Program Semarak Kemerdekaan Pengguna Pi1M

22 August 2016 | Berita Terkini

PROGRAM SEMARAK KEMERDEKAAN PENGGUNA Pi1M

 

Tarikh               :   22 Ogos 2016

Masa                :   8.30 pagi – 4.00 petang

 

Pada 22 haribulan Ogos yang lalu, sebuah program telah dijalankan di Pi1M Kg. Parit Haji Idris bersempena dengan bulan Kemerdekaan yang disambut pada bulan ini. Program yang bertajuk Semarak Kemerdekaan Pengguna Pi1M merupakan sebuah program bulanan yang diadakan oleh pihak pengurusan Pi1M Kg. Parit Haji Idris bersama-sama dengan komuniti setempat. Program yang dijalankan ini adalah bertujuan mengeratkan lagi hubungan di antara staf Pi1M, pelajar, guru dan ibu bapa. Selain itu, program yang dijalankan ini juga bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-59 dan Kibarkan Bendera Malaysia. Di samping itu juga, program ini dapat menarik lagi komuniti setempat untuk menjadi ahli Pi1M bagi mendapatkan kelebihan di sini.

Program ini bermula seawal jam 8.30 pagi dengan menanti dan menyambut kehadiran para pelajar daripada Tabika Kg. Parit Haji Idris. Selepas itu, para pelajar yang terdiri daripada 26 orang yang berumur dalam lingkungan 4 hingga 6 tahun dibahagikan mengikut kumpulan yang telah ditetapkan oleh guru tabika mereka. Setiap kumpulan mempunyai 6 orang ahli yang mempunyai pelbagai peringkat umur agar mereka boleh bekerjasama dan berkomunikasi sesama sendiri.

Setelah setiap pelajar mempunyai kumpulan masing-masing, mereka dibekalkan dengan peralatan mewarna bagi setiap kumpulan. Antara alatan yang diberikan adalah kain putih yang telah dilakarkan bendera Malaysia, berus mewarna dalam pelbagai bentuk, dan warna air untuk mewarna iaitu warna merah, biru, dan kuning. Selepas semua peralatan mewarna telah diberikan, acara mewarna bendera Malayasia bermula kira-kira pada jam 9.30 pagi.

Pelbagai ragam dan keletah dapat dilihat semasa program ini berlangsung. Pada awal acara, para pelajar kelihatan bersemangat untuk mewarnakan bendera Malaysia. Akan tetapi, mereka dibantu oleh guru mereka serta staf Pi1M untuk memulakannya. Kebanyakkan pelajar yang berumur 4 tahun masih kurang mengenali dan mengetahui nama warna-warna yang perlu digunakan. Terdapat juga pelajar yang tersalah warna bendera iaitu apabila garisan yang sepatutnya berwarna putih diwarnakan dengan pewarna merah yang membuatkan bendera tersebut tidak sama seperti yang asal.

Pada jam 11.30 pagi, acara mewarnakan bendera Malaysia telah tamat dimana kesemua kumpulan berjaya mewarnakan bendera masing-masing. Selepas itu, pihak tabika telah menyediakan sedikit jamuan ringan untuk disajikan kepada para pelajar. Program pada pagi ini ditamatkan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Para pelajar dijemput oleh ibu bapa masing-masing pada tengahari itu. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Program pada petang itu diteruskan lagi dengan beberapa acara. Antaranya adalah pendaftaran ahli Pi1M kepada yang berminat. Pendaftaran ini terbuka kepada komuniti setempat yang masih belum mendaftarkan diri mereka sebagai ahli Pi1M. Sedikit penerangan diberikan kepada ahli baru tentang kelebihan dan faedah yang diperolehi oleh mereka apabila mendaftarkan diri sebagai ahli. Mereka juga didedahkan tentang program-program yang boleh didapati di pusat Pi1M ini seperti kelas komputer, kelas USM Smart Learning, kelas Usahawan dan banyak lagi. Terdapat seramai 11 orang peserta yang berminat dengan program yang ditawarkan dan menjadi ahli di sini.

Selain itu, pihak pengurusan juga menawarkan kelas komputer bagi yang sesiapa yang berminat untuk menyertainya. Kelas komputer ini terbuka kepada orang ramai, namun lebih tertumpu kepada pelajar sekolah. Hal ini kerana kelas komputer ini akan dilaksanakan pada musim cuti sekolah yang bakal tiba tidak lama lagi. Kelas ini merupakan pengenalan kepada asas komputer, penggunaan Internet dan sebagainya. Bagi pelajar-pelajar yang kurang memahami disarankan mengikuti kelas ini.

Di samping itu juga, pendaftaran kelas USM Smart Learning juga dibuka kepada komuniti setempat. Kelas USM ini merupakan kelas yang mendapat pengiktirafan daripada pihak USM apabila sudah tamat pembelajaran dengan mendapat sijil berdasarkan syarat dan terma yang telah ditetapkan. Kelas ini merangkumi aspek pembelajaranWindows 8, Microsoft Office seperti Microsoft Word, Microsoft Excel dan Microsoft Power Point daripada Tahap 1 hingga Tahap 3 berdasarkan peserta itu sendiri. Sijil yang akan diterima juga berlainan berdasarkan tahap yang diambil. Kelas ini tertumpu kepada pelajar lepasan SPM yang mempunyai masa terluang di rumah dan juga mahasiswa/mahasisiwi yang sedang menjalani cuti semester.

 

Program Semarak Kemerdekaan ini telah tamat pada pukul 5.00 petang. Segala pendaftaran telah pun diambil rekod oleh pihak pengurusan. Diharapkan program seperti ini akan dilaksanakan lagi pada masa akan datang.