Program Sambutan Kemerdekaan 2016

30 August 2016 | Berita Terkini

       Peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ amat bersesuaian dengan program sambutan Hari Kemerdekaan untuk kanak-kanak tabika yang dianjurkan pihak KEMAS agar mereka dapat menyelami maksud yang tersirat di sebalik kemerdekaan yang sebenar.

       Menyedari tentang pengertian yang harus dipupuk kepada generasi pascamerdeka, Tabika KEMAS Felda Palong Timur dengan kerjasama PI1M Felda  Palong Timur 1 & 3 serta PDK Felda Palong Timur terus melestarikan harapan ibu bapa membimbing anak-anak dalam mengenali ilmu pengetahuan di samping mendidik mereka dengan pengetahuan yang membentuk keperibadian dan nilai patriotik. Sambutan yang diraikan setahun sekali ini menjadikan mereka tidak kekok untuk menganjurkan program yang seharusnya disambut setiap warganegara tidak kira di sekolah, pejabat atau anjuran agensi-agensi yang cintakan negara.

       Pada tahun ini, seramai 120 kanak-kanak tabika berkenaan terlibat dengan program yang turut disertai oleh ibu bapa mereka di sini kelmarin.Penglibatan ibu dan bapa kanak-kanak memeriahkan program memberi galakan untuk anak-anak terus memahami tujuan diadakan program seperti itu dan menyemai semangat patriotik dalam jiwa mereka.

       Di dalam ucapan Pengerusi Tabika KEMAS Felda Palong Timur berkenaan bertujuan menyemai nilai kecintaan kepada negara dalam jiwa anak-anak seawal usia agar prinsip Rukun Negara dapat difahami dan menjadi amalan. Justeru katanya, dengan menyediakan program di peringkat sekolah, anak-anak akan didedahkan dengan sambutan yang seharusnya dilaksanakan menjelang tarikh yang telah menjadi sejarah kepada pembentukan negara. Bukan sahaja kita memberi pengetahuan kepada anak-anak, kita juga dapat menerapkan semula nilai dalam kalangan ibu bapa yang menyertai aktiviti ini.Ia juga memberi ruang kepada ibu bapa berjumpa dengan ibu bapa kanak-kanak lain dan dapat menjalankan aktiviti secara bersama.

       Dalam pada itu, sambutan yang telah dirancang dimulakan dengan perarakan dari sekolah Tabika ke Dataran Putra Felda Palong Timur sejauh satu kilometer yang mana semua kanak-kanak terlibat disertai ibu dan bapa mereka. Program diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan dan negeri. Ia disusuli dengan bacaan doa oleh wakil kanak-kanak, nyanyian lagu KEMAS dan nyanyian lagu-lagu patriotik.

       Pada akhir majlis, diadakan perasmian program ini dengan menanam pokok bunga raya di dalam plastik polibeg sebagai simbolik perasmian yang dirasmikan oleh wakil dari Pejabat KEMAS Segamat dan AJK Tabika KEMAS Felda Palong Timur yang disaksikan oleh kanak-kanak dan ibu bapa.