Kisah Kejayaan (Q2) 2018: Cik Nurul Asyiqin binti Muhammad (Usahawan Perkhidmatan - Surprise Deliver

26 May 2018 | Kisah Kejayaan

Nama                            :           Nurul Asyiqin binti Muhammad

Umur                             :           21 tahun

Pekerjaan                     :           Operator kilang

Produk Perniagaan      :           Surprise Delivery

Facebook                     :           https://www.facebook.com/nuruasyiqin.eqiyn

            

            Tidak pernah berminat dan terlintas di fikiran beliau untuk memulakan perniagaan ini. Itulah yang difikirkan oleh usahawanita muda ini, Cik Nurul Asyiqin atau lebih mesra disapa sebagai Eqiyn. Beliau yang berumur 21 tahun ini tidak pernah berfikir untuk membuka atau memulakan apa jua perniagaan kerana beliau tidak meminati langsung mengenai selok-belok perniagaan di samping tiada seorang pun dari ahli keluarga beliau yang berniaga. Namun, ianya tidak bertahan lama apabila beliau sudah memasuki alam pekerjaan di salah sebuah kilang elektronik di Muar. Persekitaran di alam pekerjaan membuatkan beliau lebih berpandangan jauh apabila melihat ramai rakan-rakan seperjuangannya yang berniaga secara online mahupun offline untuk mencari pendapatan sampingan. Idea awal tercetus apabila beliau membuat sendiri bouquet coklat untuk dihadiahkan kepada tunangnya sempena hari lahirnya. Maka, perjalanan beliau untuk memulakan perniagaan surprise delivery ini pada penghujung tahun 2016.

            Konsep awal yang dibawa oleh beliau pada permulaannya adalah bawah RM100. Konsep ini bermaksud bouquet-bouquet coklat yang dibuat oleh beliau adalah berharga RM100 dan ke bawah. Bajet yang melebihi daripada harga tersebut kebiasaannya adalah dari permintaan pelanggan itu sendiri. Beliau menjadikan Goggle dan Youtube sebagai panduan kepada beliau untuk membuat bouquet ini. Pada awalnya, beliau mendapat sedikit kesukaran untuk mendapat tempahan daripada pelanggan. Ianya kerana perkhidmatan beliau masih baru dan kurang dikenali dalam kalangan masyarakat setempat. Beliau pernah menerima hanya 1 tempahan sahaja dalam masa sebulan malahan tidak pernah mendapat tempahan langsung sewaktu awal pembabitan beliau. Namun begitu, ianya tidak mematahkan semangat beliau untuk meneruskan hasratnya itu.

                                                  

            Semenjak beliau mengetahui tentang kuasa media sosial ini, beliau acapkali memuatnaik iklan perniagaannya di media sosial seperti Facebook dan Instagram. Lama-kelamaan masyarakat sekeliling sudah melihat perkhidmatan yang dilakukan oleh beliau. Beliau mampu tersenyum apabila permintaan pelanggan semakin meningkat kepada minimum 4-6 tempahan secara puratanya. Ianya akan bertambah sekiranya terdapat hari-hari istimewa dalam bulan-bulan tertentu seperti Hari Ibu, Hari Guru dan sebagainya. Tetapi ada juga tempahan yang terpaksa ditolaknya kerana kekangan masa yang beliau hadapi sebagai seorang operator kilang. Namun begitu, beliau masih belajar selok-belok perniagaan ini bagi memantapkan lagi perkhidmatan yang dilakukannya.

            Bouquet yang dibuatnya tidak terhad kepada bouquet coklat sahaja. Beliau membuat tempahan daripada permintaan pelanggan. Beliau pernah membuat bouquet menggunakan fresh flower, makeup dan juga barangan bayi. Sekiranya dahulu beliau hanya membuat surprise delivery berupa bouquet coklat, tetapi sekarang beliau sudah membuat peningkatan dengan menyediakan belon helium bagi pelanggan yang menginginkannya. Perancangan masa hadapan beliau adalah untuk menjauhkan lagi lingkungan surprise delivery ini di kawasan Melaka pula kerana pada masa sekarang, beliau hanya membuat penghantaran di sekitar Bukit Gambir, Pagoh, Gersik dan Muar. Beliau juga berharap dalam mengembangkan lagi perkhidmatannya ini untuk membuat surprise decoration planning bagi sesiapa sahaja yang berminat. Beliau menerima tempahan untuk hari jadi, hari ulangtahun perkahwinan, hari istimewa dan lain-lain lagi. Sekiranya berminat untuk memberi kejutan kepada yang tersayang, boleh hubungi beliau di talian 014-9430389 (Eqiyn).