Program Sambutan Hari Raya Aidiladha

23 September 2016 | Berita Terkini

Program Sambutan Hari Raya Aidiladha beserta taklimat Klik Dengan Bijak telah diadakan di Pi1M Felda Palong Timur 3 pada 23 September 2016 yang lalu. Hari Raya Aidiladha merupakan perayaan yang dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke-10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah, semua hari-hari ini dipanggil Hari Tasyrik. Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail a.s. dalam memenuhi perintah Allah SWT.


Sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha dimulakan, taklimat Klik Dengan Bijak telah dijalankan bersama-sama pengguna yang merupakan ahli di Pi1M Felda Palong Timur 3. Mesej utama kempen Klik Dengan Bijak adalah berteraskan Prinsip-prinsip Rukun Negara yang dilihat sebagai merangkumi kesemua perkara yang perlu ditekankan dalam kehidupan kesemua rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.   Pembudayaan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam penggunaan Internet seharian akan diterapkan melalui pelbagai aktiviti dan inisiatif yang dianjurkan oleh Suruhanjaya. Selain dari itu, kempen ini juga akan turut diselaraskan dengan “Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni” sebagai satu komponen penting, disamping selari dengan Matlamat Dasar Kebangsaan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Dengan lengkap berpakaian Baju Melayu dan juga Baju Kurung mereka didedahkan dengan tayangan video dan intipati mengenai Hari Raya Aidiladha. Hari Raya Aidil Adha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan. Cabutan untuk berpakaian lengkap juga telah diadakan dimana peserta yang bertuah berhak untuk mendapat hadiah dari pihak Pi1M. Sebelum mereka pulang, jamuan ringan telah disediakan sebagai menghargai kedatangan mereka yang sudi datang ke Pi1M dengan lengkap berpakaian seperti Hari Raya.


Diharapkan agar program seperti ini dapat terus dilaksanakan di Pi1M pada masa akan datang kerana ia dapat menerapkan nilai-nilai murni dari segi islamiah seperti pemantapan rohani dan jasmani, serta pengukuhan ukhuwah.


Berikut merupakan gambar-gambar sekitar program ini berlangsung.