau terhadap Pi1M adalah sebuah tempat yang cantik dan selesa serta teratur untuk menggunakan komputer selain beranggapan sesuai untuk kanak-kanak sahaja kerana beliau dapati pada awalnya hanya lebih ramai pelajar sekolah yang hadir ke Pi1M berbanding golongan dewasa sepertinya. Beliau berharap agar Wifi Komuniti dapat dilajukan dengan menambakan kelajuan MB wifi tersebut selain dari memperbanyakkan lagi aktiviti dan juga program untuk golongan dewasa.

 

 

Kelas keusahawan yang beliau hadiri di Pi1M.